,

Sahabat Syurga (bahagian 1)

Kekecewaan itu mengajar erti pengharapan pada tuhan. Tanpa kegagalan hari itu mana mungkin terjadinya kebangkitan pada hari ini.

Pengalaman lepas mengajarku erti keikhlasan, pengorbanan dan kesetiaan dalam sesuatu hubungan. Ku akur dengan pengalaman lalu dan meneruskan perjalanan hidupku bersendiri dengan meletakkan pengharapan sepenuhnya pada Dia yang Esa.

Perasaanku mula kosong untuk mengenali dan mencari sahabat. Cukuplah waktu yang ada ini aku abadikan untuk mengenal Pencipta dan diri yang kerdil ini.

Perjalanan menuntut ilmu untuk segulung ijazah cukup membuatku kenal siapa aku dan siapa penciptaku. Aku mula mengenal erti sebenar persahabatan dalam islam dengan meletakkan Allah sebagai tujuan.

Persahabatan kerana Allah (Ukhwah fillah) mengajar aku mencari dan menilai sebaik-baik sahabat yang dituntut didalam islam kerana sahabat yang baik akan memberi tempias yang baik.

“Diumpamakan sahabat yang soleh dan sahabat yang jahat ialah seperti dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan kamu, sama ada kamu membeli minyak wangi tersebut atau hanya mencium bau harumannya sahaja. Manakala tukang besi pula menyebabkan rumah kamu atau baju kamu terbakar atau kamu mendapat bau busuk darinya. ” (Hadith riwayat Bukhari)

Imam Ghazali ada menyatakan di dalam kitab Hidayatul Salikin: “Jika sesorang itu ingin memilih seseorang yang lain untuk dijadikan sahabatnya maka pilihlah dengan lima syarat, iaitu ; orang yang berakal, cantik peribadi dan akhlaknya, orang yang soleh, orang yang benar perkataannya, orang yang mencintai akhirat dengan tidak terlalu cinta kepada dunia.”

Dan aku terus istiqamah dalam berdoa agar dikurniakan seorang sahabat yang seperti digambarkan oleh Imam Ghazali, yang akan menjadi teman meniti kehidupan dan ibadah di dunia dalam menuju redha Allah.

Berbekalkan ilmu dan niatku untuk mencari kehidupan yang ‘bernilai’ dan diberkati Allah, aku diberi peluang untuk menyambung ijazah Phd bersama rakan sekelas yang ku kenali suatu ketika dahulu.

Di situlah bermulanya pengembaraan kehidupan baru yang amat memberi makna padaku kerana perjalanan itu “menghidupkan” aku dalam meniti kehidupan dunia ini.

Perjalanan PhD menjadi titik pertemuan aku dan dia, seorang insan yang dianugerahkan Allah untukku sebagai peneman dalam mencari erti kehidupan. Dia adalah jawapan kepada doaku selama ini. Hadiah dari Dia yang kusayangi. Hatiku kembali hidup!

Teringat kata-kata ustaz Pahrol, “Allah akan mengurniakan hamba yang disayangiNya buat menemani hamba yang menyayangiNya”.

Walaupun aku telah mengenalinya sebelum ini namun aku tidak berpeluang untuk ‘kenal’ dirinya dengan lebih dekat.

Ukhwah yang terjalin atas kesefahaman dalam berfikir dan halatuju yang sama menuju syurga membangkitkan pengorbanan dan kesetiaanku keatas hubungan persahabatan yang terjalin kerana Allah.

Kenangan dalam mengharungi liku-liku perjalanan dalam menamatkan Phd membuatkan kita semakin matang. Suka duka dalam melalui ujian dariNya membuatkan kita semakin rapat dan memahami antara satu sama lain.

Apa yang lebih bermakna buat kita adalah apabila kita semakin dekat dan ‘kenal’ Dia dalam setiap ujian yg kita lalui bersama. Ujian ‘sakit’ yang kau tanggung membuatkan kita semakin berharap dan bersandar padaNya.

Melalui ujian itu juga kau semakin akrab denganNya. Alhamdulillah atas ‘nikmat’ sakit itu jualah kita semakin memahami kuasaNya. Kau mengajar aku untuk bersangka baik dan mengasihi manusia lain dan menunjukkan hikmah dalam setiap perkara yang berlaku.

Melalui usrah, ziarah dan pengembaraan ke tempat luar membuatkan diriku wujud dalam sosial kehidupan.

Apa yang lebih mengharukan aku apabila kau memperkenalkan aku kepada orang-orang yang kau kenali kerana sikap kau yang sentiasa ingin ‘mewujudkan’ aku dalam kehidupan masyarakat.

Setiap apa yang kita lalui bersama menjadi kenangan terindah buatku.

Alhamdulillah doaku untuk konvo bersamamu akhirnya termakbul Akhirnya kita meraikan kejayaan itu bersama! Kejayaan yang bukan hanya duniawi tetapi lebih kepada ukhrawi kerana dengan perjalanan itulah yang membawa kita dekat denganNya.

Tidak terhenti disitu, kau terus memberi manfaat padaku dengan membuka ruang untuk aku mendapat pengalaman mengajar di universiti berdekatan denganmu.

Indahnya takdir dariNya yang mengizinkan kita seperti dulu. Kau membawaku kedalam keluargamu, membuatkan ku tidak asing di tempat baru.

> bersambung bahagian 2 – akhir <

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Suhanab (nama pena: SS88). Merupakan graduan phD. Hobi beliau ialah membaca dan menulis sesuatu yang berkaitan dengan hati. Berpegang dengan motto: “If you still have heart, then you still can write”. 

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 9

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 77.777778%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 22.222222%