Setiap yang bernyawa pasti mengimpikan sebuah kehidupan dan suatu pencapaian yang terbaik dalam hidup.
Kehidupan ini diibaratkan satu putaran waktu. Susah dan senang, usia muda dan usia tua, masa lapang dan masa sibuk, kaya dan miskin, sihat dan sakit, hidup dan mati, kitaran ini saling melengkapi dalam setiap kehidupan.
Ia seiring dan seakan sukar untuk dipisahkan daripada hidup setiap yang bergelar makhluk bernyawa.
Kita ibaratkan proses kehidupan ini seperti seekor burung yang kepatahan sayap atau mengalami luka, sudah pasti ia memerlukan masa untuk proses penyembuhan berlaku.
Sepanjang tempoh pemulihan itu, sang burung berkenaan memerlukan masa rehat yang secukupnya untuk kembali pulih dan terbang bebas seperti sediakala.
Nikmat kebebasan yang pernah dikecapi sudah pasti sangat diharapkan agar ia dapat dinikmati kembali.
Setelah kembali pulih, terbanglah sang burung bebas menikmati indahnya bumi ciptaan Allah ini. Rasa syukur dan bahagia tentunya tidak putus dari lubuk hatinya.
Begitu juga diibaratkan dengan kehidupan seorang hamba bergelar manusia. Selagi nikmat kehidupan ini diperoleh seperti kehendak hati, sudah pasti hati akan sentiasa berbunga bahagia.
Namun begitu, pada tahap mana pula kesyukuran kita sebagai seorang hamba apabila nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan ini ditarik buat sementara atau selamanya?
Bagaimana pula seandainya nikmat itu Allah tukarkan atau dipulangkan derita sebagai ujian hidup?
Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang Allah anugerahkan kepada setiap makhluk yang bernafas di bumiNya. Tidak mampu untuk kita hitung jumlah nikmat tersebut.
Lahir sahaja kita ke dunia ini, maka bermulalah kehidupan sebagai seorang hamba iaitu untuk menjadi khalifah di muka bumi.
Penciptaan kita sebagai manusia di muka bumi ini merupakan tanda kasih sayang Allah sebagai Pencipta buat hambaNya yang tunduk dan patuh pada perintah dan laranganNya iaitu untuk beribadah kepada Allah.
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Adh-Dhariyat : Ayat 56)
Memakmurkan bumi Tuhan ini merupakan tanggungjawab setiap insan.
Sedang kita bergembira atau berduka, semua itu hadir dengan sebab dan hikmah yang kekadang tidak kita jangka malah kekadang pula kita melupakannya.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a., bertanya: Nabi SAW bersabda: “Ada dua nikmat yang sering kebanyakan manusia tertipu dengannya (sering melupakannya), iaitu waktu sihat dan waktu lapang.” (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4.: No.1737)
Seringkali kita sebagai hambaNya terleka dan alpa dengan nikmat kurniaanNya apabila terlalu taksub mengejar kemewahan dunia. Sedang kita tahu dengan akal fikir yang sihat, dunia ini hanya sebuah persinggahan dan kehidupan yang abadi adalah di akhirat sana.
“Dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” (Surah Adh-Dhariyat : Ayat 55)
Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberianNya.
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini fana (tidak kekal) dan kehidupan abadi itu hanya wujud setelah kita dibangkitkan kembali di Padang Mahsyar nanti.
Hitungan amal dan pembalasan akan dimulakan dan itulah permulaan sebenar sebuah kehidupan.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Norihan binti Mohd Zin. Berkelulusan Sarjana Muda Sains (Gunaan Perikanan) dari UMT. Kini sedang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N19.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.