“Kenapa aku dapat markah rendah je? Aku dah usaha sehabis boleh dah tapi kenapa aku tak dapat result yang cemerlang macam orang lain?” Gumamku sendiri. Sedih melihat result exam yang aku peroleh tidak seperti yang aku harapkan.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Aku dapat semua lulus. Eh, kau dah check result?” Tiba-tiba dia yang entah dari mana datang menyapaku.
Gembira sahaja riak wajahnya, pasti dia dapat keputusan yang cemerlang. Aku bertambah sedih.
“Dah, dapat rendah je. Sedihlah, dah usaha sehabis boleh dah tapi result rendah je,” luahku dengan nada yang sayu.
Dia tersenyum melihatku.
“Tak baik mengeluh dengan apa yang kau dapat. Bersyukur itu lebih baik sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat tujuh, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Kami akan menambah nikmat kepadamu.” Jadi, banyakkanlah bersyukur dan memuji Allah jika kau mahu nikmatmu bertambah.”
“Hmm, aku bersyukur. Tapi aku sedih sebab aku mengharapkan keputusan yang lebih baik daripada ni,” luahku lagi.
Dia tersenyum lagi.
“Kau tahu, kadangkala Allah menangguhkan apa yang kau minta, bukan kerana Dia tidak berkuasa menunaikannya. Kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kau pada waktu ini. Mungkin nanti ada kejutan yang Allah sediakan buat kau daripada sesuatu yang tidak kau sangka-sangka. Teruskan usaha dan sabar menanti hikmah di sebalik apa yang kau alami. Yang pasti Allah tidak pernah menganiaya hamba-hambanya,” bicaranya lagi. Mungkin ingin menyedapkan hatiku.
“Yang terbaik untuk aku? Maksud kau, aku dapat keputusan rendah ni baik untuk aku ke?” Soalku yang masih belum memahami butir bicaranya.
“Ya, yang terbaik pada waktu ni. Sebagai contoh, siapa tahu mungkin kalau Allah bagi kau keputusan yang hebat pada masa sekarang, kau akan akan bermalasan. Seterusnya, kau sudah tidak mahu berusaha lagi kerana merasakan diri kau sudah cukup hebat, yang paling parah kau mula timbul riak dalam diri. Akhirnya perkara ini memakan diri kau sendiri. Tapi ini cuma misalan, apa yang berada dalam perancangan Allah buat kau hanya Dia sahaja yang tahu.”
Dia menambah, “Kau perlu husnuzon pada Allah. Sungguh Allah pasti menyediakan yang terbaik buat kau. Anggap sahaja kau dapat keputusan begini kerana Allah mahu kau usaha lagi. Mungkin nanti, bila usaha kau sudah memadai dalam penglihatanNya, Allah akan beri kau sesuatu yang tidak kau jangka. Kau tahu, sesuatu itu terasa lebih manis apabila semakin sukar untuk kau raih,” terangnya panjang lebar.
Aku tersenyum mengiyakan kata-katanya. Hati ini terasa lapang mendengar bicaranya yang penuh hikmah.
Aku kagum dengan dia, sentiasa melihat sesuatu itu dengan pandangan yang berbeza. Sentiasa optimis terhadap apa jua yang melanda dirinya.Andai sahaja aku bisa seperti dia.
“Aku dapat tiga point lebih je tapi masih dapat anugerah dekan. Kau? Mesti lagi hebat daripada aku kan, nampak bahagia je,” aku menyoalnya.
“Alhamdulillah. Tahniah buat kau, aku dapat 3.0 je. Tak dapat dekan pun. Tapi, alhamdulillah aku lulus semua subjek,” jawabnya sambil tersenyum.
Aku terdiam sendiri, dia dapat lebih rendah daripada aku tapi sedikitpun dia tidak mengeluh. Hanya pujian buat Allah saja yang terluah dari bibirnya sejak tadi.
Aku pandang wajahnya, tiada langsung riak kecewa yang terpancar di riak wajahnya. Hanya wajah penuh ketenangan bersama senyuman penuh ikhlas. Aku tiba-tiba teringat pada sabda Rasulullah S.A.W.:
“Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.” (Hadith riwayat Muslim)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.