, ,

Gedung Hadis Nabi – Abu Hurairah

Betapa indahnya ajaran agama Islam. Manusia diangkat sama rata di sisi Allah yang Maha Esa.

Tiada beza antara yang kaya dan yang miskin. Yang bangsawan mahupun yang hamba.

Kemuliaan manusia kini terletak kepada takwanya kepada Allah SWT.

Maka, dalam sejarah Islam kita sudah pasti akan menemui sosok sahabat yang terdiri daripada golongan yang miskin ini.

Kemiskinan mereka bukanlah disebabkan mereka malas. Tetapi disebabkan oleh warisan keluarga.

Namun, ada pula yang memanfaatkan keadaan mereka itu untuk satu tujuan iaitu berada dekat dengan Rasulullah SAW.

Maka, kali ini kita akan bercerita tentang seorang sahabat yang tidak asing lagi dalam bidang hadis iaitu Abu Hurairah RA.

Miskin Harta Tidak Miskin Jiwa

Kisah kehidupan Abu Hurairah yang serba kekurangan ini barang kali sudah diketahui ramai.

Beliau antara salah seorang sahabat yang tidak memiliki rumah sebaliknya hanya menumpang teduh di halaman Masjid Nabawi.

Golongan ini digelar sebagai Ahli Suffah.

Abu Hurairah bercerita: “Demi Allah, kadang kala disebabkan terlalu lapar, aku akan berbaring di atas tanah dan kadang kala aku akan mengikat batu pada perutku.”

Suatu ketika, Rasulullah SAW terserempak dengan beliau. Baginda dapat melihat riak wajah beliau yang lapar itu.

Lalu Baginda bertanya: “Abu Hurairah?” 

Beliau pun menyahut panggilan itu. Lalu, Baginda mengajaknya ke rumah dan mereka berdua mendapati terdapat sebekas susu.

Lalu Baginda bertanya: “Dari manakah datangnya susu ini?”

Kemudian dijawab: “Seseorang telah menghantarnya kepada tuan.”

Lalu, Baginda SAW berkata kepada Abu Hurairah: “Pergilah kamu kepada Ahli Suffah bersama susu ini.”

Ahli Suffah merupakan golongan Muhajirin yang tidak memiliki ahli keluarga dan harta benda.

Apabila sedekah diserahkan kepada Rasulullah, Baginda akan menyerahkan ia kepada mereka kerana Baginda tidak menerima sebarang bentuk sedekah.

Walaupun begitu keadaan mereka, mereka berpeluang untuk menuntut ilmu terus daripada Rasulullah. Ada juga yang menjadi pembantu kepada Baginda.

Maka, tidaklah kemiskinan mereka itu menjadikan mereka tidak berguna.

Seperti Abu Hurairah, beliau benar-benar memanfaatkan peluang ini untuk menghafal sebanyak mungkin hadis yang dilafazkan oleh Rasulullah SAW.

Kelebihan yang dimanfaatkan

Abu Hurairah boleh dikatakan agak lewat memeluk Islam iaitu pada tahun Peperangan Khaibar, tahun ketujuh Hijrah.

Bukan itu sahaja, beliau juga sebenarnya tidaklah lama bersama dengan Rasulullah, hanya selama empat tahun sahaja. Kemudian, Baginda pun wafat.

Boleh jadi, sebab itulah beliau ingin menghabiskan masanya sebaik mungkin dan sehampir mungkin dengan Baginda.

Akhirnya beliau menjadi antara sahabat yang meriwayatkan hadis paling banyak berbanding para sahabat yang lain iaitu sebanyak 5374 buah hadis!

Maka, ramailah yang meriwayatkan hadis daripada beliau.

Menurut Imam al-Bukhari, seramai 800 orang atau lebih yang meriwayatkan hadis daripada beliau seorang.

Abu Hurairah menceritakan: “Kamu mengatakan bahawa Abu Hurairah ini banyak mendapatkan hadis daripada Rasulullah SAW.

Kamu juga mengatakan bahawa orang-orang Muhajirin dan Ansar sendiri tidak mampu mendapatkan hadis seperti aku.

Sesungguhnya saudara-saudaraku Muhajirin sibuk dengan urusan mereka di pasar.

Manakala yang Ansar pula sibuk dengan urusan harta mereka.

Adapun aku ini hanya salah seorang Ahli Suffah yang miskin. Aku sering bersama Rasulullah SAW cukup sekadar perutku terisi...”

Abu Hurairah tidaklah memiliki harta yang melimpah ruah. Namun, beliau telah memenuhkan dadanya dengan hadis-hadis Nabi SAW.

Alangkah Malangnya

Tidak semua orang yang miskin dan tidak memiliki harta itu hina dan tidak berguna.

Mereka juga tidak wajar dilayan seperti haiwan jalanan. Itulah keindahan Islam.

Memandangkan status, taraf dan darjat telah dikeluarkan daripada menjadi ukur kemuliaan manusia, maka orang yang kaya tidak kekok untuk membantu.

Orang yang miskin pula tidaklah pula merasa diri mereka terlalu hina.

Semua itu tergambar dalam pelaksanaan ibadah zakat.

Ibadah yang menjadi salah satu rukun Islam yang penting.

Maka, kita tidak boleh dengan senang menilai seseorang hanya dengan melihat pada harta kekayaannya sahaja.

Jika miskin, terus diberikan tanggapan yang negatif. Walaubagaimanapun, tidak juga dinafikan ada yang miskin disebabkan oleh sikap malas mereka sendiri.

Jika sikap yang menjadikan seseorang itu susah dan melarat.

Maka, itulah penyakit yang tiada ubatnya di luar melainkan daripada dirinya sendiri.

Sedangkan sikap sebegini tidak diajar oleh Islam.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala’: Imam al-Dzahabi.