Orang yang beriman wajib untuk optimis. Optimis terhadap masa depannya serta optimis terhadap masa depan Islam.
Optimis itu sangat berkait rapat dengan harapan. Orang yang optimis pasti tidak akan jemu untuk memasang cita-cita dan impian, kerana cita-cita serta impian itu adalah harapan!
Terdapat banyak ayat dalam Quran di mana Allah mengingatkan kita untuk berharap serta tidak berputus asa. Dalam surah ‘Ali-Imran ayat 139, Allah berfirman,
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah ‘Ali-Imran :139)
Dalam surah Al-Ahzab pula Allah menceritakan tentang figura para sahabat yang menjadi contoh teladan tentang betapa optimisnya mereka akan janji pertolongan Allah.
“Dan pada masa orang-orang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan rasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan rasulNya’. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka bahkan menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” (Surah Al-Ahzab :22)
Dan Allah melarang kita untuk bersikap berputus asa sepertimana firman-Nya,
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar :53)
Jika kita mengaku bahawa kita adalah orang beriman, maka, bersikap optimis itu bukanlah satu pilihan. Bahkan ia adalah satu kemestian.
Ya, kerana Allah memerintahkan kita untuk yakin dengan janji-janji-Nya. Be positive!
Tak hairanlah melihat para sahabat mampu untuk tenang walau dahsyat mana sekalipun ujian yang membadai jiwa mereka demi menegakkan agama Allah.
Kerana apa? Kerana mereka benar-benar faham dengan ayat-ayat Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Dan mereka faham sebenarnya erti yakin kepada Allah.
Maka seharusnya orang beriman itu gembira dan tenang jiwanya.
Walau perit ujian yang dideritai, tetapi mereka tetap optimis dengan ketentuan Ilahi.
Orang yang beriman mengerti bahawasanya Allah mengajar mereka untuk sentiasa memasang harapan kepada-Nya dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Tamannau! Make a wish! Jangan gentar untuk mengukir impian!”
Seolahnya begitulah seruan Allah kepada kita. Kenapa orang beriman sentiasa berani memasang cita-cita dalam menghadapi ujian?
Kerana mereka sentiasa mempunyai Allah yang menjamin mereka. Mereka mempunyai Allah yang mendokong perjuangan mereka dan menjadi penolong mereka yang terbaik.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad :7)
Dan bukankah Allah itu sebaik-baik penolong dan pelindung?
Alangkah indahnya menjadi orang yang sentiasa optimis dan bersangka baik dengan Tuhan. Biar miskin harta, asalkan kaya jiwa.
Dan orang yang paling ‘kaya’ sebenarnya adalah mereka yang tenang. Dan ini tidak akan bisa dikecapi andai tiada iman yang menghiasi jiwa.
Maka ayuh! Jangan persia-siakan sisa hidupmu dengan mengeluh, takut, tak yakin dan putus asa. Sedangkan Allah yang Maha Kaya itu tak pernah jemu melimpahkan kebaikan kepadamu.
Akhir kalam, senyum, tenang dan optimislah dalam setiap ruang waktu dalam hidup ini.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.
Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah dan Instagram cahaya_nurish.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.