Rasulullah mendapat perkhabaran daripada pak ciknya di Makkah iaitu Abbas bin Abdul Muttalib yang menyatakan bahawa pasukan Quraisy sedang dalam perjalanan ke Madinah untuk berperang.
Setelah itu, Rasulullah menghantar Al-Hubab bin Al-Mundzir kepada Quraisy, menyelinap di antara pasukan Makkah, menghitung jumlah dan kekuatan mereka, kemudian Al-Hubab kembali menemui Rasulullah.
Kata Al-Hubab, dia melihat kira-kira 3000 orang, 200 ekor kuda, 700 orang berbaju besi, dan wanita juga turut ada membawa gendang dan al-akbar (gendang dengan satu sisi).
Rasulullah mengatakan bahawa mereka membawa para wanita untuk memberi motivasi, mengobarkan semangat serta mengingatkan mereka akan korban perang Badar.
Kemudian, Rasulullah juga menghantar Anas bin Fadhalah dan Mu’nis bin Fadhalah untuk mencari berita tentang kaum Quraisy. Lalu, mereka menyampaikan bahawa pasukan Quraisy telah mendekati kota Madinah, melepaskan kuda-kuda dan unta-unta mereka di perkebunan Yatsrib.
Bagi mengelakkan rasa panik kaum muslimin, Rasulullah menekankan agar berita tersebut hanya diketahui para pimpinan pasukan saja, lalu perjumpaan diadakan untuk bertukar pendapat dengan pemimpin Muhajirin dan Anshar tentang cara terbaik untuk menghadapi situasi ini.
Ada yang berpendapat agar kaum muslimin keluar dari Madinah untuk menghadapi musuh, antara hujahnya ialah dikhuatiri bahawa nanti pasukan Quraisy akan mengepung mereka, lalu jika dikepung lama maka kaum muslimin terancam tidak mendapat bekalan untuk keperluan hidup, menyebabkan mereka tewas dalam peperangan.
Ada pula yang berpendapat agar kaum muslimin tetap menetap di Madinah, antara hujahnya ialah jika para pejuang berada di tengah-tengah keluarga, maka mereka akan mengerahkan seluruh tenaga untuk mempertahankan keluarga serta kehormatan mereka.
Setelah berbincang, akhirnya Rasulullah bersetuju untuk kaum muslimin keluar dari Madinah, namun Baginda memilih 50 orang kaum muslimin paling kuat yang dipimpin Muhammad bin Maslamah untuk tetap menjaga dari dalam Madinah.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)