,

Tuhan… Kenapa Aku Yang Engkau Pilih? (bahagian 2-akhir)

Suraya datang mendekati Nazirah yang sedang termenung merenung ke luar jendela. Hampir saja air matanya tumpah melihat kondisi sahabatnya yang dulu sangat ceria menjadi seperti orang yang sudah berputus asa mahu hidup.

Bahu sahabatnya disentuh.

“Naz… kenapa kau macam ni Naz? Kenapa kau siksa diri kau macam ni?” Soal Suraya.

Dia mendapat tahu daripada ibu Nazirah sudah hampir seminggu Nazirah tidak mahu menjamah makanan. Nazirah juga hanya memencilkan  diri di dalam bilik dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa.

“Tuhan yang seksa aku sebegini Su. Salah aku apa? Aku tak pernah tinggal solat. Aku sentiasa menjaga ibadah aku. Ya, aku tak baik. Tapi, ramai lagi yang jahat daripada aku. Kenapa Tuhan nak benci aku macam ni sekali!” Bentak Nazirah.

Suraya beristighfar di dalam hatinya. Nazirah ternyata sudah hilang pertimbangan. Selama dia mengenali sahabatnya ini, tidak pernah sekali Nazirah menyalahkan Tuhan atas apa pun ujian yang menimpa dirinya.

Mungkin ujian kali ini terlalu berat. Tapi tidak Allah uji seseorang melainkan apa yang termampu oleh dirinya.

“Istighfar Naz. Jangan salahkan Tuhan. Jangan menidakkan takdir. Allah uji pasti kerana Dia tahu kau mampu. Ya, aku mungkin tidak mengerti apa yang kau rasa. Tapi percayalah Allah itu ada, saat dunia ini mematahkan hatimu lalu memulaukan engkau jauh, ingatlah Allah tidak pernah pergi dan masih tetap di sisi menemani. Mungkin tak siapa tahu apa yang ada di hati kau. Tapi siapa yang lebih memahami hati itu melainkan Pencipta hati itu sendiri. Kuatkan keimanan kau Naz. Tetapkan keyakinan kau bahawa semua yang terjadi ini ada hikmah harus digali.”

Nazirah menangis semahunya di sisi sahabat yang disayanginya. Ya, dia dahagakan segala nasihat dan motivasi itu. Dia sudah tidak mampu untuk menanggung beban ujian ini.

“Dulu kau pernah kata. Dunia ini sementara dan untuk apa hidup ini dihambakan pada dunia sedang akhirat itulah yang kekal selamanya. Kau kata sia-sia hidup ini dihabiskan untuk mengejar dunia yang fatamorgana kerana kelak yang tinggal tiada apa walau hanya sisa. Seharusnya hidup ini diabdikan semata untuk Allah kerana akhirnya kita semua akan kembali pada Dia. Dan kau juga bicara, akhirnya hidup ini hanyalah satu jalan menuju kematian. Kerana mati itulah satu-satunya jalan untuk bertemu Tuhan. Kau lupakah sahabat apa yang pernah kau bicarakan?” Luah Suraya lagi.

Nazirah menangis lagi. Ya, dia ingat semua itu sedikit pun dia tidak lupa. Betapa mudahnya bicara namun payah sungguh untuk melaksanakannya. Dulu dia yang sering memotivasikan insan lain untuk kuat menghadapi ujian Tuhan. Tapi ternyata dia yang hanyut dalam pelayaran kerana dilambung ombak.

“Keluarlah daripada kegelapan ini Naz. Pimpin hati kau kembali. Redhalah Naz untuk apa yang terjadi. Kerana hanya setelah redha kau mampu melepaskan semua kesakitan ini. Bukankan sakit itu penghapus dosa. Mungkin Allah mahu kau dibersihkan daripada dosa hingga tiada lagi yang harus ditimbang tarakan. Dia mahu kau jumpa dia dalam keadaan paling baik. Jangan berputus asa Naz. Hidup kau masih tak berakhir hari ini. Mungkin esok juga masih ada atau untuk bertahun lagi hingga ke tua. Kerana kematian itu rahsia Allah Naz. Tiada siapa tahu. Selagi masih ada waktu. Nikmati hidup ini. Entah siapa tahu mungkin aku dulu pergi sebelum kau,” luah Suraya lagi.

“Dan cukuplah kematian itu menjadi satu nasihat…”

5 Tahun kemudian…

“Fa subhanallazi biyadihi mala kutu kulli syai in wa ilaihi turjaun. Sadaqallah hul azim.”

Dia menutup surah Yassinnya. Alhamdulillah hari ini dia berkesempatan untuk menziarahi sahabatnya. Lama nama pada batu nisan itu ditenungnya.

Ringkas tulisan namanya berbunyi “Noor Suraya Binti Alias”. Terbit air mata dari tubir mata Nazirah.

Siapa sangka sahabat yang selama ini menjadi penguat semangatnya akhirnya pergi dulu mengadap Illahi pada 2 tahun yang lepas setelah telibat kemalangan sewaktu pulang daripada solat Terawih.

Hancur hatinya menerima kematian sahabat yang kesayangannya itu namun Nazirah redha. Lagi pula sahabatnya pergi menghadap Ilahi dalam bulan suci persis seperti yang diimpikan Suraya.

Moga itu adalah satu pengakhiran yang baik buat sahabatnya. Diharap dikau tenang dalam jagaan Allah selalu sahabat.

Hari ini genap 3 tahun Nazirah dengan rasmi memegang title sebagai ‘Cancer Survival’. Segala puji bagi Allah yang menyembuhkan. Sungguh pengalaman melawan sakit kanser yang dihadapinya benar-benar merubah siapa dia yang sekarang ini.

Benarlah ujian itu walau perit namun ia kadang-kadang menjadi langkah mula untuk kita kembali kepada jalan yang benar.

Kini Nazirah aktif bergiat dalam melakukan aktiviti sukarelawan di serata Malaysia hatta hingga ke luar negara. Dia ingin meneruskan impian yang ditanamnya bersama Suraya.

Walau jasad Suraya telah bersemadi namun semangat perjuangan sahabatnya itu masih utuh tersemat dalam hati Nazirah.

Dia bertekad untuk memanfaatkan peluang hidup kedua yang diberikan Allah ini ke jalan yang boleh membawa kepada kemaslahatan ummah.

Terima kasih Allah atas sahabat sejati yang kau pinjamkan ini. Sahabat yang mengubah aku menjadi aku yang sekarang. Untuk sebuah pertemuan kita yang singkat ini, moga Allah redha.

 

“Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan.
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala.”

[Inteam: Sebuah Pertemuan]

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%