Sesungguhnya Allah S.W.T telah bersumpah dengan nama makhluknya “masa”, manusia akan sentiasa rugi.
Kecuali sekiranya seseorang insan itu memiliki 4 kriteria iaitu menyempurnakan kekuatan ilmiahnya dengan iman, menyempurnakan kekuatan ilmiahnya dengan amal salihnya, berpesan-pesan dengan kebenaran dan bersabar menghadapinya.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa iman dan amal perlu berjalan seiring dengan nasihat dan sabar, bagi menjadikan seseorang insan itu benar-benar tidak terjerumus dengan kerugian.
Bagi mengelakkan seseorang itu tergelincir ke golongan manusia yang rugi, perlunya untuk menelusuri lautan ilmu. Lautan ilmu yang paling bermanfaat adalah menghayati intisari daripada al-Quran.
Al-Fatihah merupakan surah penting bagi menghayati intisari al-Quran.
Surah al Fatihah tidak diturunkan di dalam kitab injil, Taurat mahupun Zabur. Ianya istimewa khas untuk umat Nabi Muhammad S.A.W.
Keindahan dan kesempurnaan surah al-Fatihah ini terbukti kerana surah ini merumuskan 113 surah berikutnya.
Maka tidak selayaknya seseorang itu dengan mudah mengakui sudah menguasai 100% surah al-Fatihah sedangkan, seseorang insan itu perlu menelusuri keindahan 113 surah berikutnya bagi menguasai surah al-Fatihah.
Al Fatihah mengajar kita ilmu mengenal Allah, iaitu 5 sifat utama Allah iaitu “Allah”, “Ar-Rabb”, “Ar Rahman”, “Ar Rahim” dan “Al Malik”.
Ianya merupakan pengenalan tauhid kepada hambaNya. Allah memperkenalkan dirinya sebagai “Allah” yang mewakili kesemua sifatNya yang agung dan indah (seperti sifat 20 dan 99 Nama Allah).
Tuhan juga telah memperkenalkan dirinya sebagai Rabbul ‘Alalamin.
Rabb bererti pemelihara, pendidik, pengasuh dan penyubur kepada insan terutamanya. Tidaklah layak bagi Allah membiarkan hambaNya terlantar dan dalam keadaan sia-sia.
Pasti Allah akan memberikan hidayah kepada insan sekiranya insan itu ingin kembali kepadaNya.
Seterusnya kita dapat mengenali TuhanNya adalah sebagai penyayang di dalam surah al-Fatihah.
Kasih sayang Tuhan tidak akan sama sekali dengan kasih sayang makhluknya. Kasih sayang Tuhan dijelaskan di dalam surah al-Fatihah terbahagi kepada dua bahagian iaitu ar-Rahman dan ar-Rahim.
Kalimah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم ِ sememangnya merupakan suatu kalimah yang sangat unik dan indah.
Kalimah بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ seharusnya menjadikan visi dan misi kita adalah pergantungan kepada Allah yang telah mencampakkan rasa kasih sayang kepada hambaNya.
Kalimah ar-Rahman sahaja menunjukkan kasih sayang Allah S.W.T yang ekstrim walaupun bersifat sementara (kasih sayang Allah di alam dunia) yang diluar imaginasi manusia.
Manakala sifat Ar-Rahim Allah menunjukkan kasih sayang Allah yang kekal abadi dan akan dikurniakan kepada golongan yang beriman dalam kalangan lelaki dan wanita.
Manakala al-Malik mengajar kita akan kita masih terikat kepada peraturan dan perlu berusaha bagi meraih keredhaan Allah.
Jangan lalai. Patuhilah segala perintah Allah dan jauhilah laranganNya. Allah Maha Adil. Perkara baik dibalas baik, perkara jahat dibalas jahat.
Iyyaka na’budu mengajar insan agar menyembah Allah dengan cara yang diredhaiNya.
Iyyaka nasta’in pula mengajar insan memohon pertolongan hanya dari Allah S.W.T.
Manakala Allah S.W.T juga mengajar hambaNya untuk memohon hidayah dan petunjuk di jalan lurus di dalam ihdinash-shirathal-mustaqim.
Setiap insan akan mendapat sapaan hidayah daripada TuhanNya. Seluas-luas pintu di dalam Islam adalah taubat. Mohonlah hidayah! Allah sayang akan hamba-hambaNya. Allah sayangkan kita.
InsyaAllah tatkala hati merintih memohon hidayah, Allah pasti memberikan hidayah yang merupakan penawar di dalam kehidupan kita.
Al-Fatihah mengajar kita akan tiga golongan (golongan diberi nikmat, golongan dimurkai dan golongan sesat).
Orang yang mengetahui kebenaran dan mengamalkannya adalah golongan yang diberi nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T. Hamba seperti inilah yang mensucikan dirinya dengan ilmu yang disertai amal soleh.
Manakala golongan yang dimurkai adalah golongan yang mengetahui kebenaran namun masih mengikuti hawa nafsunya dengan menjual agama atau menukar kebenaran agama. Golongan seperti inilah yang dimurkai Allah. Contohnya adalah golongan Yahudi.
Manakala golongan yang sesat adalah golongan yang tidak mengetahui kebenaran seperti golongan Kristian. Golongan yang dimurkai dan sesat ada dinyatakan dalam ayat al-Quran di bawah ini.
Al-Fatihah mengajar kita memohon petunjuk daripada tergelincir di dalam dua golongan ini:
“Katakanlah, ‘Hai Ahli Kitab, janganlah kalian berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agama kalian, dan janganlah kalian mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Surah Al-Maidah: 77)
Dan jika kita menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kita menghitungnya. Tidaklah Allah akan menganiaya hambaNya.
Allah S.W.T terlalu pengasih untuk murka tanpa ada sebarang kejahatan yang dilakukan oleh hambaNya.
Terdapat perbandingan yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran terhadap golongan yang diberi nikmat dan golongan yang dimurkai oleh Allah S.W.T.
“Dan, barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (Surah Thaha: 124)
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Rabbnya dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Al-Baqarah: 5)
Justeru, hari-hari kita diwajibkan bersolat. Solat umpama sungai yang mencuci daki kotoran badan kita lima kali sehari. Kita jaga solat, Allah jaga kita.
Sebanyak 17 kali kita berdoa melalui surah al-Fatihah yang lengkap dengan pujian kepada Allah, permohonan hidayah dan mudah-mudahan menjadi golongan yang diberi nikmat oleh Allah.
Al-Fatihah merupakan penawar kepada penyakit hati yang berkesan. Allah sayang kita, justeru diwajibkan kita untuk membaca surah al-Fatihah setiap hari.
“Iyyaka na’budu menolak penyakit riya’, dan iyyaka nasta’in menolak penyakit takabur.” (Kata-kata Ulama)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.
Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.