,

Melukis Di Atas Pasir

Jordan, tepat jam 2.30 pagi, 30 September 2016.

Itu detik yang paling jelas terpahat dalam ingatanku. Selepas menerima khabar bahawa ayahku semakin tenat, ku gagahkan diri solat dalam dingin salju. Doa kudus ku panjatkan buat ayahku yang jauh di mata.

Saat kepala direbahkan di atas katil, terpapar satu pesanan ringkas baru diterima daripada abang sulungku “Salam, apak dah takde. Semua yang drive balik hati-hati” Ringkas. Tapi amat memedihkan jiwa ketika itu.

Lama aku berfikir, menimbang tara untuk pulang ke Malaysia atau sebaliknya. Hati sarat dengan kesedihan, mengenangkan diri yang jauh dibawa ke Dataran Syam. Rasionalku sangat terganggu meskipun sebelumnya aku sudah bersedia andai perkara ini berlaku.

Setelah puas menangis, teringat pada salah satu doa yang aku bisikkan sebelumnya, “Ya Allah, andai ini waktu yang terbaik untuk ayahku pergi, Kau ambil lah dia dengan cara yang paling lembut dan baik”.

Begitulah kehidupan. Yakinlah, Allah SWT sebenarnya menjawab setiap doa pada setiap hela nafas meskipun kita terlupa tentangnya. Tinggal kita untuk percaya atau mendabik kesedihan yang bersarang di dada.

Situasi yang berlaku di atas tidaklah begitu baharu. Namun, kehilangan di saat kita bepergian jauh beribu batu dari keluarga, yang pastinya tidak terganggu dengan menggunung rindu tapi memerlukan kekuatan setinggi Kinabalu untuk memujuk kalbu.

Oleh demikian, Allah SWT Yang Maha Mengetahui kemampuan hambaNya menganugerahkan kita satu daripada banyak sifat dalam diri manusia iaitu lupa.

Ramai yang beranggapan lupa itu satu sifat yang tidak baik. Sebaiknya semua perkara harus diingat hingga terkadang diabadikan supaya tidak mudah lupa.

Namun, firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 191 : (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”

Begitu juga nilainya sifat lupa pada seorang manusia. Ianya bukan sia-sia. Ada kebaikan dalam sifat itu malah akan membantu seorang manusia menjadi lebih dewasa. Dewasa dalam mendepani cabaran kehidupan yang lebih besar.

Kadangkala ada banyak perkara kita perlu lupa. Lupa supaya kita tidak takut lagi untuk mencuba semula. Terutama pada kegagalan. Ya, kita tidak seharusnya lupa pada pengajaran tapi lupakan perasaan gagal yang pernah dirasakan.

Sama seperti keadaan di atas, bila tiba detik waktu kita pasti diuji dengan kehilangan orang yang tersayang. Kebiasaannya, kita akan bersedih lama.

Sehinggalah tiba saat Allah hadirkan sifat lupa pada perasaan sedih itu dan berganti dengan perasaan gembira dan sebagainya. Ini kerana kita manusia yang hidup.

Manusia hidup yang akan mengalami bermacam-macam perkara. Manusia hidup yang mampu merancang banyak kerja. Namun, segalanya itu atas izin-Nya Pencipta kita.

Baik atau buruk harus siap diterima sebagai seorang hamba yang dicipta kerana Allah SWT pasti akan mencukupkan setiap keperluan dan bukan kehendak hati kita.

Segala yang bermula pasti berakhir. Lukislah jalan hidupmu dengan kudrat yang ada bersama satu matlamat utama iaitu biar Allah SWT redha pada kita!

Adakala hari kita tidak selalu cerah, biasakan kenangan itu sekadar lukisan di atas pasir. Jelas untuk kita lihat sebuah pengajaran namun bukan untuk terpahat pada perasaan.

Langkah baru sentiasa ada buat jiwa yang mahu. Gembirakan diri dan gembirakan orang disekelilingmu. Andai saat kamu perlu tetapi mereka membatu, Allah jualah tempat kembali untuk setiap urusan hidupmu!

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh saudari Nabilah Ani. Berasal daripada Ipoh, Perak.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%