,

Sebaik-baik Wanita Adalah Wanita Solehah

Wanita adalah kaum yang dikenali dengan penuh sifat kelembutan, kelemahan dan kemanjaan mereka yang tersendiri. Wanita juga dianggap sebagai penyeri dunia, mewarnai kehidupan fana ini.

Kerana dari merekalah, lahirnya keturunan anak cucu Nabi Adam AS. Kerana ketabahan daripada mereka lah menahan sakit perit maka dapat menambahkan zuriat umat kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Seperti yang kita tahu, sebelum pengutusan baginda Nabi Muhammad SAW, wanita dijadikan bahan tidak bermaruah di kalangan arab jahiliyyah. Bagi mereka, wanita hanyalah tempat untuk melampiaskan nafsu serakah.

Wanita juga hanyalah sebagai pembantu rumah atau hamba sahaya yang boleh diperintah pada bila-bila masa. Malah lebih malang lagi, di zaman arab jahiliyyah tersebut, anak perempuan dianggap membawa malang dalam kehidupan sehingga ada dikalangan mereka yang tergamak menanam anak perempuan mereka hidup-hidup.

Inilah antara sikap buruk arab jahiliyyah sebelum perutusan baginda Nabi Muhammad SAW.

Setelah perutusan baginda Nabi Muhammad SAW, martabat wanita diangkat, maruah wanita di pelihara dan dijagai. Syariat menutup aurat telah diperintahkan bagi lebih menjaga dan memelihara wanita.

Islam sangat mengambil berat tentang perihal wanita dan islam adalah agama yang tidak rasis pada jantina lelaki mahupun perempuan.

Malangnya pada hari ini, ramai wanita dengan sendirinya mendedahkan auratnya dan padanya pula menjadi suatu kebanggaan dengan mendedahkannya. Anak gadis pula tanpa segan silu berpakaian seksi yang menjolok mata demi meraih perhatian mata para lelaki.

Meskipun Islam telah datang dengan mengangkat martabat wanita, mensucikan kembali peranan wanita, namun segelintir dalam kalangan kita ada yang sanggup melanggar syariat dan mengejar dunia. Hari ini sudah menjadi satu perkara yang biasa bagi wanita berpakaian seksi mendedahkan aurat.

Akibat daripada perkara tersebut, maka kebanyakan wanita dieksploitasikan dengan memaparkan iklan para wanita bertujuan untuk melariskan perniagaan. Wanita seringkali dijadikan bahan pengiklanan kerana ia menyedapkan mata yang memandang dengan penuh nafsu.

Hakikatnya, kita perlu sedar bahwa kita seperti mahu kembali ke zaman arab jahiliyyah. Hal ini kerana kita sendiri boleh menilai bagaimana maruah wanita zaman ini yang mengejar dunia dengan berfesyen yang tidak patuh syariah, menelanjang ke sana dan ke sini, kononya mengikuti arus peredaran zaman.

Tidak kurang pula, ada yang memakai tudung tetapi singkat. Ada juga yang memakai jubbah tetapi ketat. Tidak kurang pula ada yang memakai baju tetapi menampakkan auratnya. Dalam ajaran Islam, Allah Azza Wa Jalla perintahkan supaya kaum wanita melabuhkan tudungnya dan memakai pakaian yang sedikit longgar dan labuh.

Perintah ini bukanlah suatu bentuk hukuman bahkan ianya suatu bentuk rahmat, kasih sayang Allah pada kaum wanita.

Malangnya hari ini, fenomena berfesyen muslimah telah meragut syariat Allah, dengan menggunakan nama Islam, namun tidak sempurna dalam mematuhi syariat.

Berjubah tetapi ketat, bertudung tetapi singkat. Islam bukanlah agama yang menyekat fitrah wanita yang sukakan pada kecantikan, keanggunan dan kejelitaan.

Tetapi Islam mempunyai garis panduan untuk kaum wanita lebih berwaspada dengan lelaki yang kadangkala bernafsukan syaitan bertuhankan serakah.

Nabi SAW pernah mengkhabarkan pada kita bahawa wanita itu ialah perhiasan dunia dan Nabi menyambungnya  lagi sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Apalah gunanya hidup bermake-up sana sini, namun perintah Allah langsung diketepikan.

Apalah untungnya hidup di dunia ini, dipenuhi dengan kejelitaan, kecantikan dan keanggunan, namun tidak diredhai Allah. Maka sudah semestinya menjadi wanita solehah itu adalah impian setiap insan yang bergelar wanita.

Cantiklah, soleklah dan anggunlah berlandaskan ajaran serta didikan daripada al quran dan as sunnah. Kecantikkan para wanita hanya layak dipersembahkan kepada si suami semata-mata. Bukan untuk ditayangkan pada khalayak umum apatah lagi untuk diperdagangkan oleh syarikat-syarikat pengiklanan.

Menjadi wanita solehah barangkali tidaklah mendapat kemashuran atau pujian di dunia tetapi apalah sangat kemashuran atau pujian di dunia melainkan yang lebih bernilai adalah keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla, Tuhan yang memiliki segala sesuatu.

Wanita solehah, budi pekertinya penuh kelembutan, pertuturannya penuh hikmah dan kecantikkannya eksklusif hanya pada yang layak.

Berhati-hatilah dengan promosi fesyen berbentuk muslimah. Terkadang, namanya sahaja muslimah namun rekaannya tidak memenuhi kehendak syariat.

Bukanlah jenama yang kita lihat tetapi bentuknya yang di nilai supaya selari dengan kehendak syariat. Eksploitasi nama muslimah akan menjeratkan kita sekiranya gagal mematuhi garis panduan syariah.

Tidak guna bertudung tetapi singkat, berjubah tetapi ketat kerana bukan tudung yang dinilai dan bukan jubah yang dilihat, tetapi kaedah menutup aurat yang di pandang oleh Allah Azza Wa Jalla.

Wanita solehah juga senantiasa menjadi maruahnya di hadapan orang. Kegedikkannya dan kemanjaannya hanya ditunjukkan pada yang layak. Percakapannya adalah apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul.

Mengumpat, menghina, memaki hamun orang adalah sifat-sifat yang harus dijauhi oleh seseorang wanita yang berstatus solehah.

Tidak ada yang pernah rugi sekiranya kita belajar dan berusaha menjadi seorang wanita yang solehah kerana yakinlah, sekiranya kita memelihara dan menjaga agama Allah dengan mematuhi segala perintahNya maka Allah akan memelihara dan menjaga kita kembali di dunia mahupun di akhirat kelak.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%