,

Safiyyah binti Abdul Muttalib – Penjaga Kem Wanita

Kita mungkin mengenali bapa-bapa saudara Nabi Muhammad SAW.

Mereka semua memiliki hubungan persaudaraan dengan ayahanda Baginda, Sayidina Abdullah bin Abdul Muttalib.

Nama-nama seperti Sayidina Hamzah dan Abbas bin Abdul Muttalib kita kenal sebagai antara bapa saudara Baginda yang telah memeluk Islam.  

Tidak dilupakan juga Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga Rasulullah tatkala ditentang oleh kaum musyrikin Quraisy.

Manakala Abdul ‘Uzza atau juga dikenali sebagai Abu Lahab merupakan bapa saudara Baginda yang kuat menentang anak saudaranya itu.

Namun, tidakkah kita mengenali para ibu saudara Nabi Muhammad SAW?  

 

Ibu kepada al-Hawwariyyu Nabi 

Antara ibu saudara Rasulullah SAW yang tercatat dalam lembaran sejarah ialah Safiyyah binti Abdul Muttalib.

Beliau merupakan ibu kepada seorang sahabat besar, al-Zubair bin al-‘Awwam RA. Manakala ibunya pula bernama Halah binti Wuhaib

Diriwayatkan bahawa pada zaman Jahiliyah, Safiyyah berkahwin dengan al-Harith bin Harb, saudara kepada Abu Sufyan.

Namun, suaminya itu meninggal dunia lalu beliau berkahwin pula dengan al-‘Awwam bin Khuwailid, saudara lelaki kepada Ummul Mukminin Sayidatina Khadijah.

Dari situlah lahirnya al-Zubair

Siapa yang tidak mengenali al-Zubair bin al-‘Awwam. Beliau merupakan sahabat Nabi SAW yang digelar dengan gelaran al-hawariyyu

Sebelum ini gelaran sebegitu digunakan bagi merujuk kepada para pengikut Nabi Isa AS.

Hal ini telah dinukilkan oleh Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah

Ali bin Abi Talib berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

Bagi setiap nabi ada pembantunya (hawariyyu). Pembantu (hawariyyu) bagiku ialah al-Zubair bin al-‘Awwam

Hal ini turut diakui oleh Abdullah bin ‘Umar. Beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata:

Aku Ibn al-Hawariyyu!

Ketika mendengar kata-kata tersebut, Ibn ‘Umar berkata:

Sekiranya engkau anak kepada al-Zubair, ya. Jikalah tidak, maka engkau bukanlah Ibn al-Hawariyyu

 

Tangisan Seorang Adik   

Abdul Muttalib memiliki ramai anak lelaki dan perempuan.

Tambahan pula, tidak semua anak-anaknya itu lahir daripada ibu yang sama disebabkan oleh beliau diriwayatkan memiliki seramai tujuh orang isteri.  

Safiyyah misalnya memiliki seorang saudara kandung seibu sebapa iaitu Sayidina Hamzah, Sayyidul Syuhada’.

Mereka berdua berkongsi ibu yang sama iaitu Halah binti Wuhaib. Kita semua tahu peristiwa kesyahidan Sayidina Hamzah di medan Uhud.

Kita juga tahu bagaimana keadaan jasad beliau. Selain daripada Rasulullah SAW, Safiyyah juga turut bersedih dengan apa yang terjadi kepada saudaranya itu.

Namun, beliau berjaya mengawal dirinya. 

Ibn al-Athir mencatatkan peristiwa ini dengan menceritakan bahawa sebaik sahaja berita kesyahidan Hamzah sampai kepada Safiyyah, beliau terus bergesas ke Uhud untuk melihat jenazahnya.

Lalu, Rasulullah SAW berpesan kepada anak lelakinya, al-Zubair,

Bawalah ibumu pergi dari sini agar dia tidak melihat apa yang terjadi kepada saudaranya itu

Al-Zubair kemudian berkata kepada ibunya itu,

Wahai ibuku, Rasulullah SAW menyuruh ibu pulang

Jawab si ibu,

Tidak

Ibu sudah tahu apa yang terjadi kepada bapa saudaramu. Semua itu telah ditakdirkan Allah

Tidakkah ibu reda dengan semua itu? Ibu akan bersabar dan bermuhasabah insya-Allah

Setelah itu, al-Zubair kembali bertemu Rasulullah SAW dan menyampaikan jawapan ibunya itu.

Lalu Baginda bersabda,

Biarkan dia

Safiyyah melihat jenazah saudaranya buat kali yang terakhir lalu mengucapkan lafaz istirja’ dan istighfar. 

Kemudian, Baginda memerintahkan agar Sayyidina Hamzah dikebumikan. 

 

Seorang Wanita yang Berani 

Kisah keberanian ibu saudara Nabi SAW ini turut tercatat sama dalam kisah seorang sahabat Baginda yang lain, Hassan bin Thabit.

Diceritakan oleh Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, katanya:

Hassan tergolong dalam kalangan mereka yang penakut hinggakan Nabi SAW menyuruh beliau duduk bersama golongan wanita ketika meletusnya Peperangan Khandaq

Ibn Ishaq menceritakan peristiwa tersebut bahawa turut ada bersama Hassan bin Thabit ketika itu ialah Safiyyah binti Abdul Muttalib, ibu saudara Nabi SAW.

Safiyyah berkata:

Ketika itu Hassan bin Thabit berada bersama kami di dalam satu benteng di Madinah bersama wanita dan kanak-kanak

Lalu, tiba-tiba muncul seorang lelaki Yahudi yang ingin memanjat benteng tersebut. Lalu Safiyyah berkata kepada Hassan:

Ada seorang lelaki Yahudi ingin menceroboh benteng seperti yang kamu lihat.

Kami tidak mahu aurat kami dilihat oleh orang Yahudi itu.

Rasulullah dan para sahabat yang lain pula sedang sibuk.

Pergilah kepada dia dan bunuhlah dia!

Jawab Hassan:

Semoga Allah mengampunkan kamu wahai anak perempuan Abdul Muttalib. Kamu pun tahu saya tidak mampu melakukannya

Lalu Safiyyah pun mengambil sebatang kayu dan pergi ke sana.

Lalu beliau pun memukul lelaki Yahudi tersebut sehingga mati. Setelah selesai, beliau pun kembali lalu berkata:

Wahai Hassan, pergilah turun dan saliblah ia

Namun, Hassan masih mengelak dan menjawab:

Tidak perlu lagi untuk saya menyalibnya wahai anak perempuan Abdul Muttalib

Safiyyah meninggal dunia pada tahun ke-20H pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab pada usia 73 tahun.

Beliau dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.