,

Datangnya Pertolongan Allah Kepada Kaum Muslimin Dalam Perang Ahzab

Dengan izin Allah, Nuaim bin Mas’ud dari kabilah Ghathafan menemui Rasulullah dan memberitahu bahawa dia telah memeluk Islam. Katanya: “Wahai Rasulullah, kaumku tidak tahu aku masuk Islam, perintahkan aku seperti yang engkau kehendaki.”

Lalu, Rasulullah memerintahkan Nuaim supaya pulang ke pihak musuh semula dan menjadi ‘batu api’ bagi memecah belahkan pakatan yahudi dan Quraisy.

Propaganda yang dilakukan Nuaim berjaya apabila pihak musuh saling merasa ragu-ragu dan hilang kepercayaan antara satu sama lain.

Selain itu, Rasulullah sering berdoa meminta pertolongan daripada Allah ketika peperangan.  Ketika itu, kaum Muslimin tidak boleh melakukan apa-apa selain daripada mendatangi Baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, adakah suatu doa yang boleh kami ucapkan?” Baginda menjawab: “Ada. Ucapkanlah: Ya Allah, jagalah aurat kami dan amankan rasa takut kami.”

Allah memberikan bantuan kepada kaum Muslimin, antaranya mengirim angin kencang yang sangat dingin, menyematkan rasa takut ke dalam hati mereka dan menurunkan bala tentera dari sisi-Nya, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Ahzaab 33:9)

Menurut Imam Al-Qurthubi, dia mengatakan bahawa angin dingin yang kencang itu merupakan mukjizat Rasulullah kerana ketika itu Baginda dan para sahabat berada dekat dengan angin itu, hanya terpisah melalui lubang parit saja, namun mereka selamat tanpa luka. Malah, Allah mengirimkan malaikat untuk menghuru-harakan pihak musuh seperti mencabut pasak, memutuskan tali-tali tenda, memadamkan api dan membalikkan tungku.

Kaum Muslimin telah memenangi perang Ahzab dengan izin Allah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)

What do you think?

12 points
Upvote Downvote

Total votes: 24

Upvotes: 18

Upvotes percentage: 75.000000%

Downvotes: 6

Downvotes percentage: 25.000000%