, ,

Tersentuh Melihat Kelakuan Gadis Berhoodie Itu

Kejadian ni dah lama terjadi, kira-kira 4 tahun lalu rasanya tapi hari ni baru teringat nak tulis. Saya rasa penting untuk share sebagai bahan muhasabah kita bersama.

Ada suatu hari tu, saya bersama keluarga melawat pak saudara yang sakit di Hospital Kuala Lumpur.

Waktu tu adalah waktu melawat jadi memang ramai pelawat datang.

Bila berjalan melewati ruang menunggu (ada set sofa, majalah-majalah dan tv di situ) saya terpandang kelibat seorang gadis.

Cara berpakaian kasual sahaja. Tutup kepalanya hanya dari hoodie yang dipakai dari sweater.

Duduk bersila di hadapan meja kaca di ruang menunggu.

Matanya fokus pada sebuah buku tebal.

Bila saya pergi lebih dekat, saya nampak dan tahu tajuk ‘buku’ tebal tersebut.

Buku itu adalah al-Quran.

Beliau sedang fokus membaca terjemahan daripada al-Quran terjemahan berkulit merah hati itu.

Tekun dan sangat fokus.

Tak tahu kenapa tapi pemandangan tersebut menyentuh hati saya.

Kemudian saya berlalu pergi dari ruang menunggu tersebut dan menyapa pak sedara dalam bilik wadnya.

Hampir sejam kami sekeluarga bersilaturrahim dengan pak sedara, akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang bagi memberi peluang beliau rehat.

Hati saya tertanya-tanya, apakah si gadis berhoodie tadi masih ada di ruang menunggu tersebut.

Dan ternyata, dia masih di sana. Matanya masih menatap al-Quran yang sama. Posisi duduknya masih sama.

Saya tersentuh.

Saya melihat diri saya, kemudian melihat kembali gadis berhoodie tadi.

Saya terasa dia jauh lebih mulia kerana dia mampu untuk duduk tenang membaca al-Quran walaupun zahirnya dia biasa sahaja.

Walau apa pun sebab yang mendorong dia membaca al-Quran dengan sangat tenang, saya tak peduli.

Semangatnya untuk mendalami al-Quran membuatkan dia mulia.

Semoga Allah sentiasa menjaga si gadis berhoodie dengan al Quran sentiasa di hatinya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sakinah Muhammad.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.