,

Superhero Anak-anak

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdullilah, selesai sudah peperiksaan besar buat adik-adik yang berumur 12 tahun. Penulis doakan semoga kejayaan milik kalian semua!

Penulis pasti ibubapa di luar sana tidak sabar-sabar menunggu hasil daripada anak masing-masing.

Semoga semuanya bakal bahagia dan redha dengan sebarang keputusan yang bakal diterima oleh anak-anak.

Ibubapa yang hebat adalah ibubapa yang “superhero” dalam menjadikan anak-anak yang berjaya menjadi lebih berjaya dan anak-anak yang lemah menjadi lebih kuat.

Apabila perkataan “superhero” digunakan penulis teringat rancangan realiti televisyen daripada korea berkenaan realiti kehidupan ibubapa mendidik anak-anak dalam kehidupan seharian.

Kagum sungguh dengan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak mereka. Saya yakin masih wujud ibubapa dan bakal ibubapa pernah menonton rancangan “The Return Of Superman” dan “Trio’s Childcare Challenge”.

Tujuan saya bukanlah atas niat untuk mempromosikan rancangan realiti ini tetapi saya anjurkan sesiapa yang dikenali sebagai “visual person” dan kurang minat membaca mendapatkan ilmu dan teknik mendidik anak-anak dengan cara yang tepat melalui rancangan realiti terbabit ataupun forum, seminar dan alternatif lain.

Kanak-kanak yang berada di dalam rancangan tersebut bukan sekadar anak-anak yang taat kepada ibubapa.

Pelbagai ragam dan jenis anak-anak yang boleh kalian saksikan, yang pasti ia bukan lakonan.

Di dalam rancangan tersebut, anda akan menyaksikan kanak-kanak genius seperti Ko Seunjae. Anda boleh lihat bagaimana ibubapanya sedaya upaya menstabilkan kehidupan mereka setaraf dengan mental, emosi dan fizikalnya.

Rancangan tersebut juga memaparkan telatah si kembar yang agak nakal dan aktif iaitu Seoun dan Seojun. Si kembar ini adalah antara yang terawal menyertai rancangan tersebut.

Jika anda melihat perkembangan dan tumbesaran mereka, pasti anda akan menyedari betapa payahnya menjadi ibubapa terutama yang mempunyai anak kembar.

Setiap kanak-kanak didalam rancangan terbabit mempunyai masalah tersendiri. Masalah yang paling menarik perhatian penulis adalah berkaitan dengan gajet iaitu penggunaan telefon pintar.

Ibubapa si kembar terbabit turut merasainya dan saya sendiri kagum dengan “turning point” yang dilakukan oleh ibubapa mereka dengan cara tidak menggunakan telefon dalam kehidupan seharian dan hanya menggunakan telefon rumah sahaja serta memperbanyakkan aktiviti diluar dan dalam rumah.

Agak-agaknya anda boleh buat begitu?

Pada mulanya, saya sendiri berasa perkara itu mustahil bagi ibubapa yang sibuk bekerja. Namun, ibubapa si kembar membuktikan mereka mampu melakukannya demi kebaikan perkembangan emosi dan intelektual anak-anaknya.

Teknik ini mungkin berkesan buat ibubapa yang masih mampu mengawal tingkah laku anak-anak. Walaupun permulaannya, si kembar terbabit ketagih dengan penggunaan telefon sehinggakan sanggup keluar rumah dan membawa wang palsu (wang mainan) untuk membeli telefon baru.

Akhirnya, mereka berjaya dipujuk oleh si bapa walaupun berakhir dengan air mata.

Setiap kali, para ibubapa Korea yang bertemu dengan kaunselor dan pakar kanak-kanak saya tidak terlepas daripada mendengar perkataan daripada pakar “Biar ibubapa menangis sekarang, jangan menangis kemudian hari”.

Ini merupakan salah satu suntikan semangat buat semua ibubapa yang datang mendapatkan nasihat dan berusaha memperbaiki diri demi pendidikan anak-anak yang lebih stabil.

Dalam rancangan berkenaan juga, penulis sempat mempelajari beberapa teknik dalam mengawal anak-anak yang sering bergaduh dan anak-anak berperangai manja terutama yang sentiasa mahukan apa sahaja.

Saya tahu tiada ibubapa yang mahu melahirkan anak yang menjadi tuan apabila mereka sudah tua nanti.

Di bawah ini saya kongsikan pesanan daripada Ibnul Qayyim Al-Jauziyah:

“Barang siapa yang dengan sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat bagi anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakan datang dari sisi ibu bapa yang meninggalkan mereka dan tidak mengajarkan kewajiban-kewajiban dalam agama berikut sunnah-sunnahnya.”

Teruskan belajar dan memperbaiki diri, menjadikan anak-anak yang cemerlang sahsiah dan akademik tidak akan terhasil tanpa tangan-tangan yang kuat berusaha merealisasikan impian dengan iringan doa.

InsyaAllah, nanti saya sambung tulisan ini ke artikel seterusnya. Tunggu nanti!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh penulis yang dikenali sebagai Sis Aainaa Zaki. Mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan Diploma Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, UniSZA. Sebarang informasi boleh merujuk di Facebook (Aainaa Zaki) atau Instagram (Sis_Aainaazaki) .

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%