, ,

Berakhirnya Pemboikotan

Sudah tiga tahun sejak pelaksanaan biokot terhadap puak Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib. 

Hanya kerana ingin mempertahankan ego, para pembesar Quriasy sanggup melakukan pemulauan yang sebegitu kepada kaum kerabat mereka sendiri. 

Bagi mereka, selagi Nabi Muhammad tidak diserahkan, selagi itulah boikot ini akan tetap berlangsung.

Mereka yang turut diboikot bukan sahaja mereka yang memeluk agama Islam, bahkan puak-puak Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib juga turut diboikot. 

Walaupun tidak memeluk Islam, mereka tidak sanggup meninggalkan ahli keluarga dan sanak saudara mereka yang memeluk Islam sahaja diboikot. 

Begitu kuatnya hubungan kekeluargaan Arab ketika itu.

Wahyu Akhirnya Turun

Suasana kemudiannya kecoh apabila sekumpulan pemuda mula menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemboikotan ini. 

Mereka bersunguh-sungguh mahu pergi ke Ka’bah dan mengoyakkan lembaran deklarasi tersebut bagi menamatkan ujian yang mereka terpaksa hadapi ini.

Kumpulan pemuda tersebut ialah Hisyam bin al-Harth, Zuhair bin ‘Atikah, Abu al-Buhturi, Zam’ah dan Muth’im bin ‘Adi

Mereka berjumlah lima orang semuanya. 

Tidak lama selepas itu, Allah SWT pun menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. 

Allah memberitahu Baginda bahawa anai-anai telah memakan deklarasi yang digantung di dalam Ka’bah itu. 

Kesemua ayat yang berbentuk kezaliman dan telah memutuskan silarurrahim telah hancur di makan anai-anai.

Sejuru selepas itu, Baginda SAW memberitahu perkara tersebut kepada Abu Talib. 

Setelah itu, Abu Talib kemudiannya memberitahu kepada kelima-lima orang pemuda yang bersemangat untuk mengoyakkan lembaran deklarasi tersebut. 

Setelah itu, mereka telah bersepakat untuk melantik Zuhair sebagai jurucakap mereka.

Bertikam Lidah

Pada keesokkan harinya, Zuhair dengan memakai pakaian yang cantik, melakukan tawaf di mengelilingi Ka’bah sebanyak tujuh kali.       

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menceritakan bagaimana kejadian tersebut berlaku.

Kata Zuhair, “Wahai penduduk Mekah! Bahawasanya kita semua mendapat makanan dan pakaian padahal Bani Hasyim mereka hidup sebagaimana yang kamu semua dapat lihat.

Saya tidak akan berdiam diri sehingga saya dapat mengoyakkan lembaran yang zalim itu sehingga telah memutuskan silaturrahim.

Mendengar ucapan Zuhair, Abu Jahal mencelah, “Kamu berdusta! Tiada siapa yang dapat mengoyakkannya.”

Sahut Zam’ah, “Engkau yang terlebih dusta! Kami tidak reda dengan semua ini!”

Abu al-Buhturi pula berkata, “Benar kata Zam’ah, tiada kami reda dengan apa yang tertulis pada lembaran tersebut dan kami tidak mempercayainya!

Muth’im bin ‘Adi pun menyahut, “Benar kata mereka berdua. Mereka berdusta.

Kami berlepas tangan kepada Allah dan daripada apa yang tertulis pada lembaran itu.”

Abu Jahal kemudiannya mempertahankan tindakannya dengan membalas, “Keputusan ini telah diambil ketika kami bermesyuarat pada malam itu. 

Kamu tidak mengetahui tentangnya kerana ketika itu kamu berada di tempat yang lain!”

Masih tidak berpuasa hati, Muth’im bangun lalu meluru ke dalam Ka’bah dan mencari lembaran yang tergantung di dalamnya. 

Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapati bahawa ia telah dimakan oleh anai-anai kecuali tulisan nama Allah sebagaimana yang diberitahui oleh Nabi SAW.

Dengan ini, secara rasmi berakhirlah pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib. 

Lalu, mereka pun keluar beramai-ramai daripada tempat mereka menetap sebelum ini dan kembali pulang ke rumah masing-masing

Peristiwa ini terjadi pada tahun yang ke-10 kenabian.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.