Allah… Engkau tahu akan hadirnya dalam hatiku.
Allah… Engkau tahu akan kasihku padanya dari dulu.
Allah… Engkau tahu pengharapanku menjadi kesudahan ini.
Sungguh-sungguh aku mengimpikannya.
Sungguh-sungguh aku mengharapkan dia menjadi sahabat hidupku,
menjadi imam dalam solatku, bersama-sama meraih syurga-Mu.
Aku ingin sekali menjadi suri hatinya.
Menjaga makan minumnya.
Mengingatkan dia untuk solat bersama.
Membina istana keluarga bahagia.
Dialah insan yang begitu aku damba.
Sosok peribadinya, aku yakin dia dapat membimbingku ke jalan-Mu.
Ketampanan wajahnya seanggun ibadahnya.
Penyantun terhadap orang tua, bahkan selalu mengasihi mereka yang lemah.
Allah…
Engkau tahu akan segalanya, tentang hatiku selalu berkata-kata tentangnya.
Aku malu untuk jujur kepada-Mu ya Allah.
Namun pengharapanku, hanyalah bersandar kepada-Mu.
Allah…
Sungguh Engkau mengetahui, keakraban antara aku dan dia.
Dalam tawa dan gurauan mesra.
Aku hanya mengharapkan kita menjadi ikatan yang sah.
Sehingga waktu itu tiba, kusimpan segalanya dalam dakapan-Mu seutuhnya.
Ya Allah, Ya Robbi…
Waktu itu telah tiba, ikatan menjalin kasih keluarga telah sampai waktunya.
Namun…
Bukanlah aku wanita yang dipinangnya.
Bukanlah aku wanita yang akan menjadi bidadarinya.
Bukanlah aku yang akan menjadi penemannya.
Setelah dia memberi pengharapan yang begitu besar kepadaku,
setengah mati aku menaruh kasih terhadapnya,
setelah seolah-olah dia begitu bersungguh akanku,
semuanya adalah pengharapan palsu.
Allah,
mengapa yang menjadi pilihannya harus sahabat baikku pula.
Tidakkah ada yang lain selain dia.
Mengapa aku harus menjadi saksi
dalam gelumat yang menyakiti hatiku sendiri.
Aku benci ya Allah, aku benci.
Ya Allah, Kau mendengar segala jeritan hati yang meronta.
Sakit ya Allah, sungguh-sungguh sakit.
Mahligai yang inginku bina sekian lama hancur sehancur-hancurnya.
Begitu perih hati ini kurasakan.
Seakan sesaknya dadaku, tanpa rasa.
Sungguh Engkau melihat segalanya.
Tentang sebelum dan kesudahannya.
Aku yang putus asa, menggenggam nasib penuh malapetaka.
Aku tidak bisa menerima semua ini ya Allah.
Mengapa harus aku, mengapa tidak orang lain.
Tidakkah kau dengar pintaku saban hari saban malam kepada-Mu.
Tidakkah kau tahu aku menyintainya melebihi diriku.
Aku merayu… hentikanlah rasa sakit ini daripadaku.
Allahu…
Mengapa dunia ini begitu kejam melayaniku.
Mengapa dunia ini begitu jahat untuk aku bahagia.
Mengapa? Tidakku sedari akan kuasa Tuhan.
Tidakku sedari akan kehendak Tuhan.
Tidakku sedari akan nikmat-Nya yang telah aku makan.
Tidak pula kutahu takdir yang tertulis untukku di lauhul mahfuz.
Bila takdir merentap hidupku, aku keliru, aku musnah, dan kecewa.
Kerana aku tahu, aku tak mampu mengundurkan waktu.
Kerana aku tahu, segala kehendak-Nya.
Lebih baik daripada yang aku tahu.
Kesatlah air mata dan segala luka
biarkan saja semuanya tersimpan tersimpan dalam diari Tuhan-mu.
Saat hari bahagianya.
Aku tak termampu memenuhi jemputan mereka.
Dengan sengaja aku bermusafir melihat dunia.
Tentu aku merasa lebih bahagia.
Menikmati alam semesta yang penuh dengan anugerah Tuhan.
