,

Perjuangan Bangsa Tidak Salah Selagi Bersyariat

Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi.

Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu.

Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu.

Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya.

Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku.

Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya.

Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat.

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas.

Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain.

Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta.

Nabi SAW juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain.

Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain.

Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas.

Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan.

Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Faidhi bin Azis. Berasal dari Perlis. Merupakan Pengurus Operasi One Centre Malaysia Perlis, sebuah agensi dakwah Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Ikuti perkembangan beliau dalam blog www.akuinsanbiasa12.blogspot.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%