,

Menghidupkan Solat dalam Diri

Solat, merupakan ibadah yang kita lakukan lima kali sehari sejak akil baligh sehinggalah ke hujung nyawa

Namun, sedarkah kita sebenarnya solat itu bukan sekadar memenuhi kewajiban sebagai seorang hamba Allah?

Kini pelbagai rahsia solat telah berjaya dirungkai melalui kajian terkini. 

Antaranya kebaikan solat menurut perspektif sains moden. Namun, sejauh mana solat yang kita dirikan itu mencerminkan diri kita sebagai seorang Muslim sejati?

Sedangkan solat menjadi salah satu ciri pemisah antara iman dan kufur. 

Bukankah Nabi s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya perkara yang memisahkan antara seorang laki-laki (Muslim) dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

Solat Sebagai Benteng

Kita lihat bagaimana solat didirikan hari ini. Ya, tidak dapat dinafikan ada masjid yang hidup dengan jemaah solatnya yang penuh.

Tidak dinafikan juga azan dilaungkan lima kali sehari setiap hari di segenap tempat. Alhamdulillah, kita mesti bersyukur dengan semua ini.

Namun, malangnya adakah solat kita benar-benar menjadi pemisah antara kita dengan orang yang tidak beriman dan kufur? 

Maka, kita perlu berusaha menjadikan solat kita sebagai cara untuk membenteng diri daripada perkara keji dan mungkar.

Bukankah Allah telah mengakui hal ini dengan firman-Nya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”(QS Al-‘Ankabut 29: 45) 

Buya Hamka dalam Tafsir al-Azhar menjelaskan bahawa dengan mendirikan solat lima waktu sehari semalam bererti kita membina benteng mengelilingi diri kita dengan selalu berhubung dengan Allah s.w.t.

Maka solat tersebut akan melindungi kita daripada melakukan perbuatan yang keji seperti berzina, merompak, berdusta, menipu dan segala perbuatan mungkar yang mendapat celaan masyarakat

Namun, bagaimanakah sekiranya solat yang didirikan itu tidak dapat berperanan menjadi benteng sebagaimana yang dikatakan? 

Baginda s.a.w. telah bersabda: “Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka tidaklah ada solat baginya.” (Riwayat Ibn Abi Hatim)

Lebih teruk lagi, terdapat ancaman daripada Baginda buat golongan yang mendirikan solat tetapi masih lagi melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. 

Sabdanya: “Sesiapa yang solat tetapi tidak dapat mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka tidaklah dia bertambah dekat kepada Allah melainkan bertambah jauh.” (Riwayat al-Tabarani)

Roh Solat di Luar Solat

Caranya adalah menghiasai perbuatan dan sikap kita dengan nilai-nilai yang ada ketika kita sedang mendirikan solat. 

Kita boleh bahagikan kepada tiga bahagian mengikut tiga jenis rukun dalam solat iaitu Rukun Qalbi, Rukun Qawli dan Rukun Fi’li.

Terdapat satu sahaja Rukun Qalbi iaitu niat.

Niat mestilah jelas dan tetap jenis solat dan bilangan rakaatnya.

Begitu juga dalam hidup kita. Hati kita perlu sentiasa bersih daripada sifat-sifat mazmumah yang mengotorkan hati.

Hasad, takbur, ujub dan sebagainya perlu dibuang daripada hati kita agar hati sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik sahaja.

Fikir semula, adakah hati kita ketika solat berbeza dengan di luar solat?

Bukankah itu hati yang sama? Andai ketika solat hati boleh dijaga, di luar solat seharusnya boleh juga.

Tidakkah setiap lafaz yang diucapkan ketika solat itu merupakan lafaz yang baik-baik?

Setiap gerak-geri dalam solat dimulakan dan diselangi dengan lafaz zikir menyebut nama Allah.

Begitulah juga kita sepatutnya di luar solat. Setiap gerak geri kita mulakanlah dengan menyebut nama Allah.

Tanda seseorang Muslim itu berhasil mendapatkan solat yang berkesan dapat dilihat melalui tingkah lakunya. 

Rukun fi‘li dalam solat sebenarnya mengajar kita untuk sentiasa melakukan perbuatan yang disuruh Allah. 

Bukankah tiap gerak geri solat kita itu adalah sepertimana yang diperintah oleh Allah dan diajarkan Baginda s.a.w.?

Hidupkan Solat dalam Diri

Hakikatnya, benarlah bahawa solat itu menjadi pemisah antara iman dan kufur. 

Oleh itu, amat malang sekiranya solat yang didirikan itu tidak dapat membentuk keperibadian yang mencerminkan diri sebagai seorang Muslim dan Mukmin sejati.

Persoalannya sekarang, adakah kita berasa bangga menjadi umat yang mendirikan solat? 

Sudah tentu. Namun, adakah kita juga bangga dengan sikap dan tingkah laku kita sebagai seorang yang mendirikan solat?

Jika solat tidak dapat mencerminkan sikap dan tingkah laku yang baik, hayatilah kembali solat kita. 

Hidupkan solat dalam diri kita agar begitu kita di dalam solat, begitu jugalah kita di luar solat.

Rujukan:

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-‘Ankabut 29: 45