,

Ramadhan Yang Dirindukan

Assalamualaikum w.b.t kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Semoga ramadhan kali ini menjadi titik perubahan kita semua pada bulan yang mendatang.

Apabila kalian bangun untuk bersahur, pernahkan kalian cuba membuka tingkap atau pintu rumah masing-masing sambil menghidu udara dan suasana di pagi hari di kala ramadhan?

Tenang, bukan?

Lain rasanya, berbeza udaranya semasa di bulan lain.

Mungkin kerna barakahnya ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka dengan luasnya oleh Allah s.w.t.

Boleh jadi ketenangan inilah dirindukan oleh seluruh umat Islam dunia.

Beberapa tahun yang lepas, penulis diberikan peluang untuk melaksanakan ibadah umrah bersama keluarga semasa awal ramadhan.

SubhanAllah, lain rasanya.

Ketika bulan ramadhan ini, ramainya umat Muhammad mengerjakan umrah seperti bilangan yang menunaikan haji.

Suasana inilah yang dirasai oleh penulis beberapa hari sebelum bulan ramadhan menjelma.

Pada awalnya, ketika subuh Masjidil Haram tidak dipenuhi oleh Jemaah. Namun, tekaan penulis salah kerana rupa-rupanya umat Islam yang berada di Timur Tengah akan bercuti 3 bulan berturut-turut bermula bulan ramadhan.

Ketika saat itulah, mereka berduyun-duyun memenuhi Makkah dan Madinah bagi menziarahi dan menunaikan umrah.

Ada juga yang membawa pembantu rumah Indonesia dalam menunaikan umrah. Mulia sungguh hati mereka.

Sewaktu penulis diberi peluang menunaikan umrah hari pertama ramadhan, penulis sempat menghayati keindahan bumi barakah tersebut.

Dalam perjalanan untuk berniat ihram di Masjid Saidatina Aisyah, penulis sempat melihat Universiti Al- Bayt, Makkah iaitu tempat pengajian arwah tokwan ketika tamatnya pembelajaran STAM.

Dalam fikiran penulis : “Besarnya, macamana agaknya suasana belajar di sana?”

Cepat-cepat penulis teringat cerita daripada tok bahawa ketika bulan ramadhan dan musim haji, tok wan pernah bekerja sambilan sebagai mutawwif atau tukang gunting rambut lelaki yang hendak bertahlul dalam umrah atau hajinya.

Perjalanan kami diteruskan dan tiba-tiba pak arab pemandu pelancong kami bertanya, “Di Malaysia, berapa harga minyak?”

Seorang Jemaah lelaki berusia kira-kira 60 tahun menjawab “Dalam RM 2.00 lebih la sekarang. ”

Pak arab tersebut terkejut, “Mahalnya, sini 1 liter 1 riyal”

Jemaah tadi membalas sambil ketawa, “Hah, bolehlah lepas ini musim haji kita bawak kancil mari sini. ”

Habis satu bas tergelak mendengar lawak pak cik tersebut.

Disebabkan pak arab tersebut terlampau ramah, dia meneruskan bercerita berkenaan pengalamannya ketika duduk di Malaysia. Sambil itu, sempat pula dia bertanya, “Mahar di Malaysia berapa?”

Balas seorang Jemaah wanita, “10 ribu ringgit Malaysia.”

“MasyaAllah, murahnya!! Orang arab kahwin 100 ribu riyal” Katanya.

Terkejut penulis dengar, tetapi ada bezanya budaya mereka dengan kita. Sedia maklum juga bahawa orang arab antara bangsa terkaya di dunia.

*Perjalanan diteruskan dengan izinNya semuanya dipermudahkan*

Sesudah urusan umrah diselesaikan, penulis mengambil peluang beriktikaf sebentar di Masjidil Haram sambil menunggu waktu berbuka puasa.

Alhamdullilah, ketika berbuka penulis berpeluang berbuka puasa berdekatan dengan kaabah.

Di hadapan penulis, terbentang plastik putih yang panjang bagi melapik makanan.

Dalam hati penulis, “Wah, makan apa sebenarnya? Macam makan nasi je..”

Sambil-sambil menunggu makanan, penulis sempat terpandang pekerja yang berpakaian warna hijau sedang sibuk mengisi air zam-zam di tong-tong air kosong.

Tiba-tiba, penulis dicuit oleh orang sebelah dan diberikan tamar. Sambil-sambil itu, penulis juga mendapat secawan teh herba.

Tekaan penulis salah rupanya, kebiasaan mereka hanya berbuka puasa dengan buah tamar dan secawan air sahaja kemudian menunaikan solat maghrib secara Jemaah.

Makan besar yang sering kita ingatkan berlaku diluar Masjidil Haram selepas waktu solat maghrib dijalankan demi menjaga kebersihan dan kesucian masjid.

Ohh, lupa pula nak cerita..

Ketika kurma dan air sedang diagihkan mata penulis tak henti-henti melihat susuk tubuh yang sedang mengagihkan makanan tersebut.

Mereka yang mengagihkan makanan tersebut semuanya berkulit hitam.

“Barangkali mereka inilah keturunan Bilal Bin Rabah, ” tekaan penulis.

Hairan seketika melihat situasi tersebut kerana selama ini melihat pekerja yang berbaju hijau sahaja membuat kerja.

Walau apa pun situasinya, perbuatan mereka sangat mulia di sisi Allah. Pertama, menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa dan kedua menjaga kebersihan rumah Allah s.w.t.

*Azan Isyak berkumandang*

Solat isyak dan solat terawikh secara berjemaah berlalu dengan cepat dan sekitar jam 11.00 malam (waktu Arab Saudi) telah selesai.

Ramai jemaah yang mengambil peluang pulang ke hotel masing-masing dan ada juga yang teruskan beriktikaf.

Dalam perjalanan pulang, masih ada lagi lori-lori makanan yang sedang mengagihkan sedekah kepada para jemaah.

Seronok penulis tengok amalan sedekah yang sangat luar biasa berlaku di Makkah.

Bermacam-macam cara dan teknik sedekah yang dilakukan Jemaah.
Sebelum pulang ke bilik hotel, sempat penulis membeli 6 ketul ayam goreng untuk bersahur.

Perut masih tidak lapar walaupun sudah lewat malam, mungkin kerana khasiatnya air zam-zam yang diminum sebelum itu.

“Lagi beberapa hari lagi akan pulang ke tanah air. Barangkali kerinduan berpuasa bulan ramadhan di tanah suci akan menebal setiap kali bulan ramadhan menjelma, ” bisik hati.

*Inilah Ramadhan Yang Dirindukan*

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh penulis yang dikenali sebagai Sis Aainaa Zaki. Mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan Diploma Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, UniSZA. Sebarang informasi boleh merujuk di Facebook (Aainaa Zaki) atau Instagram (Sis_Aainaazaki) .

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%