Pasukan Quraisy terdiri daripada 3000 orang. Mereka telah bersiap pada hari Sabtu, 7 Syawal tahun kedua hijrah. Mereka bergerak dengan membawa persenjataan yang lengkap, turut bergabung dengan mereka ialah orang Arab dari Kinanah dan Tihamah.
Mereka turut membawa wanita dan hamba sahaya, tujuannya supaya memberi motivasi dan para tentera tidak lari dari peperangan.
Contohnya, Abu Sufyan membawa Hindun binti Utbah, Shafwan bin Umayyah membawa Babrazah binti Mas’ud, manakala Ikrimah bin Abu Jahal membawa Ummu Hakim binti Al-Harits.
Melalui propaganda besar-besaran, sebelum bertolak dari Makkah ke Madinah, mereka berjaya mengumpul biaya peperangan sebanyak 50000 dinar emas.
Sementara itu pula, Abbas bin Abdul Muttalib iaitu pak cik kepada Rasulullah yang berada di Makkah mengawasi setiap pergerakan pasukan Quraisy.
Lalu, dia mengirim surat kepada Rasulullah di Madinah dan memberitahu secara terperinci mengenai perangan pasukan Quraisy. Utusan yang dikirim Abbas telah sampai ke Madinah dalam masa tiga hari saja.
Antara isi surat tersebut adalah: “Orang-orang Quraisy telah mempersiapkan perjalanan menuju engkau. Apa yang mesti engkau persiapkan ketika mereka sampai kepadamu, maka persiapkanlah dengan sebaik-baiknya. Mereka telah bergerak menuju tempatmu. Mereka berjumlah 3000 orang. Mereka membawa 200 ekor kuda, ada 700 orang yang memakai baju besi dengan 3000 ekor unta dan mereka membawa semua persenjataan yang mereka miliki.”
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)