,

SESAAT YANG HAMPIR DAN PASTI

Wahai jiwa yang diredhai Allah, kembalilah dengan redhaNya, nescaya tempat yang baik itu di sisi Allah SWT.

Pergilah seantero dunia, berlarilah dalam mencari tempat untuk bersembunyi, pakailah perisai paling kebal di dunia, percayalah, anda tidak boleh lari daripada sebuah kematian.

Kematian ialah saat yang begitu hampir bagi kita. Tiada tunda, tiada segera, tiada paksa, tiada penantian malah bukan permainan.

Sepertimana Allah berfirman dalam Surah al-A’raaf ayat 34 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang mempunyai jiwa akan merasakan kematian”.

Sesungguhnya segala yang berada di atas muka bumi ini adalah pinjaman dari-Nya sahaja. Maka, kita hendaklah bersedia dan redha andai Dia menjemput semula hamba yang dikehendakiNya.

Kematian tidak boleh diukur. Sesungguhnya kematian itu adalah rahsia Allah yang sudah tertulis di Luh Mahfuz. Jadi, bagaimana manusia ingin mengetahui bila tarikh kematian mereka?

Manusia tidak akan pernah tahu bila mereka akan mati. Malah, tidak pernah tercatat pada calendar tahunan bahawa kita akan mati pada tarikh sekian sekian.

Oleh kerana itu, manusia perlu sentiasa bersedia menghadapi kematian dan membuat amal ibadat sebagai bekalan di akhirat kelak.

Sebagai seorang mukmin, kita pastinya meninginkan kematian yang baik yakni mati dalam keadaan husnul khotimah. Apakah yang dimaksudkan dengan kematian husnul khotimah?

Kematian husnul khotimah bermaksud kematian yang mempunyai pengakhiran baik atau kesudahan yang terbaik dalam hidup kita.

Dalam erti kata lain ialah mati dalam keredhaan Allah SWT. Jadi, apakah tanda-tanda kematian husnul khotimah?

Berbahagialah orang-orang yang Husnul Khotimah

Orang yang meninggal dalam suatu urusan di jalan Allah (Fi Sabilillah) adalah termasuk dalam tandan-tanda husnul khotimah. Sebagai contoh, seseorang itu dibunuh dalam mempertahankan agamanya iaitu agama Islam.

Maka dia di antara golongan yang husnul khotimah. Orang yang meninggal dalam keadaan mengerjakan kebaikan atau amal soleh juga antara golongan yang husnul khotimah.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Barangsiapa yang meninggal ketika mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana Allah maka dia masuk Syurga, barangsiapa yang berpuasa suatu hari kemudian meninggal maka dia masuk Syurga dan barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah kemudian dia meninggal maka dia masuk Syurga.” (HR Ahmad).

Indahnya kalimah Syahadah apabila seseorang itu mengucapkannya sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana syurga itu pasti bagi mereka.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah ‘Laa ilaaha illallah’ maka dia akan masuk Syurga.” (HR Abu Daud).

Ungkapannya tidak begitu susah. Namun, hanya insan yang terpilih sahaja yang mampu mengungkapkannya. Tidakkah kalian menginginkannya?

Pasti ramai yang menginginkan pengakhiran mereka disudahi dengan kalimah syahadah tetapi adakah pasti kita dapat mengungkapkannya?

Segalanya bakal terjawab dengan amalan, usaha dan doa kita.

Alangkah beruntungnya kaum wanita. Kenapa? Kerana hanya wanita sahaja yang mampu melahirkan zuriat. Antara kelebihan bagi kaum wanita adalah apabila mereka meninggal dunia kerana melahirkan zuriat, maka mereka tergolong dalam kalangan husnul khotimah.

Sepertimana Rasulullah SAW bersabda: “Terbunuhnya seseorang muslim terhitung syahid, kematian kerana wabah taun terhitung syahid, kematian kerana sakit perut terhitung syahid, kematian kerana tenggelam terhitung syahid dan wanita yang mati kerana melahirkan anaknya terhitung syahid.” (HR Ahmad).

Sakitnya saat melahirkan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata bahkan tidak dapat dizahirkan dengan perbuatan.

Namun, ganjaran yang bakal diterima juga tidak terhitung nilainya. Andai ajal menjemput ketika melahirkan zuriat, maka beruntunglah wanita tersebut.

Namun jika Allah SWT beri ruang dan peluang seorang wanita untuk meneruskan kehidupan setelah melahirkan zuriat, maka perbanyakkan amal ibadat kepada Allah kerana nikmat bersalin itu menjemput peluang kita sentiasa tunduk dan taat kepada Allah.

Kad Jemputan Izrail daripada Tuhanmu

“Dengan segala hormatnya dijemput tuan/puan tanpa pangkat dan harta untuk menghadap Rabbul Izzati dengan rahmat dan kasih sayang.”

Malaikat maut sentiasa menjengah kita tidak kira di mana sahaja kita berada. Dalam mana kita leka dengan dunia, amalan sentiasa dicatat oleh malaikat sama ada kita melakukan kebaikan mahupun keburukan.

Tidak akan terlepas walau sekecil zarah kebaikan mahupun keburukan yang dilakukan.

Oleh itu, diingatkan bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dengan penuh ketaqwaan.

Jika terdapat dosa lampau yang dilakukan sama ada secara tidak sengaja atau sengaja, mohonlah keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Justeru itu, setiap insan perlulah bersedia untuk menghadapi kematian kerana mati itu tidak mengenal usia, masa dan tempat. Mati itu tepat pada masanya, saat kematian itu cukup hampir.

Ianya tidak akan lambat walau sesaat dan tidak akan cepat walau sesaat. Siapkan diri dengan segala bekalan untuk dibawa di akhirat kelak.

Tepislah hasutan syaitan kerana golongan syaitan itu akan sentiasa menghasut umat manusia untuk bersama-sama sesat daripada jalanNya sehingga ke hari kiamat.

Berusahalah untuk mendekatkan diri dengan Allah, mengenali Allah sebagai Sang Pencipta, melakukan segala kebaikan dengan hati yang ikhlas agar husnul khotimah menjemput kita bersama kiriman Izrail dari Allah SWT.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Fatihah binti Khairuddin. Beliau merupakan pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Politeknik Ungku Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

11 points
Upvote Downvote

Total votes: 11

Upvotes: 11

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%