,

Sejuta Hikmah Di Sebalik Ujian

Semoga dengan izin Allah perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang sudi membacanya.

Kisah yang ingin aku kongsikan di sini adalah berkaitan dengan ujian dan tuntutan berdoa dan selalu bersangka baik dengan Allah sebagaimana firmanNya:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah Ayat 186)

Ibu bapaku berpisah ketika umurku 3 tahun dan sejak itu kami semua tinggal bersama dengan datuk dan nenek di kampung. Adik beradikku seramai 4 orang, 3 perempuan dan seorang lelaki.

Selepas berpisah, ibuku tidak bekerja dan kami meneruskan kehidupan dengan nafkah yang diberi oleh ayah. Sewaktu di zaman persekolahan aku selalu berasa rendah diri dengan latar belakang keluarga ku yang berpecah belah.

Aku selalu merasakan keluargaku penuh dengan kekurangan dan tiada kelebihan berbanding keluarga rakan-rakan yang lain. Tetapi sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Di sebalik ujian Allah yang diberi ke atas keluarga kami, tersimpan berjuta hikmah yang tidak aku sedari.

Walaupun aku sekeluarga menumpang dirumah nenek, tetapi aku masih berpeluang meneruskan persekolahan dan tidak pernah putus dengan rezeki Allah.

Selain itu, beruntungnya tinggal bersama datuk dan nenek, setiap kali cuti sekolah dan musim perayaan, semua saudara mara akan berkunjung ke rumah nenek. Adik beradik ibuku seramai 11 orang, 7 lelaki dan 4 perempuan.

Kebiasaannya sebahagian dari mereka akan pulang ke kampung bermalam semalam dua. Dalam ertikata lain kami dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di samping mengenali dengan lebih dekat semua pakcik, makcik dan sepupu.

Hubungan kekeluargaan kami semua memang erat sehingga sekarang dan saling tolong menolong antara satu sama lain walaupun semua sudah berkeluarga dan ada yang telah meninggal dunia.

Kekurangan yang aku rasakan dari segi keluarga yang berpecah sememangnya disebabkan ketika itu aku masih kecil dan tidak faham erti sebuah kehidupan.

Kini selepas 30 tahun lebih, jika aku menyoroti semula kehidupan ku yang dahulu, aku rasa amat bersyukur kerana adik beradikku semua Allah rezekikan cemerlang dalam pelajaran dan tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang persekolahan.

Kami semua berjaya memasuki institusi pengajian tinggi dan mempunyai kehidupan yang baik. Ibuku juga berjaya mendidik kami dengan ilmu agama yang secukupnya untuk bekalan hidup kami di dunia dan akhirat kelak.

Tidak dinafikan semasa kami membesar, ujian sentiasa datang dan pergi semestinya untuk meningkatkan lagi tahap keimanan hamba-hambanya kepada Allah s.w.t.

Cabaran yang datang silih berganti, tetapi aku melihat ibuku seorang yang sangat opitimis dan sentiasa memanjatkan doa kepada Allah dan meminta pertolongan dariNya sesuai dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 214,

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Muncul juga keadaan ketika kami diuji dengan kekangan kewangan, tetapi ketika itu pasti bantuan datang dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Aku yakin semua itu berkat dari doa yang tidak pernah putus dan penuh pengharapan kepada Allah. Benarlah janji Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6,

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Alhamdulillah, kesemua cabaran yang kami tempuh dahulu menjadikan kami kini manusia yang lebih kuat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, insyaAllah.

Aku juga banyak melihat contoh keluarga yang tidak berpecah belah tetapi diuji dengan ujian yang berbeza.

Contohnya ujian mendapat anak istimewa yang memerlukan kesabaran yang tinggi, diuji dengan anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran dan masalah dengan akhlak anak-anak.

Aku juga banyak melihat ramai di kalangan orang yang berjaya dan dikenali kejayaannya menjadi contoh kepada masyarakat, mempunyai latar belakang yang sama denganku, ibu bapa yang berpisah ketika mereka masih kecil.

Sesungguhnya hidup ini adalah ujian dan berpecah atau tidak sesebuah keluarga itu, ianya sebenarnya bergantung kepada bagaimana sesebuah keluarga itu dipimpin, adakah mengikut ajaran Islam sepenuhnya berpandukan Al-Quran dan sunnah.

Tiada istilah anak-anak yang lahir dari keluarga yang berpecah tidak akan berjaya selama-lamanya dan tidak mampu membina kehidupan yang baik.

Oleh itu, kekurangan yang aku rasakan dahulu hanyalah kerana aku belum mengenal Allah dengan sepenuhnya dan kurang pengalaman dalam kehidupan.

Sama-sama lah kita menadah tangan memohon doa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayahNya dalam menempuh kehidupan di dunia ini.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Zahsy (nama pena) dari Putrajaya. Minat menulis berdasarkan pengalaman sebenar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%