“If you want to make your dreams come true,
the first thing you have to do is wake up!”
Setiap manusia di bumi persinggahan ini sudah tentu mempunyai impian yang berbeza.
Ada yang impikan mempunyai kereta yang mewah seperti BMW. Ada yang inginkan mempunyai rumah yang besar laksana istana. Ada juga yang impikan mempunyai harta yang banyak.
Tetapi, kita sentiasa hanyut dalam impian di alam fantasi kita tanpa menyedari di alam realiti kita bagaimana?
Tepuk dada tanya iman! Adakah aku ini manusia yang bersyukur dengan nikmat Tuhan?
Untuk mencapai sesuatu impian, perlukah kita hanya duduk bermimpi tanpa berusaha?
Sudah tentu tidak! Lampu Aladdin tidak akan bersinar dengan sendirinya, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu.
Itulah persis ungkapan kata Alex Osborn. Benar katanya, mana mungkin kejayaan akan diperoleh tanpa usaha.
Di alam fantasi, kita boleh terus bermimpi seperti Mat Jenin yang sentiasa berangan-angan untuk menjadi kaya-raya.
Mat Jenin sentiasa berangan-angan di atas pokok. Akhirnya, malang menimpa dirinya. Dia terjatuh.
Mahukah kita menjadi seperti Mat Jenin?
Namun begitu, sedarkah kita bahawa berdoa kepada Yang Maha Satu juga penting kerana Allah SWT yang menjadikan setiap impian kita itu menjadi fantasi ataupun realiti.
Hanya kepada Allah SWT tempat kita memohon.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Seandainya kamu sekalian benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian sebagaimana DIA memberikan rezeki kepada burung. Burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut kosong (lapar) dan pada waktu petang ia kembali dengan perut kenyang.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Walau apapun impian kita, usaha itu penting!
Paling penting juga bertawakal kepada DIA kerana DIA sebaik-baik perancang dalam kehidupan kita.
Semoga kita menjadi hamba DIA yang sentiasa mengingati-Nya dalam apa-apa jua pekerjaan kita.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.