Tergerak hati ini mahu berkongsi kisah khutbah terakhir seorang hamba Allah yang mujtahid dan zuhud. Beliau adalah khalifah kelima selepas kepimpinan Khulafa ar-Rasyidin, Umar bin Abdul Aziz R.A.
Kisah khutbah ini diceritakan kepadaku oleh seorang kenalan yang telah membaca hasil nukilan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat & Annual Bakri Haron.
Dalam khutbah itu, Khalifah Umar Abdul Aziz berkata,
“Di tangan kalian terdapat harta rampasan. Kelak, harta-harta ini akan ditinggalkan kepada keturunanmu sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang telah mewariskannya kepada kita. Tidakkah kalian menyedari bahawa setiap hari bermula daripada terbit matahari hingga matahari terbenam, kalian menghantar jasad yang beku dan kebumikannya ke dalam perut bumi yang gelap tanpa tikar dan bantal.
Kini jasad ini terbaring tidak terdaya, ditinggalkan keseorangan tanpa sesiapa menemaninya. Akan datang kepadanya malaikat Allah untuk menghitung amal perbuatannya semasa di dunia. Ketika ini, apa sahaja yang dimiliki semasa di dunia sudah tidak berguna lagi. Dia cuma boleh bergantung harap pada simpanan amal kebajikan yang pernah dikerjakannya dahulu.
Demi Allah! Aku bukan berniat untuk menakut-nakutkan kalian, kerana aku tidak tahu apa yang terkandung dalam hati kalian.”
Kisah ini memberi fahaman dan pengajaran kepada kita bahawa apa yang kita miliki di dunia ini sama ada keluarga, sanak saudara, sahabat, pangkat, harta menggunung tinggi, kedudukan darjat yang hebat; semuanya akan ditinggalkan begitu sahaja.
Hanya satu yang akan setia menemani kita adalah amalan yang kita kerjakan; sama ada amalan kebaikan atau amalan kejahatan.
Penuhilah setiap waktu dalam hidup kita ini dengan mengisi tabung akhirat kita. Gunakan segala kesempatan ke atas apa yang kita miliki untuk melakukan sebanyak mungkin amalan kebajikan dalam usaha menambah sebanyak mungkin bekalan untuk akhirat.
Dengan harta yang kita miliki, kita boleh sedekahkan bermula dengan keluarga, seterusnya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Mungkin pemberian ikhlas kita meskipun sedikit dapat meringankan segala beban yang ditanggung oleh mereka. Dan yakinlah, kelak, Allah akan memberi ganjaran hebat buat si pemberi.
Dengan pangkat dan darjat yang kita miliki, manfaatkanlah untuk tujuan-tujuan kebaikan dan cegahlah sebarang kemungkaran yang boleh memudaratkan serta merosakkan diri kita juga generasi kita.
Gunakan kuasa yang kita miliki untuk membantu golongan-golongan yang benar-benar memerlukan dengan memberikan kemudahan kepada mereka.
Janganlah kita menyalahgunakan pangkat, harta dan darjat yang kita miliki untuk melakukan perbuatan-perbuatan keji.
Jangan kita jadikan semua yang kita miliki itu medium untuk menghalalkan perbuatan-perbuatan yang haram serta mempertahankan kezaliman.
Tanamlah azam yang baru dalam diri kita. Azam memperbaiki diri, kemudian keluarga. Lakukanlah seikhlas mungkin amalan kebajikan sentiasa walaupun amalan itu kecil di mata manusia.
Didiklah diri kita, keluarga kita, anak-anak kita supaya menjadi insan yang soleh dan solehah. Doa daripada mereka akan menemani kita di sana nanti selain amalan kebajikan yang kita lakukan semasa hayat kita.
Semoga kita beroleh kebahagiaan di dunia serta di akhirat.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.
Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah dan Instagram cahaya_nurish.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.