, ,

Maksud Dan Tafsir Mimpi

Mimpi berhubung rapat dengan tidur. Tidur itu perlu untuk tubuh supaya kita sihat dan dapat berehat.

Tidur adalah keperluan dan bukti kehebatan Allah dan kita ini hamba-Nya yang lemah.

Sesungguhnya Allah itu tidak tidur dan berkuasa penuh pada jiwa dan roh manusia.

Melatonin (hormon yang wujud dalam otak kita) membantu kita berasa mengantuk apabila tiba waktunya.

Ia bertindak balas dengan cahaya di luar mata (menjadi aktif apabila malam makin larut dan gelap).

“Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).” (Surah Yunus: ayat 67)

Melalui buku yang berjudul “Fail Sulit Mimpi” yang ditulis oleh Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim Al-Hafiz, saya kongsikan sedikit huraian beliau tentang maksud mimpi.

Maksud mimpi ada 3 jenis.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya ialah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam ialah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian. Mimpi itu tiga jenis: (1) Mimpi yang benar ialah perkhabaran gembira daripada Allah, (2) mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia.” (Hadith riwayat Muslim)

  1. Mimpi benar untuk orang soleh.

Mimpi yang benar hanya dianugerahkan pada orang soleh yang benar lidahnya.

  1. Mimpi mainan tidur.

Jenis ini dipengaruhi emosi dan psikologi. Kadangkala mimpi adalah sesuatu yang kita rasa atau lalui dan terbawa-bawa sewaktu kita tidur.

  1. Mimpi gangguan syaitan.

Syaitan dah berjanji mahu merosakkan kita. Jadi ketika mimpi pun syaitan mampu menganggu. Jika boleh syaitan mahu hati kita dipenuhi rasa syak, curiga dan sangka buruk terhadap seseorang atau sesuatu keadaan.

Tangkislah dengan baik serangan mimpi itu. Jika kita bermimpi sesuatu yang tak disukai, berdoalah agar dihindari dan jangan diceritakan kepada orang lain kerana mimpi itu tidak akan memudaratkan.

Pohonlah perlindungan daripada-Nya. Ada satu riwayat lain, menyatakan jika mimpi buruk, ludah ke kiri sebanyak tiga kali, mohon perlindungan Allah daripada kejahatan syaitan sebanyak 3 kali dan beralih tempat tidur.

Namun, jika bermimpi perkara yang kita sukai, maka pujilah Allah dan berbicaralah tentangnya.

Maksud mimpi bagi orang bukan Islam

Maksud bagi mimpi orang bukan Islam pula boleh jadi benar atau palsu. Kadangkala, boleh jadi hidayah.

Mimpi bertemu orang yang dah meninggal

Menurut Ustaz Al Habib Ali Zaenal Abidin, pertemuan antara orang hidup dan orang mati (mungkin) boleh terjadi dalam mimpi. Itu pernah berlaku semasa zaman sahabat Nabi SAW dulu.

Namun bukan satu kewajipan untuk mengimani mimpi tersebut. Sebab itu bukan perkara nyata. Dan tak semua perkara perlu diceritakan atau dibahaskan secara umum (dibimbangi orang keliru).

Pentafsir mimpi

Namun, ketahuilah bukan semua orang layak menafsir mimpi. Mimpi diibaratkan seperti sesuatu yang tergantung pada kaki burung, tidak tetap atau stabil selagi tidak ditafsirkan orang yang pandai.

Perlu rujuk orang yang soleh dan ada ilmu berkaitan. Elakkanlah mempercayai perkara dan ilmu yang salah di sisi Tuhan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Jangan (sesekali) kamu ceritakan mimpimu melainkan kepada orang yang berpengetahuan atau pemberi nasihat (yang ikhlas).” (Hadith riwayat al-Tirmizi)

Adab-adab tidur

Antara adab-ada tidur dalam Islam adalah seperti; menutup lampu, pintu dan bekas makanan sebelum tidur, berwuduk, mengiring pada bahagian kanan badan, kibas tempat tidur, berdoa, membaca ayat-ayat al-Quran pilihan, tidur awal selepas Isyak dan tidak tidur meniarap.

Misteri

Banyak misteri mimpi disebut dalam al-Quran jika kita benar beriman dan memahaminya. Seperti al-Quran, mimpi yang direkodkan daripada hadith sahih juga mempunyai nilai dan pengajaran tersendiri.

Antara mimpi yang  tercatat dan sarat pengajaran adalah seperti mimpi Nabi Yusuf AS, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW.

“Dan ia (Nabi Muhammad SAW) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah an-Najm ayat 3-4)

Panjang lagi huraian termasuklah tentang maksud mimpi bertemu Rasulullah SAW yang dihuraikan Ustaz Abdullah dalam buku ini.

Malah ada di antara mimpi-mimpi Nabi yang turut dikisahkan.

Jika mahu mengetahui lebih banyak hal berkaitan, dapatkan buku ini mahupun berhubung terus dengan Ustaz Abdullah sendiri yang lebih dikenali sebagai wartawan al-Quran melalui kuliah-kuliah beliau.

Sekian. Wallahu’alam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.