,

Sahabat Syurga (bahagian 2-akhir)

Setelah 2 tahun berkhidmat, kau mula mengorak langkah ke fasa dan kehidupan yang baru. Hasratmu akhirnya menjadi kenyataan dengan izinNya. Kebahagianmu adalah kebahagiaanku jua.

Aku gembira melihatmu bahagia bersama insan tersayang. Jadilah isteri yg solehah seperti yang kau impikan. Membina mahligai yang mawardah warahmah.

Semoga kehadiran temanmu itu memberi kekuatan, perlindungan dan ketenangan dalam menjalani kehidupan mendatang. Tugasku sampai disini dan akhirnya aku kembali kepada tanggungjawab yang menjadi keutamaan dalan hidupku.

Aku pulang menjalankan amanah dan mengembirakan orang yang aku sayangi dan kasihi. Mungkin takdir kita didunia ini sampai disini setelah 8 tahun Dia mengizinkan kita melalui kehidupan bersama dalam mengenaliNya.

Kelebihan dan kekurangan antara kita bukan lah penentu umur persahabatan kita namun kerana keikhlasan ukhwah yang bertaut keranaNya.

Sesungguhnya doa dan pengharapan kepadaNya lah yang telah menjaga hubungan persahabatan ini.

Pesananmu masih segar diingatanku, “Tiada lagi saya disisi awak, namun hidupkan saya dalam hati awak. Seusai solat subuh, niatkan setiap apa yang awak lakukan dengan anggota badan dan kesihatan yang Allah bagi sebagai ibadat”.

InsyaAllah ia akan menjadi amalan harianku. Walau aku tiada disisi mu, kau tetap tidak berseorang kerana Dia sentiasa ada untuk hamba yang menyayanginya dan yakinlah Dia akan menghadirkan orang-orang yang disayanginya buat hamba yang menyayangiNya.

Jazakallah atas segala manfaat dan kenangan yang kau berikan padaku. Dengan kenangan itu dan doaku untukmu akan ‘menghidup’ kau dihatiku. Dengan doamu jua diriku sentiasa dalam rahmatNya.

Terima kasih Allah kerana memberikan peluang untuk aku mengenali insan mulia,yang sentiasa mendoakanku, menasihatiku, dan memberi makna dalam kehidupanku.

Dia adalah sahabat yang bakal aku nantikan di syurga kelak InsyaAllah. ‘Sahabat syurga’ itulah pangkat yang dia berikan padaku apabila memperkenalkan aku pada kenalan-kenalannya.

Sesungguhkan ia amat tinggi nilainya padaku kerana aku tidak layak untuk berada di kedudukan itu. Mampukah aku menjadi sahabat syurga mu?

Maafkan aku sekiranya aku tidak dapat menjadi sahabat syurga untukmu kerana aku manusia biasa yang tidak lari dari dosa. Dosa itu mencengkam jiwaku dan andai rahmatNya masih ada untukku, maka engkaulah orang yang akan kucari di syurga kelak.

Andai aku tiada di syurga, tanyalah Allah tentang aku. Carilah daku dan berikanlah aku syafaat dari seorang sahabat .

Hasan Al-Basri pernah berkata “ Perbanyaklah berteman dengan orang-orang yang beriman. Kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat” (Ma’alimut Tanzil 4/268). Sesungguhnya setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai (HR. Bukhari).

Buat rakan-rakan pembaca, carilah sahabat yang membawa kita dekat dengan pencipta. Biar pun satu, cukuplah dia yang memahami dan menghargai erti persahabatan yang dirahmatiNya.

Sesungguhnya kualiti itu lebih bererti daripada kuantiti. Jangan sedih dan takut apabila tidak mempunyai teman. Sedih dan takutlah apabila mempunyai banyak teman, namun tiada yang buat kita lebih dekat denganNya.

Al-Qamah pernah berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut”;

1. Melindungi kita daripada bahaya dan musibah, iaitu merasai kesusahan disaat kita sedang mengalaminya,
2. Mudah memberikan bantuan dan pertolongan tanpa mengharapkan balasan atau bayaran.
3. Menjaga dan memelihara segala kekurangan yang ada pada diri kita dengan tidak membukanya kepada orang lain
4. Sentiasa memberi teguran dan nasihat kepada kita disamping mengingatkan kita terhadap tanggungjawab kepada tuhan.

Tanpa ku sedari ternyata ciri-ciri ini jua lah yang ada pada dirinya. Alhamdulillah atas nikmat ini! Jadikanlah pesanan Al-Qamah kepada anaknya ini sebagai panduan dalam memilih sahabat yang baik.

Ingatlah wahai manusia, hidup kita didunia salain memerlukan antara satu sama lain. Tidak kira dimasa senang atau susah, kita memerlukan seorang insan bernama sahabat.

Maka jadilah muslim yang baik, yang sentiasa memberi manfaat untuk diri dan orang lain agar matlamat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sehingga kita bertemu kembali di syurgaNya wahai sahabatku. Semoga impian menjadi ‘Sahabat Syurga’ ini dimakbulkan Allah dengan rahmatNya.

Terima Kasih Allah untuk takdir yang terindah ini!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Suhanab (nama pena: SS88). Merupakan graduan phD. Hobi beliau ialah membaca dan menulis sesuatu yang berkaitan dengan hati. Berpegang dengan motto: “If you still have heart, then you still can write”. 

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%