,

Menjadi Duta Umat – Mush’ab bin ‘Umair

Hari ini tidak seperti dahulu.

Pengamalan ajaran Islam sudah semakin meluas.

Baik sekecil-kecil perkara seperti rancangan keagamaan di kaca televisyen sehinggalah pelaksanaan perundangan Islam di peringkat pentadbiran negara.

Namun begitu, semuanya masih tidak terhenti setakat itu sahaja.

Walaubagaimanapun, disebalik semua itu tanpa kita sedari,  umat Islam sendiri memiliki ‘gunting dalam lipatan’.

Tanpa kita sedari, mereka ini telah menconteng arang di ‘muka’ agama Islam.

Sedikit demi sedikit sepertinya Islam mula kembali dipandang lekeh semula seperti dahulu.

Siapakah mereka? Mereka ini boleh dikatakan ‘duta Islam yang tidak bertauliah’.

Bukan Sebarang Duta

Apabila disebut tentang duta, sudah tentu terbayang di fikiran kita mereka ini bertugas di luar negara membawa nama negara mereka.

Kalau duta Malaysia, mereka semua bertanggungjawab untuk menjaga nama baik negara Malaysia di mana-mana negara yang mereka tugaskan.

Bukan itu sahaja, tugas mereka untuk memelihara hubungan diplomatik yang terjalin di antara kedua-dua negara.

Ya, begitulah juga dengan Islam.

Siapa yang tidak kenal seorang sahabat nabi yang mulia bahkan seorang pemuda dan termasuk dalam kalangan orang yang terawal memeluk Islam, Mush’ab bin ‘Umair RA.

Beliau telah dipertanggungjawabkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menjadi duta Baginda ke kota Yathrib (kemudiannya Madinah).

Beliaulah duta Islam yang pertama.

Tujuannya untuk memperkenalkan agama Islam kepada penduduknya yang ketika itu hanya 12 orang sahaja yang sudah Muslim selepas peristiwa Perjanjian Aqabah.

Mengapakah Mush’ab dipilih?

Adakah para sahabat yang lebih ‘senior’ tidak layak?

Bukan begitu. Namun, itulah pilihan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dan pilihan tersebut ternyata tidak salah.

Imam al-Dzahabi dalam Syiar A’lam al-Nubala’ meriwayatkan kata-kata al-Barra’ bin ‘Azib. Katanya:

“Orang yang mula-mula datang kepada kami dalam kalangan muhajirin ialah Mush’ab bin ‘Umair."

Lalu kami bertanya kepadanya: "Apakah yang sedang dilakukan oleh Rasulullah SAW?"

Beliau jawab: "Baginda masih lagi berada di Mekah manakala para sahabatnya akan menyusul nanti.”

Dakwah yang Berkesan

Kedatangan Mush’ab rupa-rupanya tidak disenangi oleh beberapa orang pemimpin kaum di Yathrib.

Antaranya ialah Usaid bin Hudhair dan Sa’ad bin Mu’az.

Mereka merupakan pemimpin kaum Bani Abdul Asyhal.

Dek kerana termakan hasutan yang berbau fitnah daripada Sa’ad bin Mu’az, Usaid bin Hudhair terus bergegas bertemu dengan Mush’ab.

Ketika itu, Mush’ab telah berjaya mengislamkan beberapa orang.

Namun, dengan tombak di tangan dan muka yang masam, Usaid meluru ke arah Mush’ab dan As’ad yang sedang duduk bersama orang yang baru memeluk Islam.

“Mengapa kamu semua datang kepada kami?

Adakah kerana ingin memperbodoh orang-orang yang lemah dalam kalangan kami?

Pergilah dari sini sekiranya kamu hanya ingin mencari keperluan untuk diri kamu sahaja!” Herdik Usaid.

Namun, apa jawab Mus’ab?

“Mahukah kamu duduk dan mendengarkan apa yang saya ingin sampaikan terlebih dahulu?”

Jika ada yang baik mungkin kamu boleh terima. Jika tidak, kamu tidak perlu menerimanya.”

Usaid pun mendengar apa yang disampaikan oleh Mush’ab berkenaan Islam.

Setelah puas mendengar, Usaid mengatakan bahawa beliau ingin memeluk Islam.

Begitulah, manusia kadangkala membenci sesuatu yang tidak diketahuinya. Itulah yang terjadi kepada Usaid.

Ya, barangkali itulah sifat dan keperibadian yang ada pada diri sahabat nabi ini.

Walaupun masih lagi bergelar pemuda, namun beliau ternyata mampu untuk menghadapi situasi-situasi genting seperti ini.

Kuncinya terletak kepada akhlak dan tingkah lakunya yang baik itu.

Hanya Pada Nama

Hari ini umat Islam terpaksa bergelut sesama sendiri.

Bergelut untuk membetulkan kembali tingkah laku segelintir umat Islam yang bergelar ‘duta Islam yang tidak bertauliah ini.

Siapakah mereka?

Sudah tentu mereka ini boleh dikatakan tidak memiliki tauliah mengajar agama daripada pihak berkuasa agama Islam.

Tiada tauliah yang ini sudah tentu tidak boleh berceramah sana sini.

Namun, ada satu lagi golongan yang bukan sahaja tidak memiliki tauliah daripada pihak berkuasa agaam Islam bahkan tidak memiliki pengetahuan Islam yang cukup untuk bercakap soal agama Islam.

Mereka ini disebut sebagai ‘influencer’ di media sosial.

Dengan ‘follower’ yang mencecah jutaan orang, kadang kala golongan ini mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan tentang Islam.

Mungkin niatnya baik untuk berdakwah.

Namun, bila dilihat kembali kepada gaya hidup yang bermewah-mewah, gemar menunjukkan kekayaan, tiba-tiba dengan beraninya mengulas tentang isu-isu hukum hakam yang sudah terang-terangan di luar batas pengetahuannya.

Begitu juga dengan segelintir yang menunjukkan imej beragama, membawa nama pendakwah, ustaz dan sebagainya, namun menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

Maka, secara tidak langsung telah memberikan imej yang tidak baik tentang Islam.

Justeru, lihatlah contoh Mush’ab bin ‘Umair ini.

Beliau telah menunjukkan untuk menjadi pendakwah dan duta Islam, dua syarat perlu dipenuhi.

Ilmu dan akhlak.

Itulah rahsia bagaimana beliau boleh berjaya mengislamkan penduduk Yathrib ketika itu sehingga mereka kelak dikenali sebagai golongan Ansar yang membantu perjuangan Islam.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%