Sebenarnya tidak susah untuk menjadi Muslim yang baik.
Namun, kadang kala dek kesilapan cara menyebabkan kita merasakan bahawa ia merupakan sesuatu yang begitu sukar.
Kita membayangkan, untuk menjadi baik perlu kepada solat, puasa dan berpakaian lusuh sepanjang masa. Tidak!
Kita mulakan yang mudah-mudah dahulu. Bak kata pepatah,
“Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.”
Perubahan diri menjadi seorang Muslim yang baik bukanlah satu perubahan yang drastik. Ia memerlukan kepada proses yang memerlukan masa.
Kunci Adab
Kita juga mengetahui bahawa menjadi seorang Muslim yang baik itu adalah merupakan hasil yang diinginkan.
Namun, silapnya adalah apabila kita lupa bahawa untuk mendapatkan hasil yang sebegitu memerlukan kepada dua perkara iaitu agama dan adab.
Mulakan dari bawah. Baiki semula pengamalan agama kita. Mana-mana yang lompong, kita tutup. Mana yang kurang, kita tambah.
Kemudian, barulah ia akan terpancar dalam bentuk adab dan akhlak.
Setelah adab dan akhlak yang baik berjaya dipupuk, jadilah kita seorang Muslim yang baik!
Walaubagaimanapun, untuk memupuk akhlak dan adab itu pula tidak mudah.
Ia memerlukan mujahadah yang berterusan sehinggalah ia benar-benar sebati dalam hidup kita. Untuk itu, ia memerlukan ‘kunci’.
“Kunci” tersebut terakam dalam sebuah hadis yang penting. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Ya, meninggalkan apa yang tidak bermanfaat merupakan kunci untuk memupuk akhlak dan adab yang baik.
Bahkan perkara ini diakui sendiri oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali: “Hadis ini merupakan asas yang agung daripada asas-asas Adab.”
Semak Kembali
Ingat! Sebelum melakukan perubahan yang lebih besar, mulakan yang kecil terlebih dahulu.
Caranya dengan semak kembali apakah perkara yang kita lakukan sepanjang hari. Fikirkan semula adakah ia bermanfaat atau tidak?
Jikalau tidak, tinggalkan terus. Itulah tembok pemisah yang menghalang kita daripada menjadi baik.
Meninggalkannya ibarat kita memecahkan tembok tersebut.
Hal ini disebabkan oleh melakukan perkara yang tidak berfaedah atau sia-sia ini memang akan menjerumuskan seseorang untuk melakukan kejahatan.
Umpamanya, apabila ponteng kelas dengan melepak.
Sudah tentu akan timbul persoalan. Apa yang ingin dilakukan?
Kalau buat benda baik, lebih baik tak payah lepak.
Maka, dari situlah satu per satu perbuatan yang tidak baik dilakukan.
Bermula dengan sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada perkara yang membawa jenayah dan masalah.
Cuba keluarkan perbuatan yang tidak bermanfaat itu daripada diri.
Insha Allah, perjalanan kita untuk berubah menjadi baik akan lebih mudah dan lancar.