,

Kehadiran kita Di Dunia Ini Ada Dua Pilihan

Hanan menepis lembut tangan kiri milik sahabat baiknya yang terletak di bahu kirinya.

“Jangan ganggu aku… I need some spaces..Sorry,” ujarnya lembut kepada Suria.

Ooo okay, okay Han,jawab Suria dalam benak kerisauan.

Suria, sahabat baik aku. Hanya satu-satunya sahabat aku yang paling dekat dan orang pertama yang akan sedar jika ada yang tidak kena dengan tingkah laku aku.

Tak semua boleh mendekati si gadis berzodiak Gemini ini dengan mudah.

Perilaku yang tak ubah seperti ombak di laut, kadang ganas kadang lembut.

‘Kenapa dengan aku ni?’ Bisik Hanan ke lubuk hatinya paling dalam.

Aku perhatikan ke atas langit malam berbentangkan bau rumput yang masih segar selepas ditimpa hujan.

‘Aku tidak pernah sedar atau buat tidak sedar tentang diri aku sendiri semenjak beberapa hari ini. Marah? Sebab serabut ke? Argh!! Banyaknya masalah…! Biarkanlah!’

Coppppp!

Pembacaan saya terhenti seketika. Saya mula berfikir dengan satu tindakan segera yang dilakukan kebanyakan orang kita. Agak ‘cliche’ tapi menarik untuk dibincangkan bersama.

‘Biarkanlah!’

Satu perkataan yang menakutkan mula mendefinisikan seribu makna. Menakutkan seperti filem seram, apabila pemahaman dibawa ke pintu dimensi yang tidak sepatutnya.

Dan perkara yang agak menakutkan ialah bila mana kita menyebabkan orang lain terkena tempiasnya.

Dalam konteks ini, membiarkan permasalahan menjadi permasalahan tanpa menggubalnya.

Maksudnya? Bukan ubah tapi gubal.

Ya. Jadikan permasalahan itu satu bentuk isu. Isu yang membuka hati dan akal seluasnya sehingga ia sebati menjadi rencah dalam kehidupan seharian kita.

Apa bezanya? Hati kita ini Allah cipta sesuai dengan fitrahnya, tidak sempurna, Allah sudah beritahu dalam al-quran bahawa hati manusia itu berbolak-balik sifatnya.

Jadi mari fahamkan definisi berbolak-balik.

Analogi mudah, jika seseorang berada dalam sebuah sampan yang sedang dipukul ombak dan bergoyang-goyang melarikan titik gravitinya, apa yang perlu beliau buat?

Ya, stabilkan ia!

Dengan menggunakan pendayung atau sebagainya. Sebab apa? Supaya beliau tidak akan jatuh ke dalam laut.

Sampan diumpamakan sebagai hati, ombak diertikan sebagai faktor sesuatu isu, pendayung sebagai medium cara mengatasi dan laut sebagai kegagalan yang terhasil atas sebab diri sendiri.

Tak boleh gagal ke kalau begitu?

Gagal yang bermakna gagal untuk tidak berusaha. Ya, itu adalah gagal secara menyeluruh tanpa usaha.

Fahamkan sekali lagi definisi gagal secara menyeluruh bukan dalam definisi pandangan teori keduniaan.

Perlunya pemahaman sebagai kunci, sunnatullah dan syariatullah itu sepatutnya bergerak seiring. Sunnatullah adalah ketentuan yang ditetapkan Sang Pencipta. Sedangkan syariatullah merupakan langkah yang diambil seiring dengan hukum alam.

Bayangan mudah, cawan yang diisi air panas menggelegak, maka perlunya seseorang memegang tangkai cawan tersebut bukan pada badannya bagi mengelakkan terkena haba panas tersebut.

Nampak sekarang?

Jangan jadi manusia yang prejudis dengan sunnatullah semata-mata.

“Semuanya ketentuan Allah…” tanpa sebarang muhasabah diri..

Jangan jadi manusia pengecut dengan diri sendiri. Menunggu penilaian luar sebagai benteng kekuatan tapi benteng dalam diri telah sudah di’roboh’kan terlebih dahulu.

Rugilah diri kita wahai sahabat..Sebab kita sudah kalah dengan benteng pertama dulu sebelum ke benteng seterusnya.

Jadi apa resolusi mudahnya?

Tiada yang mudah wahai sahabat, tiada seorang pun akan dapat lari dari masalah. Hatta, tidak mengalami masalah juga adalah satu masalah.

Sebab apa? Sebab kita tidak membantu menyelesaikan masalah orang lain. Hidup di dunia ini bukannya seorang diri wahai sahabat, rugi kalau kita tidak pernah belajar dari kesilapan dan masalah walaupun dari orang lain.

Tetapi ada perkara yang menguatkan. Keberadaaan Allah di hati kamu menjadi pengukurnya.

Si kecil yang ingin bermain di luar sedang si ayah akan memarahinya sejurus itu pasti niat untuk bermain tersebut akan dihentikan.

