,

Belajar Daripada Sungai

Bukan nama manusia jikalau tidak bertembung dengan ujian dan cubaan di pertengahan jalan kehidupan.

Senang ataupun susah, semua itu ujian daripada Allah SWT buat kita sebagai hamba-Nya.

Sesungguhnya, Allah tidak menimpa kesusahan kepada kita kecuali di sebaliknya ada kesenangan.

Begitu juga, kegembiraan. Berpada-pada dalam kebahagiaan. Jangan sampai lupa diri dan lupa untuk bersyukur kepada Sang Pencipta di atas kurnia nikmat itu.

Teringat akan pepatah melayu ada menyatakan:

“ Ingatkan panas ke petang, rupanya hujan di tengahari.”

Tiada yang kekal di dunia ini.  Hanya Allah yang kekal abadi.

Kita akan mati suatu hari nanti. Semekar-mekar bunga akan layu dan gugur ke tanah jua. Siang akan berganti dengan malam.

Inikan pula dengan musibah dan kesusahan hidup.

Pasakkan di dalam hati;

“Semua ini akan berlalu seperti air sungai yang sentiasa mengalir ke muara.”

Yang datang biarkan ianya berlaku.

Yang lepas biarkan ianya pergi.

Yang akan datang usah difikirkan.

Serahkan segalanya kepada Allah SWT.

Dia yang Maha Mengetahui.

Allah itu dekat.

Sabar.  Kadangkala kita terlupa akan satu perkataan ini ketika ditimpa ujian dan dugaan mendatang. Hati kita cepat menjadi keluh-kesah dan gelisah sehingga lupa siapa pemilik sebenar ujian itu.

Kita hanyut di dalam keserabutan jiwa. Hari demi hari, tanpa disedari, kita semakin jauh daripada Allah SWT.  Padahal, Allah SWT begitu hampir dengan kita. Lebih rapat daripada urat nadi.

Ketahuilah, tidak ada sesiapapun yang lebih dekat dengan kita melainkan Allah SWT. Kita sahaja yang tidak mencari. Kita yang meminggir diri daripada-Nya.

Allah SWT telah memberitahu kita dalam surah Qaf, ayat 16 yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan( pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

Begitu hampirnya Allah SWT dengan kita. Tapi mengapa kita menjauhi-Nya?

Renungkanlah hadith ini juga:

“Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba Aku terhadap Aku. Aku bersamanya ketika dia mengingatkan Aku. Apabila dia mengingati Aku dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam diri Aku. Apabila dia mengingati Aku di sebuah majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka.

Apabila dia mendekati aku dalam jarak sejengkal, nescaya aku akan mendekatinya dalam jarak sehasta. Apabila dia mendekati Aku dalam jarak sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dalam jarak sedepa. Apabila dia datang kepada Aku dalam keadaan berjalan kaki seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan pantas.”

( Hadith direkodkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah)

Sepatutnya apabila ditimpa musibah tidak kiralah ujian itu berat atau ringan kita perlu mendekati Allah SWT bukan menjauhinya.

Sesungguhnya Dia sedang menanti kehadiran kita kepada-Nya. Ujian bukan bermakna untuk menyeksakan kita.

Tapi untuk menyedarkan kita bahawasanya, Dia merindui untuk mendengar suara rintihan kita.

Berdoalah!

Pabila berhadapan dengan musuh, kita memerlukan senjata untuk mempertahankan diri. Begitu juga ketika ditimpa ujian dan cubaan, kita memerlukan doa untuk memperkuatkan hati dari jatuh tersembam.

Rasulullah SAW bersabda: “Doa adalah senjata orang mukmin, tiang bagi agama dan cahaya dari langit.” (Hadith Riwayat Hakim).

Allah itu maha mengabulkan. Mohonlah apa sahaja, insyaAllah doamu akan dijawab.

Kenapa kita tidak mengangkat kedua belah tangan untuk berdoa kepadanya?

Kenapa kita sombong untuk berdoa?

Adakah kita merasakan Allah SWT tidak adil memberi kita ujian dan cubaan bertalu-talu tanpa henti?

Sehingga kita malas untuk meminta lagi?

Rugi dan terlalu rugi jikalau kita menolak tawaran daripada Allah SWT yang sangat bernilai ini.

“ Alaa… sedaplah mulut kamu suruh berdoa. Aku sudah berdoa. Tapi satu pun Allah tak jawab.”

Sekejap kawan. Hayatilah Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Masih ragu-ragukah?

Jangan lari, hadapinya!

Batu yang keras, apabila selalu ditunjah air pasti akan lengkung juga. Kekerasan akan terhakis dengan kelembutan.  Ujian dan cubaan akan pergi dengan kesabaran.

Sejauh mana kita cuba lagi daripada ujian dan cubaan, kita pasti akan bertemu juga dengannya.

Tidakkah kita malu dengan air sungai?

Sebesar manapun batu dan kayu balak menghalang laluan perjalanannya. Ianya tetap menempuh halangan itu. Lama-kelamaan batu dan kayu balak itu akan dihanyut pergi.

Kita, sebagai orang Islam mempunyai Tuhan yang Maha Esa. Tidaklah perlu takut dengan ujian di dunia ini. Kita mempunyai tempat bergantung dan bersandar. Sekalipun, seluruh makhluk di bumi ini meninggalkan diri kita.

Allah SWT senantiasa di sisi kita dua empat jam. Sentiasa memerhati gerak geri kita tanpa sedetik pun terleka.

Kebergantungan kepada Allah SWT tak pernah mengecewakan kita. Bersangka baiklah dengan Allah SWT. Maka, baiklah hidup kita.

Walaupun dihempas gunung-ganang ke atas kepala, kita takkan terjunam jatuh ke lembah putus asa. Ini kerna kita tahu, Allah sentiasa ada. Pertolongan Allah itu dekat.

Bersyukurlah!

Ucapkanlah ‘Alhamdulillah’ saat ditimpa ujian dan cubaan. Bukan ringan mulut mengeluh dan memarahi Allah SWT. Kita tak tahu perancangan takdir Allah dalam hidup kita.

Bersyukurlah, Allah SWT sedang merindui  kita semua disebabkan itulah dia memberi ujian dan cubaan.

Bersyukurlah, dengan kehadiran ujian dan cubaan  kita akan sedar akan kekhilafan diri yang kita makhluk yang dhaif.

Bersyukurlah, dosa- dosa silam dan akan datang kan terhapus melalui ujian dan cubaan ini.

Bersyukurlah, tanpa ujian dan cubaan mungkin kita menjadi hamba yang sombong dan angkuh.

Bersyukurlah, kita yang merasa ujian dan cubaan ini membuat kita sedar dunia bukan tempat untuk bersuka ria. Tapi, lapangan ujian dan cubaan.

Kesimpulannya

Sungai tak mampu bersuara akan kesakitan yang dialaminya. Hanya diterjemahkan melalui alunan nyayiannya yang sahdu.

Kita cukup bertuah mempunyai Allah SWT tempat untuk meluahkan kesengsaraan hidup. Berbicara dengan Allah SWT mampu membuat hati kita tenang dan tenteram.

Di sebalik ujian dan cubaan tersimpan ganjaran tak termasuk dek akal menanti kita. Maka, bersabarlah!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Amirah Binti Ab Ghani. Berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Suka menulis dan membaca. Boleh berhubung di facebook Nurul Amirah Ab Ghani.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.