,

Kisah Seorang Wanita Yang Mencungkil Matanya

Dalam kitab Jawahirul Bukhari menerangkan bahawa Hasan Basri sewaktu mudanya adalah seorang yang sangat cantik.

Hasan Basri sangat suka memakai pakaian yang cantik-cantik dan kegemarannya ialah suka berjalan-jalan di sekitar Kota Basrah. 

Pada suatu hari ketika Hasan Basri sedang berjalan jalan maka dia terpandang seorang wanita yang sangat cantik dan telah menarik perhatiannya.

Lalu Hasan Basri mengikut belakang gadis tersebut. 

Apabila wanita itu merasa ada orang mengekorinya maka dia pun menoleh ke belakang dan dia terpandang ada orang mengekorinya, lalu wanita itu berkata:

Wahai orang muda! Apakah kamu tidak malu?

Lalu wanita itu berkata:

Malulah kepada Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui mata yang khianat dan apa-apa yang terdapat dalam hati.

Hasan Basri tertarik kepada wanita tersebut dan terpendamlah rasa cinta dalam hatinya.

Hasan Basri tidak dapat mengawal nafsunya, lalu dia tetap mengekori wanita tersebut dari belakang. 

Apabila wanita tersebut melihat orang itu terus mengikutinya maka berkatalah wanita itu:

Mengapa kamu terus mengikuti aku?

Maka berkata Hasan Basri:

Sebenarnya aku terpesona dengan matamu yang cantik itu.

Sebaik sahaja wanita itu mendengar kata-kata orang itu maka dia pun berkata:

Baiklah, oleh kerana kamu cintakan mataku ini, maka aku harap kamu tunggulah di sini, sebentar lagi aku akan berikan kepada kamu apa yang kamu kehendaki.

Setelah berkata demikian maka wanita itu pun pergi, dalam hati Hasan Basri berkata:

Nampaknya dia telah menerima cintaku.

Maka duduklah Hasan Basri di tempat tersebut menanti kedatangan wanita itu. 

Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang pembantu (amah) menghampiri Hasan Basri sambil memberikan sebuah kotak yang tertutup.

Lalu Hasan Basri membuka kota tersebut dan dia terperanjat apabila dia mendapati dalam kotak itu terdapat sepasang biji mata.

Kemudian berkata pembantu tersebut:

Tuan puteriku berkata dia tidak memerlukan mata yang menyebabkan terpesonanya seseorang itu.

Apabila Hasan Basri mendengar kata-kata pembantu tersebut maka gementarlah seluruh tubuhnya serta berdiri bulu romanya.

Dia pun memegang janggutnya lalu berkata kepada dirinya sendiri:

Celaka betul kamu ini, dahlah berjanggut masih tidak ada rasa malu, sebagaimana malu wanita itu. 

Setelah Hasan Basri menyedari kesalahannya dia pun pulang ke rumah dan menangis semalaman. 

Pada keesokkan harinya Hasan Basri terus pergi ke rumah wanita itu untuk meminta maaf dan supaya dia menghalalkan kesalahan yang dia telah lakukan.

Apabila dia menghampiri rumah wanita tersebut, dia mendengar suara tangisan kaum wanita dalam rumah tersebut, maka dia pun bertanya kepada mereka yang berada di situ

Hasan Basri diberitahu bahawa wanita itu telah meninggal dunia. 

Hasan Basri tidak dapat menahan kesedihannya, lalu dia kembali ke rumah dan menangis selama tiga hari.

Pada malam yang ketiga Hasan Basri bermimpi bertemu dengan wanita tersebut, wanita tersebut telah ditempatkan di dalam syurga.

Lalu Hasan Basri berkata:

Kamu halalkanlah segala kesalahanku terhadapmu.

Kemudian wanita itu berkata:

Sesungguhnya aku telah menghalalkan segala-galanya dan aku telah mendapat kebaikan yang banyak dari Allah S.W.T, sebab kamu.

Setelah Hasan Basri mendengar pengakuan wanita tersebut maka dia pun berkata:

Berilah kepadaku sesuatu nasihat yang baik.

Berkata wanita tersebut:

Dengarlah nasihatku ini,

Apabila kamu bersendirian hendaklah kamu berzikir kepada Allah S.W.T. setiap pagi dan petang,

Beristigfarlah, mohonlah ampun kepada Allah S.W.T. dan bertaubatlah kepadanya.

Akhirnya Hasan Basri melaksanakan segala yang dinasihatkan kepadanya sehingga dia menjadi orang yang masyhur di kalangan masyarakat dengan zuhudnya dan taat kepada Allah S.W.T.

Dia memperolehi darjat yang tinggi lagi mulia di sisi Allah S.W.T., serta menjadi wali kekasih Allah. 

Seorang wanita telah mencungkil matanya disebabkan menjadi bahan fitnah.

Tetapi hari ini wanita berlumba lumba untuk menunjukkan aurat mereka dengan mendedahkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T. 

Wahai saudaraku tutuplah aurat sebab bakal yang akan melihat aurat itu terdiri dari mereka yang hendak merosakkan dan bukan yang hendak memelihara.

Dan apabila seseorang itu cinta kepada bentuknya yang ghairah maka sesungguhnya dia itu berserta dengan syaitan. 

Tidak rugi seorang wanita itu menutup auratnya, melainkan dia mendapat pahala di sisi Allah, Insya Allah dia akan selamat dari segala macam fitnah. 

 

Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.