,

Al-Zubair – Dibunuh kerana Berdamai

Al-Zubair bin al-‘Awwam, salah seorang sahabat yang dijamin syurga dan antara orang yang terawal memeluk Islam

Siapa tahu beliau juga memiliki hubungan kekeluargaan yang begitu rapat dengan Rasulullah SAW. 

Bapanya, Al-‘Awwam bin Khuwailid merupakan saudara kepada Ummul Mukminin Saidatina Khadijah.

Manakala ibunya pula iaitu Shafiyyah binti Abdul Muttalib pula merupakan ibu saudara kepada Rasulullah SAW.

Al-Zubair sempat bersama Rasulullah SAW sehingga Baginda wafat. 

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota syura bagi memilih penggantinya. 

Mereka semua berjumlah enam orang.

Digelar Al-Hawariyyu

Al-Hawariyyu atau al-Hawariyyun merupakan gelaran kepada murid-murid Nabi Isa AS

Allah SWT juga menyebutkan kisah mereka ini di dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! 

Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah 

Sebagaimana (al-hawariyyun) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada mereka: ‘Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?’ Mereka menjawab: ‘Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!”’ - QS Al-Saff 61: 14

Manakala Nabi Muhammad SAW juga memiliki murid dan pengikut.

Namun, mereka tidak digelar sebagai al-Hawariyyun sebagaimana Nabi Isa. 

Sebaliknya, bagi Nabi Muhammad mereka digelar sebagai al-Sahabah ataupun sahabat. 

Namun, salah seorang sahabat nabi yang bernama al-Zubair ini mendapat gelaran al-hawariyyu  daripada mulut Nabi SAW yang mulia itu.

Sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn al-Athir dalam Asad al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah. 

Ali bin Abi Talib berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Bagi setiap nabi ada pembantunya (hawariyyu). 

Pembantu (hawariyyu) bagiku ialah al-Zubair bin al-‘Awwam.”

Hal ini diakui oleh Abdullah bin ‘Umar. 

Beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata: “Aku Ibn al-Hawariyyu!” 

Ketika mendengar kata-kata tersebut, Ibn ‘Umar berkata: “Sekiranya engkau anak kepada al-Zubair, ya. 

Jikalah tidak, maka engkau bukanlah Ibn al-Hawariyyu.”

Mula-mula Menghunus Pedang

Al-Zubair juga dikenali sebagai sahabat yang mula-mula menghunuskan pedang. 

Tatkala fasa awal dakwah di Mekah, ketika itu peperangan belum disyariatkan. 

Maka, umat Islam ketika itu hanya mampu bersabar dengan tekanan yang diberikan oleh golongan Quraisy.

Ketika itu, tersebar berita bahawa Rasulullah SAW telah ditangkap oleh Quraisy. 

Namun, sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, Al-Zubair tanpa membuang masa sambil menghunuskan pedangnya, mengajak orang ramai untuk turut menghunuskan pedangnya juga. 

Namun, tiba-tiba Baginda SAW muncul dan berkata kepadanya: “Ada apa denganmu wahai Zubair?” 

Beliau menjawab: “Dikhabarkan bahawa tuan telah ditangkap.” Lalu, Baginda SAW kemudiannya mendoakan beliau dan juga pedangnya.

Begitulah semangat Al-Zubair. Beliau tanpa berfikir panjang bersiap sedia untuk mengangkat senjata sekiranya Rasulullah diapa-apakan. 

Lalu, beliau dikenali sebagai orang yang mula-mula menghunuskan pedang dalam Islam walaupun ketika itu peperangan belum disyariatkan. 

Maka, tidak hairanlah setiap peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah seperti Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar, Fathul Mekah, Hunain dan Thaif beliau tidak ketinggalan untuk turut serta

Bukan itu sahaja, beliau juga turut menyertai ekspedisi pembukaan Mesir pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab.

Dibunuh Ketika Solat

Tahun berganti tahun. Rasululah SAW akhirnya wafat meninggalkan para sahabat dan umatnya. 

Urusan umat Islam kemudiannya dipikul oleh para Khulafa’ al-Rashidin, Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Namun, pada zaman Khalifah Ali, berlaku fitnah terbesar dalam kalangan umat Islam. 

Hal ini telah mencetuskan ketidakstabilan sehingga menyebabkan Peperangan Jamal

Peperangan antara blok Khalifah Ali dan blok yang dipimpin oleh Ummul Mukminin Aisyah, al-Zubair dan Talhah.       

Kedua-dua pasukan hampir bertemu. Namun, sebelum peperangan meletus, Khalifah Ali memanggil al-Zubair untuk menghadapnya.

Khalifah Ali berkata kepadanya: “Adakah engkau ingat tatkala aku dan engkau bersama Rasulullah SAW.

Baginda bersabda: “Engkau (al-Zubair) akan berperang dengannya (Ali) yang mana ketika itu engkau dalam keadaan menzalimi dirinya.”

Al-Zubair tersentap mengingati persitiwa itu. 

Beliau merasakan adakah yang dimaksudkan oleh Baginda SAW itu merujuk kepada peperangan yang bakal meletus ini? 

Beliau menjadi sebak dan kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan peperangan.

Beliau kemudiannya pergi ke suatu tempat bernama Wadi al-Siba’.

Beliau kemudiannya berwuduk dan mendirikan solat di sana. 

Namun, salah seorang pengikut Khalifah Ali yang tidak berpuas hati dengan perdamaian tersebut bertindak sendirian. 

Dia secara senyap-senyap telah mengekori al-Zubair. 

Tatkala menemuinya sedang solat, dia terus menghunuskan pedangnya kepada al-Zubair. 

Beliau syahid di bunuh di luar peperangan bukan di dalam peperangan.

Berasa bangga dengan tindakannya itu, lelaki tersebut mengambil pedang Al-Zubair lalu dipersembah kepada Khalifah Ali.

Mengenali pedang ini milik sahabatnya, beliau berkata: “Inilah pedang yang pernah meleraikan kesusahan yang ditimpa Rasulullah SAW”. 

Dengan marah, beliau berkata: “Ketahuilah orang yang membunuh Ibn Shafiyyah (al-Zubair) dijanjikan neraka untuknya!” 

Dikatakan bahawa pembunuh al-Zubair ialah seorang lelaki bernama ‘Amr bin Jarmuz.

Rujukan:

Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.

Al-Qur'anul Karim Surah Al-Saff 61: 14