,

Air Dan Api Ibarat Nyawa Kepada Manusia

Assalamualaikum semua. Saya harap kawan-kawan pembaca berada dalam keadaan sihat bahagia dan sentiasa di bawah lindungan Allah SWT.

Kita faham apa itu air dan apa itu api. Kedua-duanya mempunyai fungsi dan sumber yang amat diperlukan serta bermanfaat kepada kita semua.

Setiap benda yang hidup ada hubung kait dan akan sentiasa berkaitan antara satu sama lain mengikut struktur penggunaan dan keadaan. Kedua-dua ini juga ada tahap bahayanya kalau tidak dikawal.

Air dan api juga ibarat nyawa kepada manusia. Air dan api juga yang memberi kehidupan kepada manusia. Memang berharga. Tiada air kita akan mati kehausan. Walaupun api membakar tapi ianya tetap kawan kepada kita.

Air dan api ini juga ada hubungkait dalam hidup kenegaraan dan kemasyarakatan. Kita hidup berbilang kaum dan agama.

Namun, sikap nilai murni wajib diterapkan dalam kehidupan setiap hari tak kira peringkat umur. Seharian kita berada di dalam unit kelompok yang besar dan bukan sahaja terdiri oleh kaum keluarga dan sanak saudara.

Kesopanan hidup dan saling hormat menghormati perlu ada dalam diri masing-masing. Hidup bermasyarakat dalam sesebuah negara juga adalah kesinambungan air dan api. Walau dalam apa keadaan sekalipun air dicincang tidak akan putus.

Walau berbilang agama, kaum dan bangsa kita semua tetap bersaudara sesama manusia. Sentiasa harmoni dan tidak mengekang rutin kehidupan.

Sekiranya kita hidup dikelilingi manusia kejam dan ganas maka akan tercetus keadaan kucar-kacir dan kemarahan sentiasa membara dan membuak-buak bagai api yang sedang marak.

Dalam keadaan api yang sedang marak hanya air yang dapat memadam dan melembutkan perasaan seseorang.

Walhal air dan api juga boleh dikaitkan dalam berhubungan cinta. Allah jadikan manusia untuk hidup berpasangan. Lelaki dan wanita hadir di dunia untuk menzahirkan kehidupan. Allah yang menentukan jodoh.

Setiap pertemuan jodoh sama ada baik atau buruk akan terlaksana dengan izinnya. Padanan jodoh biasanya akan mempunyai ‘kontra sikap’ seperti air dan api. Saling menghormati, penuh kelembutan dan kesabaran yang tinggi perlu ada pada semua pasangan.

Setiap pasangan mesti cerdik dan bijak dalam mengatur cara hidup untuk berkeluarga. Bukan mengambil kira seperti kau hal kau dan aku hal aku.

Apa guna mencari jodoh dan mengakhiri hidup dengan berkahwin tapi nawaitu telah pesong.

Pasangan yang bertemu jodoh dan mempunyai sikap yang kontra memang menarik. Mereka akan lebih banyak belajar erti kehidupan untuk lebih bahagia dan sentiasa menyintai.

Apabila sudah disahkan untuk hidup sebumbung, buanglah sifat yang buruk walaupun payah demi sinaran dalam alam rumahtangga.

Layarilah kapal mengikut sunnah dan tuntutan agama. InsyaAllah bahagia.

Ameen…untuk semua.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Hajah Rozitah binti Ahmad. Merupakan ibu kepada 4 orang anak. Menetap di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan. Bekerja di syarikat Logistics di KLIA. Minat menulis dan subjek sastera.

Suka melihat alam sekeliling, suka melihat gelagat manusia untuk digambarkan dalam penulisan dan suka melihat lukisan. Suka melancong, mengumpul magnet, mengumpul stem dan mendengar lagu.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.