,

Solat… Ibadah Yang Sangat Memberi Kesan Pada Generasi Awal Islam

Rasulullah didik para sahabat untuk menyucikan jiwa mereka melalui ibadah, yang terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Ibadah yang wajib, seperti bersuci, solat, puasa zakat, haji dan lain-lain.
  2. Ibadah yang mempunyai makna lebih luas, yang meliputi segala perbuatan baik yang diniatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh pahala.

Melalui ibadah yang berterusan, jiwa dapat disiapkan dengan kuat sebagai motivasi untuk melakukan apa saja yang diperintahkan Allah.

Antara ibadah yang utama dan memberi pengaruh besar dalam penyucian jiwa para sahabat ialah solat. Antara sebabnya ialah:

  1. Para sahabat melihat bahawa setiap gerakan dan bacaan dalam solat merupakan ibadah khusus yang dapat mensucikan rohani, di samping memenuhi perintah Allah.
  2. Solat merupakan cara untuk bermunajat kepada Allah, seolah-olah sedang berbicara dengan Allah.
  3. Solat dapat menenangkan jiwa. Malah, Rasulullah sendiri jika ada masalah, akan mendirikan solat, sehinggakan Baginda banyak mengajarkan para sahabat pelbagai solat sunat untuk meningkatkan hubungan dengan Allah, tak cukup hanya sekadar solat fardhu saja.
  4. Solat menjadi penghalang daripada melakukan maksiat. Dalam surah Al-Ankabut ayat ke-45 ada dinyatakan: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)