, ,

Solat Sunat Dhuha Menyamai Sedekah Sebanyak 360 Sendi Dalam Badan Kita

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” 

[HR. Muslim (720)]

Lazimnya, setiap sendi salah seorang daripada kita memerlukan kepada sedekah.

Setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, Setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah. Setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah. Menyuruh berbuat kepada kebaikan dan menghindari kemungkaran adalah sedekah. 

Dan semua ini memadai dengan bersedekah kepada semua sendi-sendi dalam badan kita dengan solat 2 rakaat dhuha.

Ini sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap nikmat-nikamat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Sebelum itu, mari kita ketahui konsep beribadah kerana rezeki pula.

Kita amat memahami bahawa dengan solat sunat dhuha kita mengharapkan sebahagian rezeki datang kepada kita. Sehingga kita tidak putus-putus mendoakan agar di murah rezeki oleh Allah SWT.

Namun tanpa kita sedar, rezeki itu Allah SWT bagi dalam bermacam-macam bentuk. Ada rezeki kerana usaha, rezeki kerana anak, rezeki kerana bernikah, rezeki kerana bersedekah dan lain-lain lagi. 

Tetapi kita selalu lupa memohon diberi rezeki kekuatan untuk beribadah kepada Allah SWT. Atau rezeki supaya diberi ilmu yang bermanfaat.

Kita selalu terperangkap dengan rezeki berupa harta oleh kemahuan dan kehendak hawa nafsu.

Fenomena ini wujud pada zaman sekarang bahkan kita selalu terperangkap dengan kempen-kempen menjemput rezeki kerana balasan keduniaan. 

Satu hal yang perlu kita tahu bahawa fenomena ini tidak pernah wujud pada zaman salafus soleh.

Kembalilah ke landasan sunnah, kita pasti tenang, bahagia dan harmoni.

Jom kita perhatikan ayat ke-6 surah al-Muddathir yang berbunyi,

وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (٦)

Terjemahan: “Dan jangan kamu memberi kerana inginkan balasan yang lebih banyak.”

“Janganlah kita mengharapkan balasan manusia dan balasan keduniaan melalui amalan kita..”

Al-Hassan berkata, “Jangan kamu melaksanakan segala kebaikan agar mendapat balasan (keduniaan) yang banyak daripada Allah SWT”

Matlamat utama tujuan kita beramal supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Jika kita solat dan sedekah kerana harta, kita tidak akan memperoleh ketenangan jiwa.

Kerja amal dengan seikhlas mungkin kerana Allah SWT. Berusaha bersungguh-sungguh melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dibenci oleh Allah.

Solatlah dhuha ikhlas kerana Allah. Bersedekahlah atas nama Allah SWT dan sunnah dengan tujuan membantu orang memerlukan dan membersihkan harta.

Yang penting apa yang kita mahukan adalah pahala dan balasan akhirat kelak. 

Serahkan balasan keduniaan kepada-Nya. Bukan duniawi semata-mata. Biar Allah menentukan segala bentuk rezeki kita. Seperti firman Allah taala,

إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya tanpa batas.” (QS. Ali ‘Imran [3]: 37).

Yakin dan terus bersangka baik pada Allah yang tidak akan membiarkan hamba-hambanya dalam kesusahan. 

Ketahuilah bahawa Allah tidaklah lantas membiarkan hambanya begitu sahaja.

Niat utama kita ialah kekal ingin menjadi hamba yang taat, bertaqwa lagi rabbani.

Semoga Allah memberkati dan redha setiap perjalanan hidup kita.