, ,

Pemulauan Ke Atas Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib

Tekanan demi tekanan diberikan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Kini, dengan pengislaman Umar bin al-Khattab, umat Islam semakin berani. 

Mereka tidak lagi rasa lemah sebagai mana sebelum ini yang boleh ditindas sesuka hati oleh kaum Musyrikin.

Pengislaman Umar juga telah menyebabkan pihak Quraisy bagaikan hilang kekuatan.

Jikalau sebelum ini, atas cadangan beliau, para pembesar Quraisy boleh menyiksa para hamba miliki mereka yang memeluk Islam sebagai satu bentuk perang saraf.

Kini tidak lagi. Mereka kini bersepakat untuk menghapuskan Baginda SAW agar mereka tidak perlu lagi berhadapan dengan masalah ini.

Menjadi Sasaran Bunuh

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menerusi kitabnya Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib memulakan cerita.

“Maka, ijma’lah mereka itu (pembesar Quraisy) atas bahawa membunuh mereka itu akan Nabi SAW.

Maka, sampai khabar itu kepada Abu Talib. Maka, menghimpunkan ia akan segala Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib dan memasuk mereka itu akan Rasulullah SAW akan sya’ab mereka itu dan menegah mereka akan dia daripada mereka yang menghendaki membunuhnya.”.

Mengapa para pembesar Quraiys mengambil keputusan untuk bertindak sedemikian? 

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kemuliaan yang selama ini terbina tercalar akibat kedatangan Nabi Muhammad SAW. 

Mereka tidak menerima bahawa Muhammad itu menjadi nabi sedangkan mereka merasakan bahawa nabi itu selayaknya diutuskan daripada kalangan mereka

Dari situlah timbulnya rasa cemburu sehingga menyebabkan Nabi Muhammad perlu dihapuskan.

Melihatkan Abu Talib telah mengumpulkan puak Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib bagi melindungi Rasulullah, para pembesar Quraisy terus bermesyuarat. 

Tujuannya adalah untuk memikirkan cara bagaimana mereka dapat mendesak Abu Talib untuk menyerahkan Rasulullah SAW agar mereka dapat membunuh Baginda.

Boikot Bermula

Dalam mesyuarat tersebut, para pembesar Quraisy semua telah bersepakat untuk membuat satu deklarasi. 

Deklarasi yang berbentuk perang saraf dengan harapan Abu Talib akan menyerahkan Nabi Muhammad.

Maka, semua kesepakatan tersebut kemudiannya ditulis di atas sehelai kertas yang ditulis oleh Mansur bin ‘Ikrimah

Ia kemudiannya digantungkan di dalam Ka’bah pada 1 Ramadan tahun ketujuh kenabian. Antara butiran deklarasi tersebut ialah:

- Perkahwinan yang melibatkan puak Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib dengan Quraisy adalah dilarang.

- Tiada seorang pun yang boleh bergaul dengan puak Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib.

- Sebarang perdamaian antara Quraisy dengan Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib adalah dilarang.

Semua sekatan tersebut akan ditamatkan hanya dengan satu syarat, Nabi Muhammad SAW diserahkan untuk dibunuh. 

Maka, disebabkan deklarasi tersebut, semakin ramai puak Bani Hasyim dan Abdul Muttalib berkumpul bersama Abu Talib kerana sudah dipulaukan secara rasmi. 

Walaupun berasal daripada keluarga Bani Hasyim, Abu Lahab yang merupakan bapa saudara Baginda memilih untuk berpihak kepada Quraisy.

Maka, hari demi hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun selama dua tahun lamanya Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib dipulaukan. 

Mereka hidup dalam keadaan yang serba kesusahan memandangkan segala akses untuk mendapatkan bekalan makanan telah disekat.

Hal ini telah menyebabkan mereka tidak boleh berjual beli dengan penduduk Mekah seperti biasa. 

Hidup terasing di tempat sendiri.

Namun begitu, mereka masih lagi tetap bertahan. 

Tidak sedikit pun mereka mengalah dan memberikan apa yang dituntut oleh para pembesar Quraisy itu. 

Namun, hidup perlu diteruskan juga. 

Mujurlah ada para sahabat yang terdiri daripada golongan pedagang. 

Keuntungan daripada perniagaan mereka itu kemudiannya disalurkan kepada umat Islam yang dipulau ini dalam bentuk makanan asasi. 

Namun, semua itu dilakukan secara sembunyi-sembunyi...

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%