,

Sukarkah Menjadi Dewasa?

Sukarkah Menjadi Dewasa? – SATU persoalan yang seringkali menebak kotak pemikiran seorang graduan yang masih mentah mengharungi dunia realiti.

Mengapa makin kaki ini melangkah ke hadapan makin berat dan pendek bahkan perlahan sekali kaki ini dihayun.

Dunia orang dewasa yang menuntut bekalan kekuatan hati, menuntut kepakaran penguasaan emosi bahkan kekuatan fizikal tidak mungkin dapat kita elakkan.

Semakin hari semakin aku sedar bahawa dunia ini bukan semudah yang disangka untuk dilalui apabila sudah bertambah komitmen diri dan ia perlu diuruskan oleh diri sendiri sepenuhnya.

Di alam universiti kita hanya terbeban dengan lambakan tugasan pelajaran, soal hati bukan satu kepentingan untuk orang sepertiku pada waktu itu.

Wang juga tidakku habiskan untuk perkara yang sia-sia dan sentiasa mencukupi bahkan tidak jadi satu perkara yang membebankan jiwa. Punya teman yang ramai bahkan selalu mengingatkan aku tentang Allah dan amalan penguat jiwa.

Namun sejak kebelakangan ini, berkali-kali soalan yang sama menghantui diri ‘mengapa aku harus dewasa, mengapa tidak aku tinggal saja di rumah dan meneruskan kehidupan sebagaimana waktu kecilku dulu?’

Sehingga pada satu ketika perlu kita sedar, yang menguatkan kita adalah bergantung kepada kita. Kita yang mencorakkan kehidupan kita, bagaimana kita memandang kehidupan ini mempengaruhi tahap penerimaan kita terhadap kehidupan ini yang semestinya tidak akan lancar sentiasa.

Menjadi dewasa adalah fitrah, setiap waktu dan ketika umur kita makin bertambah. Makin banyak perkara yang menuntut kita untuk faham, yang memerlukan tindakan bahkan memerlukan sentuhan kita untuk menjadi lengkap.

Ibu bapa kita tidak selamanya muda, kudrat tidak selamanya mampu menanggung beban dan tekanan. Sampai satu masa kita yang perlu membantu mereka dan membalas jasa atas kudrat yang hilang kerana kita.

Keluhan demi keluhan yang terpacul keluar dari bibir tidak ada gunanya untuk membangunkan kehidupan, jika dilayan ia hanya menjadi parasit yang merosakkan jiwa dan pemikiran.

‘alangkah indahnya hidup seperti burung, bebas terbang ke sana ke mari.’

Memang senang melihat hidup sang burung, terbang ke sana ke mari di langit menjadikan panorama alam begitu mendamaikan.

Namun hakikatnya, terbangnya sang burung bukan sekadar terbang. Mereka juga menanggung beban yang telah ditetapkan Allah.

Menanggung fitrah mencari rezeki untuk mengisi perut yang kosong. Menyuapi anak-anak yang juga tidak berakal manusia sehingga nanti bila si anak dewasa mereka mengulangi perbuatan yang sama.

Jika tidak, manakan mungkin ada hadis yang menjadikan burung sebagai teladan. Satu hadis yang menceritakan berkenaan tawakal seekor burung yang bermaksud:

Umar bin Khattab radiyallahu’anhu berkata, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Andaikan kalian tawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang harinya dengan perut kenyang.” (Shahih Tirmidzi, hasan shohih)

Hal ini menjadi iktibar buat manusia, burung juga bekerja secara azalinya, mereka juga perlu bergerak untuk hidup mereka.

Sukarkah menjadi dewasa?

Ya sukar jika jiwamu tidak kuat, jika kelalaian yang kau isi sebagai penguat. Jika hiburan yang kau cari saat buntu dan tersesat.

Dan semestinya sukar jika ego tinggi melangit tidak mahu sujud memohon ampun kepada Allah yang Maha Kuat, merasa selesa dengan hidup yang tidak berkat, meletakkan keinginan sendiri sebelum mencari titik syarie dalam hidup yang singkat.

Dalam hidup ni, formula Doa.Usaha.Ikhlas.Tawakal (D.U.I.T) bukan hanya terpakai untuk para pelajar yang mengikuti program motivasi bahkan jua untuk si dewasa yang sudah berumur dalam menempuh cabaran hidup yang tidak terduga.

Istilah tawakal tidak kukuh untuk diguna pakai tanpa usaha, doa serta ikhlas. Istilah doa tidak kukuh digunapakai tanpa usaha, ikhlas dan tawakal.

Istilah usaha tidak kukuh untuk diguna pakai tanpa doa, ikhlas dan tawakal. Dan istilah ikhlas tidak kukuh diguna pakai tanpa doa, usaha dan tawakal.

Orang yang bertawakal setelah sempurna tuntutan yang lain maka dihatinya tiada keluh-kesah. Redha dengan apa jua natijah kehidupan yang mungkin indah atau mungkin sebaliknya.

Orang yang melihat dari kaca mata penuh keimanan takkan menyalahkan takdir, takkan mudah berputus asa daripada apa jua yang diusahakan.

Moga kita tergolong dalam lingkungan orang dewasa yang sentiasa memandang kehidupan melalui teropong yang baik.

Sehingga dewasa itu tidak lagi menjadi satu beban selagi mana jiwanya bergantung kepada Allah yang mengawal segala sesuatu daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Moga Allah redha.

Siiru ‘ala barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.