Bani Lihyan telah mengkhianati Khubaib dan sahabat yang lain dalam peristiwa Raji’. Lalu, sudah tiba masanya kaum Muslimin menuntut bela atas kematian para syuhada.
Rasulullah bersama tentera Islam seramai 200 orang bergerak menuju bani Lihyan terletak jauh lebih kurang 200 mil dari Madinah.
Walaupun jauh dan membebankan, Rasulullah tetap bertekad untuk menuntut bela atas kematian sahabat-sahabatnya yang dikhianati oleh bani Lihyan yang sama sekali tidak menghargai perjanjian.
Bagi mengaburi pihak musuh, Rasulullah bersama kaum Muslimin bergerak menuju ke utara dahulu sedangkan bani Lihyan berada di hujung selatan. Namun, setelah bergerak lebih kurang 20 mil dan tiba di Batra, maka mereka berpatah balik semula menuju selatan.
Namun, bani Lihyan sedar akan perancangan Rasulullah apabila mereka mempunyai perisik yang memberitahu bahawa kaum Muslimin sudah mendekati wilayah mereka.
Belum sempat pasukan Rasulullah tiba di sana, bani Lihyan sudah pun melarikan diri di puncak-puncak gunung, hanya beberapa orang saja yang berjaya ditangkap.
Rasulullah tinggal di rumah bani Lihyan selama 2 hari sebagai isyarat untuk memberitahu kekuatan Islam bahawa kaum Muslimin boleh bergerak ke tengah-tengah tempat musuh bila-bila masa pun mereka inginkan.
Setelah itu, kaum Muslimin bergerak pula ke bukit Usfan iaitu perkampungan antara Makkah dan Madinah. Rasulullah memutuskan untuk melakukan latihan ketenteraan bagi memberi tekanan kepada kaum Musyrikin di Makkah.
Abu Bakar bersama 10 pasukan berkuda diutuskan Rasulullah menuju ke Makkah untuk menyebarkan propaganda dan memberi tekanan yang lebih kepada kaum Musyrikin di sana. Setelah itu, Abu Bakar dan yang lain kembali semula kepada Rasulullah, lalu semua pulang ke Madinah semula.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)