,

Mulakanlah Dengan Nama Tuhanmu

“Esok tamatlah kembara kita ini. Pasti kami akan rindu cikgu nanti.”

Solehah tersenyum manis. Dia juga turut merasakan yang sama. Setiap pertemuan, pastinya akan ada perpisahan. Semoga Allah reda dengan pertemuan dan perpisahan ini.

“Sebelum kamu semua masuk tidur, cikgu nak sampaikan satu pesanan yang ayah cikgu sampaikan pada cikgu. Ayah cikgu dapat ni daripada Che Amran Idris,” Solehah membetulkan duduknya.

“Siapa Che Amran Idris tu?” Soal Fatimah.

“Salah seorang ahli kumpulan Raihan. Nanti balik, kamu boleh google je nanti,” jawab Solehah tenang.

“Apa ceritanya tu, cikgu?” Hafizah tidak sabar mahu mendengar. Solehah menarik nafas dan hembus perlahan sebelum memulakan kisahnya.

“Mulakan setiap kerja kita dengan bismillah atau lebih lengkap lagi, bismillahirrahmanirrahim. Tahukah kamu semua kalimah ini sangat penting?”

Solehah memandang satu-per-satu wajah polos anak-anak didiknya itu.

“Pentinglah cikgu. Barulah apa yang kita lakukan itu berkat,” sahut Hafizah.

Solehah menganggukkan kepalanya lantas tersenyum.

“Betul tu Hafizah. Lafaz bismillah ini penting jika kita mahu apa yang kita lakukan itu dinilai oleh Allah sebagai ibadah di sisi-Nya. Memulakan apa sahaja dengan menyebut kalimah Allah, secara rasminya kita telah ‘bersama-sama’ dengan Allah bagi mendapatkan pertolongan dan reda daripada-Nya. Syaitan tak suka kalau kita baca kalimah ni, umpama, usaha untuk menghasut kita melakukan kejahatan sudah terhalang.”

Masing-masing menganggukkan kepala. Mengerti setiap kata yang disampaikan oleh Solehah dengan baik sekali.

“Mak pun ada pesan. Kalau makan tu baca bismillah. Kalau tak nanti kita makan dengan syaitan. Eeiiii!” Fatimah berkerut seribu.

“Benar, Fatimah. Nabi juga ada pesan pada kita, nak makan atau minum, mulai dengan bismillah, sudahi dengan alhamdulillah. Semoga apa yang kita makan dan minum itu Allah berkati dan lindungi kita dari segala yang memudaratkan diri,” sambung Solehah.

“Nak masuk rumah, surau, masjid, bilik, asrama, atau kelas sekalipun, biasakan diri melangkah masuk dengan melafazkan kalimah bismillah. Sabda Nabi S.A.W, apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca bismillah) ketika masuk dan ketika makan, maka berkatalah syaitan, tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah peluang pada makanan malam kamu. Dan apabila seorang masuk ke dalam rumahnya, maka dia tidak menyebut Allah ketika masuk, maka berkatalah syaitan, aku akan bermalam dengan kamu.”

“Wah, begitu besar manfaat baca bismillah ni ya? Ingatkan sekadar baca sahaja, tak ada apa-apa makna di sebalik kena baca ni. Terima kasih cikgu. Fatimah janji, Fatimah akan amalkan benda ni,” ujar Fatimah bersemangat.

“Hafizah pun!” Sahut Hafizah juga bersemangat.

“Kami juga!” Semua di hadapan Solehah turut bersorak.

“Alhamdulillah. Semoga ada manfaatnya apa yang cikgu sampaikan pada kamu ni. Cikgu doakan agar kita semua dapat biasakan diri agar istiqomah dengan lafaz kalimah ini setiap kali mahu melakukan apa sahaja, bermula daripada bangun tidur sampailah tidur semula. Semoga dengan ini, Allah mempermudahkan segala urusan harian kita dan melindungi diri kita daripada segala yang memudaratkan.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.