Dikisahkan bahawa semasa berlaku kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israil, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata:
Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T.
Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu memberikan roti yang masih panas kepadanya.
Sebaik sahaja anak gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.
Setelah dari peristiwa itu maka Allah S.W.T. pun mengubah hidup orang kaya itu dengan menarik kembali segala harta kekayaannya.
Sehingga dia menjadi seorang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke satu rumah.
Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikkannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya.
Ibu itu sangat tertarik dengan anak gadis itu dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut.
Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila telah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya, oleh kerana anak gadis itu telah kudung dan suaminya tidak tahu bahawa dia itu kudung, ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.
Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri.
Apabila suaminya melihat akan kelakuan isterinya itu maka dia pun berkata:
Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak begitu pandai dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri.
Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba maka terdengar suara yang berkata dari sebelah pintu:
Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah,
Sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Kami, maka tidak ada halangan kami memberikan kamu kembali akan tangan kanan kamu itu.
Setelah anak gadis mendengar suara tersebut maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapat tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya.
Dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.
Hendaklah kita sentiasa menghormat tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud:
Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormati saya, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T.
Dan sesiapa telah menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia telah menjadikan kemarahan saya.
Dan sesiapa menjadikan kemarahan saya, sesungguhnya dia telah menjadi murka Allah S.W.T.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat.
Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.