,

Semangat Patriotik Harus Dipupuk

Erti kemerdekaan telah lama terpahat dan bertapak dalam sanubari setiap rakyat Malaysia kerana lahirnya semangat patriotisme.

Namun, tanpa kita sedari, negara kita telah menghampiri ambang kemerdekaan yang ke-62 dan kian mendekati satu pandangan jauh, Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Marcapada menyaksikan semangat dan erti kemerdekaan dalam diri anak muda pada zaman ini semakin luntur dan hanyut dibuai arus globalisasi yang begitu mencabar akal dan minda.

Apakah kita sanggup melihat modal insan yng masih hingusan ini terus dihantui sikap hedonisme seperti ini? Apakah erti kemerdekaan ini hanya ilusi dan suatu imaginasi dalam diri mereka?

Hakikatnya, merekalah permata, putera-puteri negara yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara.

Justeru, langkah proaktif perlu disusun dalam usaha melahirkan umarak bangsa yang benar-benar menghayati dan menjiwai erti sebenar suatu kemerdekaan.

Dalam usaha melahirkan dan memupuk nilai patriotisme, penghayatan tentang erti kemerdekaaan dalam diri seseorang inidividu adalah amat penting.

Individu yang dimaksudkan di sini ialah remaja itu sediri yang menggalas tanggungjawab besar dalam menyemai semangat kemerdekaan.

Penghayatan tentang erti kemerdekaan boleh dipupuk sejak dari kecil lagi melalui didikan yang sempurna daripada ibu bapa. Ibu bapa juga penting dalam pembentukan jati diri anak-anak yang merdeka.

Dalam sebuah institusi kekeluargaan, ibu bapa sebagai ketua keluarga wajar menjadi ‘role model’ kepada anak-anak dalam menyelami erti kemerdekaan yang telah lama dikecapi oleh negara kita.

Ibu bapa berperanan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak khususnya memupuk semangat kemerdekaan melalui penghayatan tentang tokoh kemerdekaan tanah air yang berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir dalam perjuangkan nasib bangsa.

Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik, bagaimana acuan, begitulah kuihnya, bagaimana gubahan, begitulah coraknya.

Jadi, izharlah di sini bahawa penghayatan kemerdekaan yang diwarisi dalam sesebuah institusi kekeluargaan bakal menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak sekali gus menjana modal insan minda kelas pertama.

Selain itu, penerapan erti kemerdekaan dalam diri anak bangsa boleh dipupuk melalui elemen media massa yang memainkan peranan yang penting.

Media massa juga merupakan elemen yang tepat dalam usaha memupuk erti kerdekaan dalam diri anak remaja kini. Pelbagai cerita direncanakan, pelbagai rencana diberitakan, pelbagai berita disampaikan.

Pernyataan ini jelas memaparkan betapa kukuhnya peranan media massa sebagai platform dalam membolosi gawang minda anak bangsa tentang penghayatan erti kemerdekaan.

Acap kali, kita mendengar di corong-corong radio, di kaca televisyen dan di dada-dada akhbar terpapar isu yang menjadi topik hangat. Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa peranan media massa amat penting dalam menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam diri anak remaja kini.

Media massa tidak seharusnya berpaksikan hiburan dan keseronokan semata-mata. Sebaliknya pihak media massa sewajarnya memaparkan drama-drama dan filem-filem seperti Embun, paloh, leftenan Adnan dan sebagainya haruslah dipelbagaikan cara penyampaiannya agar masyarakat tidak berasa bosan.

Langkah proaktif ini akan bisa menggerakkan jiwa remaja untuk menyelami erti sebenar kemerdekaan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa media massa merupakan antara elemen yang penting.

Ingatlah bahawa Sejarah adalah untuk dihayati, bukannya untuk diulangi.

Kemerdekaan tidak dapat dipertahankan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan, pegangan yang teguh dan jati diri yang kukuh.

Dalam hal ini, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan modal insan yang berbekalkan nilai patriotisme yang tinggi serta disaluti dengan semangat kemerdekaan yang membara.

Dalam dunia tanpa sempadan ini, maju mundurnya sesebuah bangsa dan negara ditentukan oleh insan yang berjiwa merdeka.

Jadi, terbuktilah di sini bahawa institusi pendidikan khususnya di peringkat sekolah sewajarnya menjadi tunjang utama dalam melahirkan remaja yang cemerlang-gemilang dan terbilang.

Contohnya, pihak sekolah boleh menerapkan nilai patriotisme dan erti kemerdekaan dalan diri remaja melalui sesi pembelajaran. Remaja merupakan aset negara sewajarnya benar-benar mendalami erti kemerdekaan yang penuh maknya ini.

Justeru, remaja seharusnya berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha menggapai hasrat murni negara dalam melahirkan insan yang berakhlak terpuji dan cinta akan negara yang berdaulat.

Jadi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa institusi pendidikan khususnya sekolah adalah amat penting dalam membentuk remaja yang bakal menerajui dan memartabatkan nama negara di lensa dunia.

Intihanya, semua pihak sewajarnya, bersinergi untuk bersatu hati, sebulat suara dengan semangat satu Malaysia untuk berusaha mengekalkan semangat patriotisme dalam diri anak remaja kita.

Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sesunguhnya, tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya. Dengan berbekalkan semangat tokoh kemerdekaan, kita mampu melahirkan umarak bangsa yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

Kita sebagai pewaris bangsa perlu bersama-sama berganding bahu dan melaksanakan tanggungjawab kita demi menjamin kemerdekaan negara yang kita cintai sampai bila-bila.

Kemerdekaan tanah air haruslah dipertahan ke akhir hayat kita. Berjuanglah hingga ke ttitsan darah yang terakhir demi keamanan negara.

Jika bukan kita, siapa? Jika bukan sekarang, bila?

Bersamalah kita mengorak langkah sederap agar kemerdekaan negara terus terpelihara dan terus dinikmati oleh generasi akan datang yang mampu melakukan anjakan paradigma untuk negara tercinta.

Selamat menyambut kemerdekaan. Sayangi Malaysiaku!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%