, ,

Rancangan Pembunuhan Umar Terhadap Rasulullah

Berita kekalahan kaum musyrikin Makkah dalam perang Badar menyakitkan mereka. Pada ketika itu, Umair bin Wahab berada bersama Shafwan bin Umayyah di Hijr Ismail di Makkah, kedua-keduanya pemimpin kafir Quraisy yang masih hidup.

Kata Umair: “Kalaulah bukan kerana hutang yang mesti saya bayar, keluarga yang saya khuatirkan akan sia-sia setelah saya tiada, pastilah saya akan pergi menemui dan membunuh Muhammad, kerana sesuatu antara saya dan mereka. Anak saya menjadi tawanan mereka.”

Lalu, Shafwan mengambil kesempatan itu dan berkata: “Saya yang akan menanggung untuk membayar semua hutangmu. Keluargamu biar tinggal bersama keluarga saya, saya akan menanggung mereka selama mereka hidup. Saya sama sekali tidak keberatan melindungi mereka. Kalahkanlah mereka.”

Perbualan itu hanya mereka berdua saja yang tahu. Setelah itu, Umair berangkat ke Madinah dengan membawa pedang dan para sahabat melihat kehadirannya di hadapan masjid di Madinah. Para sahabat terutamanya Umar bin Khattab sangat berhati-hati dan khuatir sekiranya Umair ada niat buruk kepada Rasulullah, namun Baginda memberi izin Umair mendekatinya.

Umair berbual dengan Rasulullah, dan Baginda bertanya tentang hajat Umair datang ke situ. Pada awalnya, Umair berdalih, iyalah sudah pasti dia tidak ingin beritahu bahawa dia mahu membunuh Baginda.

Apa respon Baginda? Kata Baginda: “Bukankah engkau telah duduk bersama Shafwan bin Umayyah di Hijr Ismail. Kamu berdua menyebut tentang para pemimpin Quraisy yang dibuang ke dalam sumur di Badar.” Rasulullah juga bercerita secara terperinci perbualan itu, sedangkan pada ketika itu hanya ada mereka berdua saja.

Umair berasa sangat terkejut, siapa lagi yang memberitahu Rasulullah melainkan itu semua daripada Allah?

Lalu, Umair memeluk agama Islam dan meminta izin Baginda untuk pulang ke Makkah semula. Sampai saja di Makkah, setelah Shafwan mengetahui bahawa Umair telah masuk Islam, Shafwan bersumpah tidak akan bercakap dengan Umair untuk selama-lamanya dan tidak akan membantunya lagi.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)