Sama juga penggunaan aplikasinya kepada Tuhan yang Maha Esa.

Yang membuatkan kita selalu abaikan kayu pengukur ini sebab apa?

Sebab kita tidak nampak Tuhan?

Jadi perhatikan ciptaanNya. Surah Yunus ayat yang ke 101 meleraikan persoalan, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.”

Definisi keberadaan Tuhan di hati kamu itu bermaksud kecintaan kamu pada Tuhan yang bagaimana, sekadar menzahirkan kepada orang, mempamerkan tauhid rububiyyah tapi menipiskan tauhid ubudiyyah.

Perumpamaan pembuatan kek, tidak sempurna tanpa tepung gandum, tidak sedap tanpa gula yang cukup dan tidak cantik tanpa hiasan luarannya.

Adapun kekurangan pada kek tersebut akan membuatkan pembelinya merasakan sesuatu yang tidak kena dan segera membuat penilaian tentang kekurangan tersebut.

Jadi, di mana diri kita sekarang? Sekadar merasa dan membiarkan atau meneliti kekurangan dan memperbaikinya?

Allahu… doakan diri untuk ada sifat bersyukur. Bersyukur kerana berpeluang mempunyai hijab pandangan yang mampu berfikir dan membuat penilaian. Dan masih diberi peluang menikmati ujian sebagai salah satu nikmat pemberianNya.

Berbalik pada petikan cerita awal tadi, apa agaknya yang menjadikan diri seseorang itu menjerumuskan diri dengan permasalahan yang tidak ada kesudahan disebabkan diri sendiri?

Jawapannya mudah, caranya sukar.

Diri sendiri. Aduh… ‘cliche’ lagi. Tergelak sekejap.

Sahabat pembaca sekalian, hidup kita di atas pentas yang sama. Tiada manusia yang hidup di planet lain.

Apa yang membezakan adalah watak yang kita ambil sama ada yang kita suka ataupun yang telah ditetapkan.

Malah, kebanyakan daripadanya adalah watak yang kita tidak suka ataupun kurang memuaskan bukan?

Yang menentukan suka atau tidak… siapa agaknya? Ya. Diri sendiri.

Di balik tabir satu pementasan lakonan dunia, adanya latihan yang kita buat, betul? Dalam mempamerkan sebuah lakonan yang mantap semestinya ada latihan yang dibuat bersungguh-sungguh.

“Tapi watak saya bukan yang utama (penting)…” lontaran lemah kata-kata seorang pelakon pentas dunia.

Tersenyum seketika.

Cerita bawang merah bawang putih, watak ibu bawang merah yang kejam, masih ingat? Bayangkan watak itu dibawa sekadar penyampaian skrip semata-mata tanpa penghayatan. Tak seronok bukan?

Dapat jawapannya? Di saat kamu mula merendahkan diri bukan lagi merendahkan hati, bayangkanlah diri kamu sekeping ‘puzzle’ sebuah lukisan yang sangat besar.

Tidak sempurna tanpa satupun walaupun sudah jelas gambaran lukisan tersebut. Kepentingan lainnya ialah nafiun li ghairihi, jadilah kamu orang yang bermanfaat pada orang lain.

Kehadiran kita di dunia ada dua pilihan, sama ada melalui highway semata sehingga sampai ke destinasi atau melaluinya dan berhenti seketika di kawasan persinggahan.

Belajar dan belajar kerana kamu akan semakin tidak tahu tentang sesuatu perkara.

Di saat kamu merasakan ada kekurangan pada diri yang akan menjatuhkan semangat diri, berlarilah walau terpijak duri sekalipun kerana Allah sentiasa memerhatikan tindak tanduk hambaNya.

Manusia lain juga mempunyai kekurangan, maafkanlah dan teruskanlah perjalanan ini dengan senyuman yang dicipta Illahi… sebab kamu tidak akan pernah tahu apa yang berada di hadapan.

Mempunyai mata yang dididik menilai dengan hati dan syariat Tuhan lebih baik daripada mata yang dijadikan semata-mata menilai luaran sesuatu perkara.

Jadilah sang pemburu hikmah di atas sekecil-kecil perkara sekalipun! Pemburu yang mempunyai persiapan yang lengkap bagi memburu sesuatu matlamat yang jelas.

Persiapan mental dan rohani yang matang dan bersyariat. Andai tersasar dalam melepaskan panah, masih ada panah di belakangmu menanti sasarannya.

Tapi, awas ! Jangan sesekali kamu melepaskan panah mengikut amarahmu. Kerana panah itu akan menyebabkan tindak balas kepada kamu tidak sesuai dengan hasil daripada keinginan kamu kelak.

Bukan keinginan yang didorong atas kehendak pejal semata-mata tetapi keinginan yang bersedia menghadapi apa jua yang berlaku akan datang.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aisya Insyira binti Jamil. Berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan pelajar kejuruteraan mekanikal.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.