Ketika awal perang Hunain, ketenteraan Islam yang begitu ramai sehingga 12000 orang pejuang menyebabkan sebahagian kaum Muslimin yang baru sahaja memeluk Islam setelah Fath (pembukaan) Makkah merasa sombong dan meninggi diri, kata mereka: “Hari ini kita tidak akan kalah daripada pasukan (musuh) yang jumlahnya sedikit.”
Disebabkan sikap sebegitu, maka kaum Muslimin diuji dengan kekalahan pada peringkat permulaan peperangan. Al-Quran menggambarkan hal tersebut melalui firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah At-Taubah 9:25)
Rasulullah seringkali menekankan doa: “Ya Allah, dengan (bantuan-Mu) aku berusaha, dengan (bantuan-Mu) aku menyerang dan dengan (bantuan-Mu) aku berperang.”
Baginda sentiasa mengawasi kaum Muslimin, meluruskan tingkah laku atau persepsi yang tidak betul walaupun dalam keadaan yang genting contohnya ketika berhadapan dengan musuh.
Walaupun tentera Islam kalah pada awal peperangan dan sebahagian besar mereka melarikan diri dari medan perang kerana dikejutkan oleh serangan mendadak daripada pihak musuh, tetapi Baginda tidak mencela seorang pun daripada kaum Muslimin yang melarikan diri daripada medang perang.
Malah, apabila ada kaum Muslimin yang meminta agar Baginda membunuh orang-orang yang dibebaskan ketika Fath Makkah tetapi melarikan diri ketika perang, Baginda tidak bersetuju.
Begitulah sikap seorang pemimpin yang terbaik dan hebat, yang menjadi teladan buat manusia seluruh alam sehinggalah akhir zaman.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)