, ,

Dabus Rohani: Nyanyian Pengubat Jiwa

Sebagai agama yang meraikan fitrah, Islam tidak menghalang penganutnya bergembira atau berhibur.

Sebaliknya, Islam menyediakan garis panduan supaya kita tidak memilih bentuk hiburan yang salah. Antara bentuk hiburan yang ingin disentuh dalam tulisan ini ialah muzik dan nyanyian.

Tidak salah kita menikmati keindahan susunan muzik serta makna lirik yang terkandung dalam sesebuah nyanyian.

Namun, alangkah baiknya jika kita memilih bentuk hiburan yang bermanfaat. Hiburan yang melahirkan renungan. Kerana hiburan kosong tanpa renungan adalah hiburan yang miskin nilai dan sia-sia.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda: “Di antara tanda kebaikan Islam pada diri seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat kepada dirinya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dabus Rohani – Kopratasa

Dalam tulisan ini, saya ingin bercerita tentang sebuah lagu lama kegemaran saya, bertajuk Dabus Rohani.

Lagu ini telah dinyanyikan semula oleh kumpulan Kopratasa. Tidak ramai yang tahu lagu ini sebenarnya sebuah lagu tradisional dari negeri Perak yang pernah popular suatu ketika dulu.

Salah seorang anggota kumpulan Kopratasa, Usop memberitahu, sebahagian lirik awal dalam lagu ini adalah lirik asal dalam tarian dabus.

Hanya melodinya dicipta semula oleh Sani Sudin dengan gabungan melodi asalnya manakala Khalid Salleh pula mencipta lirik bagi Dabus Rohani.

Kata Usop lagi, apa yang hendak disampaikan dalam Dabus Rohani adalah mudah dan berterus terang, iaitu sebuah lagu yang bertujuan untuk mengubat jiwa.

Kredit Foto : Twitter Kopratasa Official

Sebagai nota ringkas, mari kita renungi beberapa makna yang terkandung dalam lagu ini:

Baju putih selendang putih
Mari dibawa pergi sembahyang

Bait ini selari dengan sepotong ayat al-Quran :

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah-indah pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf : 31)

Menurut Dr. Muhammad Sulaiman Abdullah al-Asyqar di dalam kitab beliau Zubdatu at-Tafsir, ayat ini mengandungi dua perintah Allah yang utama.

Pertama, suruhan untuk mengenakan pakaian bersih serta cantik ketika menghadiri masjid untuk solat dan tawaf.

Kedua, larangan al-Israf atau melampau dalam urusan makan minum dan berbelanja.

Allah kasih, Muhammad kasih
Rasulullah terlalu sayang

Bait ini selari dengan sepotong ayat al-Quran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali-Imran: 31)

Kecintaan kepada Allah akan melahirkan kesungguhan untuk mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kesan daripada itu, Allah akan melimpahkan kepada hamba-Nya keampunan, ganjaran serta petunjuk ke jalan yang lurus.

Jika Allah dan Rasul-Nya sendiri sudah kasihkan kita, apa lagi yang kita mahukan dari kehidupan dunia?

Ertikan kehidupan ini
Ucapkan syukur kepada-Nya
Rabbul ‘Izzati Tuhan sesungguhnya
Pasrah dan redha akar insani

Rangkap ini selari dengan sepotong ayat al-Quran:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu : Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Lihat bagaimana Quran menarik perhatian kita dengan lafaz ‘Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu’, seakan-akan satu seruan supaya kita menumpukan perhatian kepada perintah bersyukur yang datang selepasnya.

Bersyukurlah dengan memperbanyak dan meningkatkan kualiti ibadah. Bersyukurlah dengan memelihara setiap nikmat yang Allah berikan. Bersyukurlah dengan tidak lupa daratan, apatah lagi kedekut mengeluarkan sedekah.

Jika kita tidak mensyukuri nikmat, maka layaklah kita ditimpakan azab pedih seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Waktu hidup di dunia
Janganlah leka terpesona
Oleh jaring segala kepalsuan
Dengan wajah keindahan
Tabir halus yang mengasyikkan
Terkapar hayat sampai ke akhirnya

Rangkap ini selari dengan sepotong ayat al-Quran:

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah al-Ankabut: 64)

Penutup

Saya akhiri artikel ini dengan memetik kata-kata Ustaz Sulaiman Hilmi kepada jin Islam bernama Harun. Kedua-duanya merupakan watak rekaan di dalam novel Advencer Si Peniup Ney.

“Muzik serta nyanyian bukan semata-mata hiburan dan keseronokan. Mereka tidak nampak bahawa muzik rapat dengan jiwa, dan jiwa yang tenang membawa kepada Tuhan.”

Jika tulisan kecil ini mengandungi secebis kebaikan, sebarkan kepada rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kita tidak jemu berkongsi kebaikan bagi meraih pahala berpanjangan.

******

Rujukan

  1. Terjemahan al-Quran Basmeih.
  2. Sunan Tirmizi.
  3. Dr. Muhammad Sulaiman Abdullah al-Asyqar, Zubdatu at-Tafsir.
  4. Temuramah Kumpulan Kopratasa, Utusan Malaysia 2 Januari 1999.
  5. Advencer Si Peniup Ney.

 

Nota Hujung

Salam perkenalan kepada komuniti pembaca iLuvislam. Semoga anda dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Allah.
Insya-Allah dalam tulisan akan datang, saya akan fokus menghantar artikel berbentuk ulasan buku, lirik lagu, ataupun filem yang bermanfaat.
Sekiranya anda ingin mencadangkan buku, lagu, atau filem tertentu, boleh tinggalkan komen pada pautan artikel ini di page Facebook iLuvIslam atau hantarkan emel ke haikalfansuri@gmail.com. Terima kasih.

 

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haikal Fansuri yang berasal dari Ipoh, Perak. Ikuti perkembangan beliau dengan melayari blog www.haikalfansuri.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.