Sesungguhnya aku akan temui ubat hati dalam perjalanan
kerana aku yakin Tuhan masih sayangkan diriku.
Sudah tiga tahun aku meninggalkan desa.
Aku kembali kerana hatiku mulai menerima
segala rasa yang pernah mematikanku.
Aku kembali untuk menikmati udara dan alam di tanah kelahiranku.
Tanpa sengaja aku bertemu mereka.
Seakan hidupnya begitu bahagia.
Sedikit rasa cemburu masih ada.
Tapi aku tahu, Allah ada.
Tentu ada kenikmatan di sebaliknya.
Saat mereka datang menyapa.
Seolah-olah aku tak tahu berkata apa.
Saat menikmati suasana nan indah,
sang suami menunjuk ke arah pokok besar,
mengenangkan akan kisah cinta bersamanya,
di mana dia menemukan sepucuk surat cinta,
serta makanan yang selalu dihidangkan untuknya.
Sang isteri seraya berkata,
dia tidak pernah melakukannya,
dia tidak gemar menulis surat atau membacanya,
dia hanya sering ke sawah atas permintaan ibunya,
untuk menghantarkan makanan kepada ayahnya,
dan terus berlalu pergi.
Sang suami masih tercengang akan surat-surat yang pernah diterima dulu,
akan perhatian yang diberikan begitu mendalam.
Lantas dia melirih ke arah aku dan masih menanyakan siapakah di sebalik semua itu.
Menarik nafas panjang,
inilah masa yang terluang dan akan aku katakan kepadanya segalanya.
Wahai dikau…
Dulu yang aku cinta.
Dulu yang aku kasihi sepenuh jiwa.
Telahku letakkan separuh hidup akan pengharapanku untuk bersamamu.
Telahku santuni dikau untuk memikat hatimu.
Aku hantar surat-surat di bawah celah batu di bawah pokok yang rimbun itu,
di mana tempat engkau berteduh, telah kuluahkan segala isi hati untuk memujukmu.
Telahku nyatakan hasrat ingin membina bahtera cinta bersamamu.
Kuhantar makanan agar kau tahu aku dapat menjagamu.
Kau telah membalasnya dengan baik,
segala surat yang kau baca kau tersenyum riang.
Sehingga surat-surat itu kau hanya balas
dengan satu kad jemputan pernikahanmu kepadaku.
Saat mulutnya menggumam dan matanya berkaca-kaca,
akan kejamnya dia, hanya kata maaf keluar dari bibirnya.
Aku berharap maafmu, mengembalikan aku seperti dulu.
Tetapi tidak semudah lidah mengutarakan kata.
Masih lagi ada rasa kecewa yang tersisa.
Aku berharap dapat membuang segala rasa yang pernah ada.
Dan aku berharap cukuplah di sini, tentang kau dan aku.
Aku tidak memusuhimu, tidak pula ingin menjadi temanmu.
Aku hanya ingin hidup bahagia walau tanpa ada kamu.
Semua itu sudah cukup bagiku.
Cinta manusia boleh membuatku mati.
Namun, cinta pada Allah selepas mati serasa akan hidup kembali.
Itulah kesilapanku yang cukup besar…
Dia lebih menyayangi lebih yang aku tahu.
Aku tersentap dengan takdir Tuhan,
seakan Dia tidak adil terhadapku,
seakan dunia ini begitu kejam.
Tapi inilah takdir.
Kau bukan milikku,
Kau bukan jodohku.
Inilah takdir yang kuasa.
Tinta tertulis tiada jodoh antara kita.
Allah, sungguh sakit saat aku mengatakannya.
Sungguh pahit untuk kurasakan semula.
Kerana Engkau selalu ada, ya Robbi.
Hati ini adakalanya berhenti menangisi duniawi
kerana akhirat adalah kehidupan yang hakiki.
Ampunkanlah aku.
Pilihlah aku menjadi kekasih-Mu.
Berikanlah aku kesempatan waktu untuk lebih mengenal-Mu.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Sirotulnaimah Binti Mathasan. Berasal dari Setapak, Kuala Lumpur.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.