,

Rendahkan Ego Hatimu Bukan Kerna Siapa-siapa

“Tidak hilang daya untuk berjalan saat hati resah. Maka tetaplah berbalik pada Tuhan.” Hati ini sering berbolak balik kerana hati ini milik Tuhan.

Berbolak baliknya hati kita menjadikan kita sering berusaha untuk menetapkannya dengan doa yang kekal di dalam pergantungan Allah.

Manusia tidak akan pernah mampu memegang hati manusia yang sentiasa berubah ubah samada menurut nafsu atau dengan petunjuk Tuhan.

Sabda Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam tubuh ada seketul daging, apabila ia elok maka eloklah keseluruhan tubuh. Jika ia rosak maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah ia adalah hati,”- Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hati Rapuh dan Hati Tisu

Sesudahnya aku punya akal yang mampu berfikir baik dan buruk. Sesudahnya aku punya hati yang tahu membezakan rasa bahagia dan derita. Aku tidak pernah meminta hati yang serapuh ini. Hati yang mudah tersentuh bila dipersenda dan dikecewakan.

Atau mungkin memang aku senang diperlakukan begitu? Sedangkan aku berusaha sehabis baik untuk menjaga hati orang yang berada di kiri dan kanan serta depan dan belakangku.

Adakah aku hanya pohon tua yang tidak berguna pada semua. Adakah aku ini sebuah boneka. Yang boleh dijadikan bahan uji kaji dan juga jenaka. Aku manusia. Kau manusia. Mereka manusia.

Kita semua manusia punya hati yang lembut bak sutera. Yang ada rasa kasih dan cinta. Yang punya rasa rindu dan hiba. Yang sering terfikir adakah hati ini perlu dihargai dan disanjungi.

Ya Tuhan. Saat ini hatiku begitu sakit, pedih dan lelah. Air mata yang mengalir seakan faham kondisiku yang lemah. Air mata ku jatuh seperti hujan yang tiba-tiba datang tanpa tahu bila guruh kedengaran.

Sekilas senyum yang diterukir diwajahku barangkali ia bahagia. Sedangkan air mata mengalir pilu dek hati yang terhiris dengan pandangan manusia. Hanya kerana dalam hati ini Tuhan saja yang Maha Mengetahui.

Bila aku sendirian. Jauh termenung aku berfikir. Sukar sangatkah orang itu untuk memahami orang yang lain. Kena bayarkah untuk mendalami hati orang. Setidaknya cuba belajar memahami dan menghargai orang yang berada disekelilingnya.

Kerana setiap orang dibumi ini mempunyai hati dan perasaan yang berbeza. Tiap satu orang mempunyai tapak yang berbeza dan kita tidak boleh menganggap bahawa semuanya sama.

Itulah ajaibnya hati yang diciptakan Tuhan, adakalanya kita rasa cemas pada yang tidak dianggap cemas oleh orang lain. Adakalanya kita rasa runsing pada yang tidak dianggap runsing oleh orang lain.

Adakalanya kita rasa orang tidak mengendahkan pada yang tidak dianggap penting oleh orang lain. Anggapan kita semuanya palsu jika kita tidak memuhasabahkan hati ini hanya milik Tuhan.

Dia boleh buat apa jua rasa untuk kita kembali bertaut kepadaNya kerana Tuhan amat mencemburui jika hambaNya melebih-lebihkan hati hanya kerana makhluk yang bernama manusia.

Rendahkan Ego Bukan Kerna Siapa-Siapa

Adakah mungkin juga aku yang kurang mengerti disaat orang lain cuba memahami. Pernah dulu aku menjadi orang yang sangat merendahkan diri, merendahkan ego untuk belajar memahami dan mengerti.

Kenapa di saat aku cuba merendahkan diri kerana untuk membantu dan memahami, ada pula insan yang membuatkan aku untuk merasa betapa rendah dirimu, betapa lekehnya tindakanmu, betapa kau memang bukan hebat sangatpun. Ya Tuhan harus bagaimanakah aku perlu lakukan.

Apakah diriku ini begitu mudah untuk diperkotak-katikkan sehinggakan aku terlalu mengikut kata-kata manusia untuk aku terus berputus asa.

Adakah aku begitu menguja pujian manusia yang boleh merasakan betapa diri lebih berharga. Sedangkan semuanya itu hanya merosakkan sikap egomu yang tidak diletakkan pada tempatnya.

Benar! Selama mana aku bersedih kerana aku memikirkan kenapa hatiku tidak sekuat wanita solehah yang dijanjikan syurga. Aku tidak suka orang mengatakan aku lemah, lembik, lekeh.

Namun, saat aku teringat pada Rasulullah s.a.w pernah diejek, dihina, dipandang lekeh dan berbagai ujian Baginda lalui penuh dengan mehnah.

Tersentak hatiku malah bertambah sayu kerana Nabi dan Kekasih Allah itu tidak pernah mengeluh dan berasa sedih. Aku juga tidak menginginkan kesedihan menyelubungi sehingga mengutamakan manusia daripada pandangan Tuhan.

Ya Rabbul Izzati. Aku mohon padaMu wahai Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Kuatkanlah hatiku dalam menghadapi setiap apa yang kau berikan padaku.

Permudahkan lah setiap perjalanan hidup ini. Berikanlah aku jalan untuk berlapang dada, ketetapan hati dan ketajaman fikiran. Malahan, disuburkan dengan jiwa yang tenang.

Aku hanya ada Mu ya Rahman di sisiku. Aku hanya bergantung dengan Mu ya Rahim. Aku hanya berserah kepada Mu Ya Karim.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah Maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah 2 : 216)

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aliah Binti Razman. Beliau merupakan pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, Politeknik Ungku Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

8 points
Upvote Downvote

Total votes: 8

Upvotes: 8

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%