, ,

Musuh Islam Yang Merbahaya: Ka’ab Bin Al-Asyraf

Pasti ramai yang tidak pernah mendengar nama Ka’ab bin Al-Asyraf. Siapakah dia? Dia seorang yahudi yang berasal dari Bani Nabhan dari kabilah Thayyi. Dia seorang penyair yang sangat membenci Islam.

Kemenangan kaum muslimin dalam perang Badar membuatnya marah. Lalu, dia pergi ke Makkah bertujuan untuk menghasut kaum musyrikin agar membalas dendam terhadap mereka yang terbunuh. Sebagai penyair, dia membuat mereka menangis dengan syair-syairnya sehingga menambah kebencian terhadap Rasulullah dan Islam.

Apabila Ka’ab tiba di Madinah pula, dia menunjukkan permusuhannya kepada Rasulullah secara terang-terangan. Dia berterusan mencela Rasulullah sehingga turut melibatkan isteri Baginda.

Lalu, Rasulullah menganjurkan Hassan bin Tsabit untuk melawan Ka’ab, caranya ialah ketika Ka’ab mencari tempat perlindungan di rumah di sekitar Makkah, maka Hassan akan mengecam pemilik-pemilik rumah yang melindungi Ka’ab.

Hassan terus mengikut Ka’ab sehingga ke setiap rumah yang ada di Makkah. Maka, Ka’ab kembali ke Madinah setelah dia tidak diterima di Makkah. Dia sendiri sedar, apabila berada di Madinah semula, dia akan mendapat balasan yang sepatutnya oleh Rasulullah.

Perbuatannya yang menghina Rasulullah, bersikap lembut kepada musuh Islam, mengungkapkan dukacita kepada korban musyrikin Badar, menghasut agar memerangi kaum muslimin, secara tidak langsung telah membatalkan perjanjian yahudi bersama kaum muslimin. Akhhirnya, Ka’ab bin Al-Asyraf dibunuh kerana pengkhianatannya.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)