Bermusafir bukan saja membuatkan kita semakin dekat dengan penciptaan alam-Nya dan doa akan lebih mudah dimakbulkan,
namun juga membuatkan kita dapat mempelajari banyak ilmu selain dapat lebih mengenali seseorang (jika membawa teman).
Melalui buku 60 tip mengembara oleh Wan Hassan Wan Ismail, beliau ada berkongsi banyak tips persedian sebelum bermusafir.
Jadi pada penulisan kali ini, saya titipkan sebahagiannya, terutamanya ketika baru hendak bertolak dengan menaiki pesawat.
1. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di lapangan terbang seperti pemeriksaan ketat semasa menapis (screening) semua penumpang yang tiba.
2. Bersedia untuk berdepan dengan pegawai imigresen dan kastam. Biasanya mereka akan bertanya beberapa soalan, jawablah dengan yakin. Pastikan anda mengisi borang pendaratan jika ada.
3. Jangan serahkan pasport anda kepada orang yang tidak dikenali atau tidak mempunyai kuasa dalam bidang berkenaan. Biasanya pasport diperlukan di kaunter imigresen atau apabila polis membuat rondaan.
4. Tukar wang di tempat berdaftar. Contohnya di kaunter pengurup wang yang berdaftar atau bank di lapangan terbang.
5. Berhati-hati terhadap barangan serta dokumen anda dan orang yang mencurigakan. Jangan tinggalkan beg anda tanpa pengawasan.
6. Gerakkan anggota badan jika perjalanan terlalu lama. Anda boleh bangun dan berjalan di dalam pesawat kerana ia boleh membantu pengaliran darah serta menghindari penyakit.
7. Penuhi waktu lapang anda dengan aktiviti berfaedah. Merancang aktiviti yang patut dibuat (buat senarai semak) atau boleh isi dengan membaca al-Quran.
8. Jangan menyusahkan penumpang lain. Elakkan bercakap kuat misalnya.
9. Makanlah mengikut sukatan yang diberi. Keadaan badan ketika dalam pesawat dengan di luar adalah berbeza. Jangan terlalu banyak, bimbang memudaratkan.
10. Solat dalam pesawat. Anda boleh solat di tempat terbuka di dalam pesawat atau di atas kerusi jika ada kerumitan.
Banyak lagi tips yang berguna jika kita bertanya kepada mereka yang berilmu dan berpengalaman.
Selamat bermusafir dan moga perjalanan kita semua diredai-Nya.
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah al-Mulk ayat 15)
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.