,

Medal Untuk Mama

Terasa bagai mimpi. Pelbagai andaian dalam kotak fikiranku. Mula-mula aku macam nak tarik diri untuk menyertai acara Walkathon Fun Run di tempat kerjaku.

Aku masih berbelah bahagi pada mulanya. Namun aku tekad untuk menyertai acara tersebut demi mama. Yup.. demi mama yang aku sayang.

Mama.. sahabat baik aku.. Kawan yang sedia dengar coretan kisah suka duka ku. Kadang-kadang aku kena marah dengan mama disebabkan sikap degil aku dan aku suka sangat menyakat mama.

Oh ya, mama juga merupakan buah hati aku sebab aku dah tak punyai sahabat paling rapat selain mama selepas abah meninggal tahun lepas. Mama sumber inspirasiku.

“Eton, mana deme tak suka ngan kamu. Tilam vono lah katakana,” seloroh mama. Mana taknya, anak-anak buahku selalu tertidur apabila dipangku olehku.

Sekarang aku nekad untuk kurus demi mama ku tercinta. Demi mama juga, aku kena kental dan kuat semangat.

Pedulikan ejekan dan cemuhan orang yang kadang-kadang jelek bagiku. Tapi aku tak pernah terasa dengan mereka malah amat berterima kasih. Kata-kata tersebut aku jadikan sebagai penguat semangat untuk lebih positif dan kental.

Kurus demi mama supaya aku sihat dan boleh jaga mama dengan baik.

Berfikiran positif demi mama supaya aku boleh bagi nasihat yang membina.

Sabar demi mama supaya aku boleh melawan nafsu apabila perasaan negatif mengawal perasaan ku.

Alhamdulillah, aku berjaya di garisan penamat dengan catatan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur dan telah dikalungkan sebuah medal sempena Walkathon Fun Run tersebut.

Terasa bagai mimpi dan bersyukur sangat. Semasa acara tersebut berlangsung keadaan kesihatan ku tidak mengizinkan kerana aku mengalami sakit tumit (spurs) pada belah tapak kaki kananku dan akan terasa nyilu semasa lari.

Ku fokus dan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian iaitu memperoleh medal dengan berjalan laju, berlari anak dan berlari pecut apabila mendekati garisan penamat.

Dengan izinNya, kesakitan tersebut tidak kurasai. Terima kasih Allah.

Melalui Walkathon Fun Run tersebut, apa yang dapat aku simpulkan adalah untuk mencapai impian supaya menjadi kenyataan, kita perlu fokus dan bersungguh-sungguh lakukan yang terbaik.

Dan yang paling penting jangan putus berdoa serta sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan olehNya.

Tanpa kesungguhan, impian takkan menjadi kenyataan. Kita perlu kental dan positif mengharungi pelbagai cabaran di samping selalu gembira serta bersemangat melalui liku-liku kehidupan.

Kita juga perlu sentiasa bersyukur dan jangan sesekali lupa Pencipta.

Mama, eton dapat medal ma.. seronoknya.. Alhamdulillah.. Seribu satu perasaan yang ku rasa seolah-olah mendapat anugerah.

“Nah mama, medal ini untuk mama. Eton sayang mama. Terima kasih selalu bagi kata semangat. Eton sayang mama! Sayang sangat!”.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aidatul Azla.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.