, ,

Huzaifah bin al-Yaman – Penyimpan Rahsia Rasulullah

Orang yang baik senang dicari. Namun, orang yang amanah, tidak ramai. 

Sesiapa sahaja boleh dikatakan baik apabila melakukan perbuatan yang baik. 

Namun, untuk menjadi amanah tidaklah semudah itu. Ia merupakan cerminan keperibadian diri yang sebenar. 

Ada sahaja yang dikenali sebagai orang yang baik, namun rupa-rupanya bersikap tidak amanah.

Saya tertarik dengan seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Huzaifah bin al-Yaman.

Walaupun kisahnya tidak banyak diceritakan, namun siapa tahu rupa-rupanya beliau telah menerima pengiktirafan untuk menjadi penyimpan rahsia Baginda.

Memiliki Dua Kampung Halaman

Huzaifah bin al-Yaman merupakan seorang sahabat nabi yang dilahirkan di kota Madinah. 

Namun, beliau juga memiliki kampung halaman yang lain iaitu kota Mekah. 

Kisahnya bermula daripada ayah beliau, Husail bin Jabir yang merupakan seorang lelaki yang berketurunan ‘Abs di Mekah.

Diceritakan bahawa Husail telah melakukan kesalahan membunuh. Lalu beliau terpaksa melarikan diri ke kota Yathrib (Madinah). 

Beliau telah menetap di sana dan mendapatkan perlindungan daripada puak Bani Abdul Asyhal yang kelak tergolong menjadi golongan Ansar. 

Bukan itu sahaja, beliau juga turut berkahwin dengan wanita puak tersebut sehingga memperoleh seorang anak lelaki. 

Anak lelaki tersebut kemudiannya dinamakan sebagai Huzaifah

Maka, dari situlah datangnya gelaran al-Yaman kepada Husail memandangkan puak-puak Ansar sebenarnya berasal dari Yaman.

Begitulah sedikit latar belakang tokoh sahabat kita ini yang berasal dari kota Mekah tetapi dibesarkan di kota Yathrib. 

Sebelum Nabi SAW berhijrah ke Yathrib, sekumpulan delegasi dari kaum ‘Abs yang turut disertai oleh al-Yaman telah menemui Baginda di Mekah. 

Mereka kemudiannya memeluk Islam.

Justeru, boleh dikatakan keluarga Huzaifah di antara keluarga terawal memeluk Islam di Yathrib sebelum ketibaan Baginda SAW. 

Suatu ketika, Huzaifah bertemu Nabi SAW di Mekah dan bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah, adakah saya ini seorang Muhajir atau Ansar?” 

Jawab Baginda: “Kamu boleh memilih di antara keduanya.” Lalu, beliaupun memilih untuk menjadi golongan Ansar.

Mengetahui Siapa Munafik

Imam Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah menceritakan bahawa Huzafah bin al-Yaman ini merupakan seorang sahabat yang terpilih untuk menjadi penyimpan rahsia Rasulullah SAW. 

Rahsia tersebut adalah berkenaan dengan orang Munafik di Madinah. Hanya beliau seorang sahaja yang mengetahuinya.

Huzaifah tidak memberitahui sesiapa tentang rahsia tersebut hatta setelah Baginda SAW wafat. 

Suatu ketika Umar bin al-Khattab yang ketika itu berupakan khalifah bertanya kepada beliau: “Adakah di dalam kalangan pegawaiku tergolong dalam kalangan orang Munafik?” 

Huzaifah menjawab: “Ya, ada seorang.” Umar bertanya lagi: “Siapakah dia?” 

Huzaifah menjawab: “Saya tidak akan menyebutkan siapa.” Setelah beberapa ketika, Huzaifah berkata: “Orang tersebut sudahpun dipecat oleh Umar. 

Sepertinya beliau telah mendapat petunjuk tentang siapakah dia.”

Betapa sahabat nabi ini dihormati sehingga menjadi kayu ukur untuk seorang pemimpin seperti Khalifah Umar. 

Buktinya, apabila ada sahaja berita tentang kematian seseorang, beliau pasti akan bertanya tentang Huzaifah. 

Sekiranya Huzaifah menghadiri solat jenazah tersebut, barulah beliau akan turut hadir. Begitulah sebaliknya.

Keperibadiannya Menjadi Kenangan

Huzaifah bin al-Yaman tergolong bersama rakannya Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan Muadz bin Jabal sebagai orang yang dikenang oleh Umar bin al-Khattab.

Suatu ketika, beliau berkata kepada para sahabatnya: “Berharaplah kamu semua. 

Berharaplah kamu semua untuk mendapatkan sebuah rumah yang dipenuhi dengan harta dan perhiasan.

Semua itu kamu semua dapat infakkan di jalan Allah.”

Kemudian, Umar berkata lagi: “Tetapi, saya berharap agar adanya orang seperti Abu Ubaidah, Muadz bin Jabal dan Huzaifah bin al-Yaman.” 

Sebelum ini, Umar pernah mengirimkan sejumlah wang kepada Abu Ubaidah.

Beliau berkata: “Kita lihat apakah yang akan dilakukan olehnya dengan wang tersebut.” 

Sebaik sahaja menerima wang pemberian khalifah itu, Abu Ubaidah terus membahagikannya kepada fakir miskin tanpa tinggal sedikitnya untuknya.

Setelah itu, Umar mengirimkan pula wang kepada Huzaifah

Kata beliau: “Kita lihat apakah yang akan dilakukan olehnya dengan wang tersebut.” 

Seperti Abu Ubaidah, Huzaifah pun turut sama membahagikan wang tersebut tanpa tersisa untuknya. 

Setelah selesai bercerita, Umar berkata kepada rakan-rakannya: “Bukankah saya sudah katakan kepada kamu semua sebelum ini mengapa saya mengharapkan adanya orang seperti mereka?”

Huzaifah bin al-Yaman akhirnya meninggal dunia 40 hari selepas kesyahidan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan pada tahun 36H. 

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau menangis dengan kuat.

Lalu ada orang bertanya kepadanya: “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” 

Beliau menjawab: “Tidaklah saya menangis disebabkan aku akan meninggalkan dunia bahkan kematian itu amatlah saya sukai. 

Namun, saya sedih kerana saya tidak tahu adakah saya akan menghadap Allah SWT dalam keadaan Dia reda atau murka terhadapku.”

Beliau juga sempat berdoa, “Ya Allah sesungguhnya Engkah mengetahui bahawa aku mencintai-Mu. Maka berkatilah aku ketika aku bertemu dengan-Mu.”