, ,

Asiah Ratu Syahadah, Serikandi Islam

Menulusuri satu figura hebat bernama Asiah, membuatkan kita tertanya-tanya apakah yang telah dilakukan oleh beliau sehingga Allah membuka hijab matanya untuk melihat rumahnya di syurga.

Asiah merupakan wanita yang sangat cantik di Mesir, lalu Fir’aun ingin melamar beliau. Tetapi lamaran Fir’aun ditolak oleh Asiah kerana beliau mengetahui betapa ingkarnya Firaun kepada Allah dan mengaku bahawa dirinya adalah Tuhan.

Disebabkan itu, Firaun bertindak melakukan kekerasan terhadap kedua ibu-bapa Asiah. Akhirnya Asiah bersetuju untuk berkahwin dengan Firaun.

Kehidupan Asiah yang serba mewah tinggal di istana Firaun, tidak sesekali menundukkan nafsunya dengan dunia.

Mana tidaknya, harta dan kemewahan di depan mata, yang diidam-idam oleh setiap wanita. Sudah tentu wanita yang cintakan dunia tertunduk dengan semua itu.

Malah keimanan Asiah kepada Allah tetap utuh walaupun hakikatnya terpaksa bersuamikan Firaun.

Mulianya Asiah walaupun menyedari dirinya tinggal bersama suami yang hakikatnya sangat tidak layak dimiliki oleh mana-mana lelaki apatah lagi si Firaun, sedikit pun tidak gentar kerana Allah terpahat kukuh di hatinya.

Bukan kerana nama Allah itu di hati semata tetapi keimanannya dan tiada rasa ragu sedikitpun di hati terhadap apa yang telah direncana oleh Tuhan. Itulah ketetapan Allah untuknya.

Allah sahaja yang berhak ke atas diri dan kehidupannya. Itulah ujian yang Allah berikan untuk Asiah, ujian mempunyai suami yang tidak soleh dan tidak beriman.

Dialah wanita paling bijaksana dan berpandangan jauh. Tidak membuat keputusan untuk melarikan diri daripada suaminya yang mengingkari Tuhan. Namun, memilih untuk bersabar.

Beliau menunggu ganjaran Allah dan langsung tidak kisah dengan apa yang menimpa dirinya kerana keyakinannya yang begitu tinggi bahawa tiada sia-sia setiap ketetapan Allah itu walaupun derita yang diperolehnya setiap saat.

Ganjaran dan tujuan hidupnya sangat jelas iaitu hidup dan mati kerana Allah.

Kisah Asiah ini berjaya membuat kita  memikirkan bagaimana beliau boleh bertahan dengan suaminya, bukan manusia yang jahatnya biasa-biasa tetapi manusia ingkar yang mengaku dirinya Tuhan.

Akibat keteguhan imannya hingga ke akhir hayat, beliau adalah salah seorang daripada empat wanita yang dijamin memasuki Syurga Allah.

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidupnya sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Pada akhir terbongkarnya tentang keimanan Asiah yang menganut agama Islam yakni agama Nabi Musa, menyebabkan Firaun begitu marah, lantas menghukum Asiah dengan mengikat beliau di tengah panas terik dan berbahang.

“Wahai Firaun, kau boleh seksa zahir aku, sedangkan batin aku tidak. Engkau boleh potong badan aku, iman aku tidak.”

Ucapan penuh bernilai daripada Asiah tatkala menerima siksaan daripada Firaun yang dilaknat.

Ketabahan Asiah memelihara syahadah mentauhidkan Allah SWT telah diabadikan di dalam Al-Quran Al-Karim. Firman Allah SWT:

“Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu di  dalam Syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Surah At-Tahrim 66: 11)

Begitulah keteguhan iman seorang srikandi. Namanya terus terpahat di dalam sirah sebagai qudwah hasanah dan pengajaran buat kita semuanya.

Keberaniannya menjaga aqidahnya seharusnya dicontohi oleh kita semua, khususnya kepada kaum wanita, bagaimana mempunyai suami yang tidak taat kepada perintah Allah.

Semoga kita dikurniakan ketabahan hati seteguh Asiah dan istiqamah mencintai Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.